Kedatangan
agama Islam membawa suatu mesej yang terbesar dan terpenting bagi tujuan
mengeluarkan para manusia daripada tenggelam dalam lubuk kesesatan dan
kejahilan. Untuk itu, Allah SWT sejak zaman Nabi Adam AS lagi, telah
mengutuskan para Nabi dan Rasul Nya bagi sentiasa mengingatkan umat manusia
agar taat dan patuh serta tunduk berserah diri hanya pada Allah SWT. Oleh
kerana itu, kita akan melihat adalah seruan yang sama sejak Allah mengutuskan
Nabi Adam AS sehinggalah penutup sekalian Nabi, Muhammad SAW, seruannya adalah
mengajak umat manusia untuk taat dan menyembah hanya kepada Allah SWT.
Lembaran
sejarah mencatatkan pengamalan ritual penyembahan berhala ini telah wujud sejak
zaman Nabi Nuh AS. Sebelum daripada itu, bermula dari Nabi Adam AS, seruan
dakwah tidak henti-henti menyeru seluruh umat manusia untuk taat dan patuh
hanya pada Allah. Namun begitu, Nabi Nuh AS diutuskan oleh Allah SWT ketika
manusia telah mula menyembah berhala dan taghut. Bahkan, mereka pada ketika itu
telah tenggelam dalam kesesatan dan kekafiran. Maka Allah mengutskan Nabi Nuh
AS sebagai rahmat menyelamatkan umat manusia.
Dalam
kitab Qasas al-Anbiya' yang dikarang oleh Imam Ibn Kathir, beliau
menyebutkan bahawa setelah beradab-abad kejayaan Islam, keadaan berubah menjadi
sebaliknya iaitu ketika manusia beralih kepada penyembahan berhala. Demikian
apa yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Kathir. Sebab utama keadaan itu berubah
adalah sepertimana yang telah disebutkan dalam satu hadtih Nabi riwayat
Bukhari, daripada Ibn Abbas RA tentang pentafsiran ayat Allah SWT dalam surah
Nuh ayat 23, dimana ayat tersebut bermaksud :
"Mereka
berkata : Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Tuhan-Tuhan kamu
dan jangan sesekali kamu meninggalkan (penyembahan) Wad, Suwa', Yaghuth, Ya'uq
dan Nasra".
Ibn
Abbas RA mengatakan :
"Nama-nama
tersebut ialah nama orang soleh daripada kaum Nabi Nuh AS. Ketika mereka wafat,
syaitan membisikkan kepada kaumnya agar mereka membuat patung orang soleh
antara mereka dan memberikan nama-nama patung-patung mengikut nama-nama orang
soleh tersebut. Mereka patuh pada bisikan syaitan itu, pada mulanya
patung-patung tersebut tidak disembah, namun setelah mereka meninggal dunia,
maka patung-patung itu akhirnya disembah"
Kata
Ibn Jarir dalam tafsirnya, Jami' al-Bayan, menyatakan bahawa :
"Merekalah
orang soleh yang hidup antara waktu Adam dan Nuh. Mereka mempunyai ramai
pengikut setia. Selepas mereka meninggal, para pengikutnya berbincang, ada yang
mencadangkan :- 'bagaimana jika kita membuat patung-patung mereka kerana dengan
demikian, kita akan lebih kuat beribadah jika teringat kepadanya'. Maka para
pengikut mereka membuat patung-patung tersebut, apabila para pengikut orang
soleh tadi telah meninggal dunia dan berganti dengan generasi baru, iblis
datang mengoncang hati mereka. Iblis berkata :- 'Jika kamu bersedia menyembah
mereka, maka hujan akan turun kepadamu'. Mereka pun bertekad menyembah
patung-patung tersebut".
Dr.
Abdul Hamid al-Tahir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya' li al-Atfal, beliau
menyatakan bahawa Nabi Adam AS meninggal dunia setelah mengajar anak cucunya agar
hanya menyembah Allah SWT dan tidak mensyirikan Nya dengan sesuatu pun. Baginda
Nabi Adam AS wafat setelah menceritakan kepada mereka akan kisahnya dengan
Iblis agar diambil pedoman, malah baginda Nabi AS sendiri menegaskan bahawa
Iblis itu musuh bagi mereka. Namun setelah hari berganti bulan, bulan berganti
tahun hinggalah anak cucu Nabi Adam AS bertambah jumlahnya. Kebanyakan mereka
telah melupakan nasihat dan wasiat yang telah disampaikan oleh Nabi Adam AS.
Akibat
daripada kelalaian dan kealpaan tersebut, maka sedikit sahaja yang mengingati
akan pesanan dan wasiat oleh Nabi Adam AS. Pada masa yang sama, sepanjang
tempoh itu, terdapat orang-orang soleh yang sangat dicintai dan disanjungi oleh
mereka. Bahkan, orang-orang soleh yang terkenal ini seperti Wad, Suwa',
Yaghuth, Ya'uq dan Nasra ini mempunyai pengikutnya yang
ramai. Kecintaan dan ketakjuban yang melampau mereka terhadap orang soleh
ketika itu telah membuatkan mereka tersasar dan jauh dari ajaran yang sebenar.
Apabila orang soleh tersebut meninggal dunia, mereka yang sangat mengagumi
orang-orang soleh ini telah membuat patung dengan tujuan agar mereka tidak
melupai untuk meniru jejak hidup orang soleh tersebut.
Melihat
akan keadaan tersebut, Nabi Nuh AS tidak pernah mengalah dan sentiasa
mengingatkan kaumnya untuk tidak melampaui batas dan kembali taat dan menyembah
hanya kepada Allah SWT. Hal ini seperti firman Allah SWT dalam surah Nuh ayat
2-3 yang bermaksud :
"Dia
(Nuh) berkata : "Wahai kaumku ! Sesungguhnya aku ini seorang pemberi
peringatan yang menjelaskan kepada kamu. Sembahlah Allah, bertaqwalah kepada
Nya dan taatlah kepadaku".
Demikianlah
seruan dakwah Nabi Nuh AS kepada kaumnya untuk kembali menyembah Allah Azza Wa
Jalla. Keadaan parah ketika itu sama sekali tidak melemahkan usaha baginda Nabi
Nuh AS untuk mengajak dan mengingatkan kaumnya untuk taat dan patuh hanya
kepada Allah SWT. Selama 900 lebih tahun dakwah Nabi Nuh AS, tidak ramai yang
mentaati akan seruan Nabi Nuh AS. Akhirnya, sebagai balasan bagi mereka yang
ingkar akan seruan ini, dengan perbuatan melampau mereka yang mengagungkan
orang soleh, Allah SWT telah membinasakan mereka dengan banjir yang besar. Hal
ini dirakamkan dalam surah an-Najm ayat 52, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan
kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah
orang yang sangat zalim dan melampaui batas".
Seperti
yang dinyatakan oleh Safiyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab sirahnya, ar Raheeq
al Makhtum, tradisi sembahan berhala ini telah disambung dan dibawa masuk
ke Makkah oleh Amru bin Luhay, seorang pemimpin dari Bani Khuza'ah. Beliau amat
terkenal dengan sikapnya yang ringan tulang, senang membantu serta berbuat
kebajikan kepada masyarakat sekeliling. Bagi masyarakat Arab jahiliah ketika
itu, Amru bin Luhay dianggap sebagai wali keramat diatas sebab ketokohan beliau
dalam melakukan kebajikan. Beliau adalah watak terpenting yang berusaha membawa
tradisi sembahan berhala ini memasuki Makkah. Tindakan itu diambil setelah
beliau berjalan menuju ke negeri Syam. Lalu beliau melihat di sana ramai
penduduk Syam sedang menyembah berhala.
Maka
beliau lah yang bertanggungjawab membawa pulang berhala bernama Hubal dari
negeri Syam dan meletakkannya di dalam Ka'bah. Lantas, beliau telah menyeru dan
mengajak penduduk Makkah untuk menyembah berhala ini sama seperti apa yang
telah dilakukan oleh kebanyakkan penduduk negeri Syam pada ketika itu. Hasil
daripada usaha itu, berkembanglah ritual sembahan berhala di bumi Makkah
sehingga muncul lah beberapa berhala besar seperti Manat, Latta dan Uzza.
Demikianlah sejarah ritual sembahan berhala yang telah wujud sejak zaman Nabi
Nuh AS. Puncanya adalah kerana melampaui batas dalam soal mencintai dan mengasihi
orang-orang soleh.
Mencintai
dan mengasihi orang soleh bukanlah suatu yang salah dalam Islam. Bahkan kita
disuruh untuk banyak duduk dan berteman dengan golongan orang soleh. Tetapi
demikianlah kita ini. Sehebat mana pun cinta dan kasih kita kepada orang-orang
soleh, di sana terdapat batasan atau limitasi agar kita tidak keterlaluan
mahupun melampaui batas di dalam mengagumi orang-orang soleh. Tidak ada
mahabbah atau kasih sayang yang lebih agung melainkan cinta dan kasih kerana
Allah. Dengan itu, kecintaan kita kepada mana-mana manusia yang soleh tidaklah
sehingga membuatkan kita tenggelam dalam kesyirikan dan kekhurafatan dek kerana
terlalu mengagumi hingga tahap memuja dan sebagainya. Semoga Allah mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan