Perkataan
cinta adalah sesuatu yang lunak untuk kita perkatakan. Sentimen kecintaan
menjanjikan sesuatu yang manis untuk dirasai, yang sejuk untuk dinikmati dan
yang indah untuk dihayati. Sesiapa sahaja yang bercakap berkenaan cinta pasti
terzahir rasa kegembiraan dan kesyukuran diatas nikmat cinta yang dirasainya.
Mencintai baginda Nabi SAW adalah suatu tuntutan dan suruhan dalam agama Islam.
Mencintai Nabi SAW bukanlah seruan bermusim. Hakikatnya, sepanjang masa, walau
di mana sahaja, kita dituntut dan disuruh untuk mencintai dan memuliakan
baginda Nabi SAW. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab
ayat 6 yang bermaksud :
"Nabi
itu hendaklah lebih utama bagi orang yang beriman melebihi diri mereka
sendiri".
Dalam
firman Nya yang lain, Allah SWT menegaskan suatu ancaman menanti kepada mereka
yang mencintai keduniaannya melebihi mencintai Allah dan Rasul Nya. Firman Nya
dalam surah at-Taubah ayat 24 yang bermaksud :
"Katakanlah
; jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri
kamu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu
bimbang kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai
daripada Allah dan Rasul Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah
sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada
kaum yang fasik".
Ini
bermakna mencintai Nabi SAW adalah merupakan kerukunan iman yang sangat
terpenting dalam kehidupan sebagai seorang Islam. Tidak ada maknanya keimanan
kita kepada Allah seandainya kita tidak memiliki perasaan cinta dan kasih
kepada Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi
SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah
(sempurna) iman salah seorang kamu sehingga aku lebih dicintainya berbanding
anak-anaknya, orangtuanya dan seluruh umat manusia".
Betapa
besarnya tuntutan dan suruhan agama kepada kita untuk mencintai baginda Nabi
SAW. Cinta dan kasih kepada Nabi merupakan tunjang keimanan kita kepada Allah
SWT. Antara tanda kesempurnaan iman kita kepada Allah adalah apabila kita
mencintai Nabi SAW. Sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari, Umar bin Khattab RA pernah berkata kepada Nabi SAW yang bermaksud :
"Wahai
Rasulullah, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling aku cintai daripada
segala sesuatu selain diriku sendiri". Maka (lalu) Nabi SAW bersabda,
'tidak, demi zat yang jiwaku ada di tangan Nya, sehingga aku lebih engkau
cintai dari dirimu sendiri'. Maka Umar berkata kepada baginda, 'Sekarang ini
engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.' Maka Nabi SAW bersabda, sekarang
(telah sempurna kecintaanmu (imanmu) padaku) wahai Umar".
Namun
begitu, persoalan yang lebih besar ialah bagaimana untuk kita menzahirkan rasa
kasih dan cintai kita kepada baginda Nabi SAW. Seperti kata orang dahulu kala,
cinta itu buta. Tetapi, apakah kebutaan cinta kita kepada Nabi SAW menjadikan
kita sebagai umatnya bertindak diluar suruhan baginda Nabi SAW ? Sedangkan,
antara tanda kecintaan kita kepada Allah SWT adalah dengan kita mengikuti
perintah baginda Nabi SAW. Hal ini sepertimana firman Allah dalam surah Ali
Imran ayat 31 yang bermaksud :
"Katakanlah
(wahai Muhammad) : "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku,
nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang".
Oleh
yang demikian, kecintaan kepada Nabi SAW yang benar adalah apabila kita
mengikuti jejak langkahnya dengan mengamalkan sunnah baginda Rasul. Juga tanda
cinta yang benar kepada Nabi SAW ialah apabila kita mematuhi segala larangan
dan tegahan olehnya. Justeru itu, seruan mengajak dan menyeru umat Islam untuk
kembali beramal dengan sunnahnya dan meninggalkan segala hal-hal bid'ah
bukanlah seruan yang janggal sama sekali. Kerana inilah juga perintah dan
seruan Allah kepada hamba Nya yang mencintai Allah dan Rasul Nya.
Dalam
sebuah hadith riwayat Ibn Majah, al-Darimi, Abu Daud dan lain-lain yang dinilai
hasan sahih oleh al-Tirmizi, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :
"Dan
sesungguhnya, barangsiapa di antara kalian yang akan hidup sepeninggalku akan
mendapati perselisihan yang banyak, maka berpeganglah dengan sunnah-ku dan
sunnah para Khulafa' Rasyidin yang telah mendapat petunjuk, berpegang eratlah
dengannya. Dan berwaspadalah kalian daripada setiap perkara yang diada-adakan,
kesemuanya itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat".
Inilah
antara wasiat baginda Nabi SAW untuk kita fahami dan renungi bersama. Mesejnya
sangat jelas. Kita dituntut untuk berpegang teguh dengan sunnah Nabi dan para
Khulafa Rasyidin dan berwaspada dengan setiap perkara baharu dalam agama yang
disebutkan sebagai bid'ah. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk
meninggalkan perkara bid'ah dalam beragama dan menegakkan sunnah. Inilah
manifestasi cinta sebenar kita kepada Nabi SAW. Bukan sekadar bernasyid
mengalunkan kata-kata pujian kepada baginda Nabi, bahkan lebih besar dan utama
daripada semua itu adalah dengan berjuang menegakkan sunnah dan berperang
menolak bid'ah.
Amat
dukacita sekali, apabila ada dikalangan umat baginda Nabi SAW yang mengakui
cinta dan kasih terhadap baginda, tetapi tanpa rasa bersalah menyebarkan
hadith-hadith palsu, membuat dakwaan palsu diatas nama cinta dan kasih
kepadanya. Malah lebih menyedihkan ada pula segelintir kelompok manusia yang
berbaju agamawan, melilit serban diatas kepala sambil memegang tasbih, sanggup
mempersendakan dan memperlekehkan sunnah Nabi dengan mengajar amalan-amalan
karut, syirik dan bid,'ah kepada masyarakat. Tatkala ditengah-tengah keadaan
masyaraksat yang dahagakan ilmu, ada yang mengambil kesempatan mengkesploitasi
agama berbohong diatas nama Nabi SAW.
Mengingatkan
diri ini dan kita semua, baginda Nabi SAW sangat tegas melarang kits daripada
melakukan pembohongan diatas namanya. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa
yang berdusta diatas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam
neraka".
Amaran
dan peringatan oleh Nabi SAW ini adalah untuk kita semua ambil peduli dan
sentiasa berwaspada. Semak sebelum sebar akan sesuatu hadith. Jangan biarkan
diri kita termasuk dalam golongan yang menempah tempat di neraka akibat daripada
berdusta dan berbohong dengan sengaja diatas nama Nabi SAW. Untuk mengelakkan
diri kita daripada semua ini, terpenting sekali untuk kita kembali belajar dan
beramal dengan amalan yang sahih, yang menepati suruhan dan tegahan baginda
Nabi SAW. Oleh itu, marilah kita benar-benar menamamkan kecintaan kepada Nabi
SAW dengan keluhuran cinta yang benar. Tidak beretorik, bermusim dan bersempena
semata-mata. Jadilah umat yang celik, agar kita menjadi insan yang mencintai
Nabi dengan sebenar-benarnya dan bukannya cinta berbalut kepalsuan belaka.
Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan