Bilah-bilah
kehidupan yang bersilih ganti hari akan perlahan-lahan meninggalkan kita di
garis waktu dan masa. Ufuk fajar menyingsing hari akan berlabuh pergi jua dari
menghiasi lukisan langit. Demikian pula bulan dan matahari yang saling
bergilir-gilir datang dan pergi seperti aturan sunnatullah. Begitu jugalah yang
namanya hidup. Hanya menanti masa untuk pergi meninggalkan nikmat yang fana
ini. Bersedia atau tidak, tua atau muda, sihat atau sakit, bukanlah pra syarat
utama untuk kita pergi meninggalkan dunia ini. Tiba giliran, pasti kita kan
pergi jua.
Kematian
adalah sesuatu yang pasti. Biarpun seberapa derap tapak kaki menyusun gerak
melangkah melarikan diri daripada kematian, pasti ajal itu datang dan menemui
kita yang bergelar makhluk Nya. Tanpa kira usia, tempat dan sebagainya,
kematian pasti datang menyapa tepat pada perintah Nya. Allah SWT mengingatkan
kita dalam surah al-Jumaah ayat 8, yang bermaksud :
"Katakanlah
(wahai Muhammad) : "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya
itu, tetaplah ia akan menemui kamu ; kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu
kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".
Demikian
peringatan Allah kepada para hamba Nya. Kehidupan yang sedang kita nikmati ini
hanyalah sebuah pentas untuk menguji kita semua. Segala kemanisan dan kepahitan
yang tercipta adalah rencam kehidupan untuk menguji yang terbaik dikalangan
hamba Nya. Hal ini berdasarkan firman Nya dalam surah al-Mulk ayat 2 yang
bermaksud :
"Dialah
yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu : siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya ; dan
Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat)".
Oleh
itu, realitinya adalah kehidupan yang sedang kita nikmati ini merupakan sebuah
perjalanan menuju kematian. Kematian yang pada sangkaan ramai manusia sebagai
penamat sebuah perjalanan, namun sebaliknya ianya adalah sebuah permulaan hidup
yang sebenar, perpindahan bersifat sementara untuk menuju kehidupan yang kekal
selamanya. Dunia yang kita diami ini bukanlah hak mutlak diri kita. Apa sahaja
yang kita miliki hari ini, baik berbentuk zahir mahupun yang batin, tidaklah
bersifat mutlak bagi kita. Tidak lebih dari sekadar kurniaan Allah sebagai
pinjaman kepada hamba Nya.
Betapa
luasnya nikmat hidup ini, sejak kita dilahirkan hingga ke saat dan tika ini,
tidak termampu untuk kita menghitungnya. Dalam keadaan yang sama, dikala waktu
berputar melakarkan potret sejarah, sedikit demi sedikit nikmat ditarik oleh
Allah SWT. Buktinya, lihatlah bagaimana Allah memberikan mata untuk melihat,
telinga untuk mendengar dan mulut untuk bercakap. Kini keadaan itu telah
berubah seiring berinjaknya usia. Mata semakin kabur penglihatan. Telinga
semakin lemah mencerap bunyinya dan mulut terkumat-kamit menyusun abjad untuk
bertutur. Diwaktu muda, kekuatan tidak sama seperti diwaktu usia di hari senja.
Kulit wajah halus-mulus, yang lembut tegang, akan beransur kedut dan kusam.
Semuanya berubah selari beranjak usia.
Apa
yang pergi tetap akan pergi. Sama ada kita sedar atau tidak, hidup ini semakin
dekat dengan kematian biarpun saban tahun kita sambut ulangtahun kelahiran.
Pada zahirnya, angka kian bertambah tetapi sebaliknya, ajal kian dekat
menjengah. Anugerah pangkat dan jawatan, tidak lebih sekadar perhiasan sahaja.
Cukup masa kita akan melepaskannya jua, memberi laluan pada yang lebih muda.
Meskipun rumah yang di usahakan, bertingkat-tingkat tingginya, namun ke dalam
tanah jua akhirnya kita ke sana. Semuanya akan tiba satu masa, kita perlu
melepaskannya. Apa yang akan tetap dan setia berdamping dengan kita hanyalah
amalan semata-mata.
Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Keluar
mengiringi mayat itu tiga perkara : Keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka
dua daripadanya akan pulang (meninggalkannya di kubur) iaitu keluarga dan harta
adapun amalan akan kekal bersamanya".
Kepenatan
kita menghabiskan separuh usia kita membina kehidupan di dunia yang tidak kekal
ini akan terbalas seandainya kita berniat beramal jariah kerana Allah.
Sebaliknya, amat rugi dan malang sekali, jika semuanya itu sekadar memenuhi
selera citarasa dunia, memenuhi kehendak diri semata-mata tanpa mengingatkan
diri kepada Allah, Tuhan empunya segalanya ini. Hanyasanya yang selamat kelak
adalah golongan yakin kepada Allah dengan tetap teguh diatas jalan Nya yang
lurus. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Fussilat ayat 30 yang
bermaksud :
"Sesungguhnya
orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : "Tuhan Kami
ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh diatas jalan yang betul, akan
turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa : "Janganlah kamu
bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan
janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahwa kamu akan
beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu".
Kejayaan
sebenar adalah menjadi orang yang beriman dan bertaqwa. Dengan berbekal taqwa
dan iman kepada Nya, nescaya selamatlah kita dunai dan akhirat. Inilah jalan
selamat untuk menuju ke negeri abadi. Oleh itu, kita dituntut untuk bersegera
berlumba melakukan kebajikan, menyibukkan diri dengan persiapan melaksanakan
segala perintah Nya dan berjuang menjauhi larangan Nya. Ketaatan yang mutlak
hanya pada Allah. Tidak ada yang lebih besar daripada mengesakan Nya. Semoga
Allah menjadikan kita dikalangan para hamba Nya yang bertaqwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan