Jumaat, 7 Oktober 2022

SIAPAKAH MUHAMMAD BIN ABDULLAH ?

 

Islam adalah suatu cara hidup beragama yang sempurna dan lengkap meliputi segala hal kehidupan. Bukan sahaja Islam memberikan panduan hidup untuk kehidupan di dunia semata-mata, juga Islam mengajar kita memberi panduan untuk kehidupan di negeri abadi kelak, setelah kita dibangkitkan oleh Allah SWT di hari akhirat. Oleh itu, bagi membantu umat manusia memahami intipati dan ajaran agama Islam ini, Allah SWT telah memilih seorang lelaki berbangsa arab Quraisy dari keturunan bani Hashim, iaitulah yang bernama Muhammad bin Abdullah, sebagai seorang Rasulullah (utusan Allah).

Betapa besarnya hikmah ini apabila Allah Azza Wa Jalla dengan segala kebijaksanaan Nya, memilih utusan Nya dikalangan umat manusia yang sama seperti kita adalah bertujuan untuk kita mengambil contoh teladan dari tokoh manusia agung ini. Pada dirinya baginda Nabi Muhammad itu terserlah segala contoh dan teladan yang baik untuk kita ikutinya. Dalam al Quran, Allah SWT berfirman menerusi surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud :

"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik bagi kamu".

Allah SWT memilih utusan Nya dikalangan manusia bukanlah bermaksud Allah tidak mampu melantik makhluk Nya sebagai Rasul selain daripada manusia untuk menggalas misi membawa risalah suci agama ini. Namun, jika kita fikirkan sejenak, seandainya utusan Allah itu dipilih dikalangan malaikat, nescaya beribu alasan akan manusia berikan untuk tidak mengikuti perintahnya. Jika keadaan ini berlaku, dengan Allah melantik malaikat menjadi rasul Nya, barangkali ada dikalangan kita akan beralasan bahawa utusan tersebut adalah malaikat, dia tidak bernafsu, dia tidak makan dan minum, tetapi kami punyai nafsu, kami perlukan makan dan minum untuk hidup.




Oleh kerana itu, Allah dengan segala kemahuan Nya memilih utusan Nya bagi membawa risalah suci ini dikalangan umat manusia yang sama dengan kita. Baginda Nabi sebagai seorang manusia biasa, dipilih oleh Allah SWT sebagai Rasul Nya, adalah untuk diikuti dan dicontohi oleh sekalian umat manusia tanpa beralasan lagi itu dan ini. Selain menjadi panduan untuk diikuti oleh umat manusia, baginda Nabi Muhammad SAW diutuskan juga oleh Allah untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Nya dalam surah al-Anbiya' ayat 107, yang bermaksud :

"Tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam".

Perkataan rahmat seperti yang telah dibahaskan oleh para sarjana Islam bermaksud belas kasihan dan kasih sayang. Dalam erti kata yang lain, baginda Nabi diutuskan bagi menyebarkan kasih sayang dengan berlaku adil pada semua makhluk termasuk manusia, tumbuhan, jin, haiwan dan lain-lain. Selain itu, baginda Nabi SAW diutuskan ke dunia ini bukan sahaja untuk diikuti dan dicontohi oleh umat Islam malah menjadi teladan dan contoh yang baik untuk seluruh umat manusia meskipun mereka yang terdiri daripada golongan bukan Islam. Baginda Nabi sebagai utusan Allah, membawa nilai keadilan, kesejahteraan dan keharmonian hidup untuk semua umat manusia merentasi agama. Oleh kerana itu, kita dapat melihat bagaimana sikap baginda Nabi berinteraksi dengan kaum Yahudi di Madinah, Nabi menjamin akan keselamatan golongan ini selama mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Tugasan Nabi sebagai seorang Rasul yang bertanggungjawab membawa risalah Islam sama sekali tidak menjadikan baginda Nabi sebagai seorang yang ekstrimis, bengis, dan berlaku tidak adil pada mereka yang menolak dakwahnya. Sebaliknya, tatkala ketika baginda Nabi berdakwah, adakala dakwahnya ditolak dan ditentang seperti yang dilakukan oleh bani Taif, namun keadaan itu sama sekali baginda Nabi tidak mendoakan laknat kepada mereka meskipun Nabi dikasari dan disakiti. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya aku tidak diutuskan sebagai pembawa laknat (kepada orang lain) tetapi aku diutuskan sebagai pembawa rahmat".




Satu hal yang mesti diperjelaskan, ramai manusia yang bukan Islam beranggapan bahawa Nabi Muhammad itu adalah pengasas Islam, atau sebagai Tuhan atau anak Tuhan, sama seperti dakwaan yang dibuat oleh orang Nasrani yang mendakwa Nabi Isa AS sebagai Tuhan dan anak Tuhan. Anggapan ini sama sekali salah. Seperti yang telah kita sebutkan, baginda Nabi adalah sama seperti kita. Kita makan, baginda Nabi juga makan. Kita perlukan kepada tidur, baginda Nabi juga tidur seperti manusia biasa. Namun, diatas beberapa kelebihan yang dikurniakan oleh Allah, baginda Nabi memiliki beberapa keistimewaan yang tersendiri bertujuan untuk dijadikan contoh teladan pada seluruh umatnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 110 yang bermaksud :

"Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu ; Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Baginda Nabi merupakan manusia seperti kita. Pada diri baginda Nabi, terdapat tabiat seorang manusiawi yang perlukan kepada makan dan minum, perlukan kepada kerehatan, perlukan kepada hiburan dan sebagainya. Nabi juga tidak berupaya mengetahui akan perkara-perkara ghaib melainkan dengan khabar dari Allah. Begitu juga pada baginda Nabi, sama sekali baginda tidak berkuasa untuk memberikan sebarang mudarat atau manfaat, melainkan ianya datang daripada Allah SWT. Dalam surah al-Anfal ayat 188, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) : "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".




Demikian apa yang telah dijelaskan oleh Allah dan Rasul Nya. Kerana itu juga, kita disuruh untuk meminta dan memohon hajat atau pertolongan hanyasanya kepada Allah. Sebarang doa permintaan adalah untuk dimohon kepada Allah. Kerana Dia lah Tuhan yang memiliki segala kekuasaan di bumi dan di langit. Meskipun Nabi insan yang mulia, namun baginda Nabi tidak punyai kuasa melainkan Allah sahaja. Bagi orang yang beriman, menjadi pegangan bagi mereka untuk berikrar bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, utusan Allah dengan tujuan membawa berita gembira kepada mereka golongan yang beriman dan memberi peringatan kepada mereka golongan yang ingkar.

Itulah insan agung yang bernama Muhammad bin Abdullah. Seorang manusia yang terpilih untuk diangkat menjadi Rasulullah (utusan Allah) dengan membawa misi menyebarkan risalah Islam yang suci. Nabi Muhammad itu bukanlah pengasas agama, sama sekali bukan Tuhan, sebaliknya hamba Allah, yang dipilih sebagai utusan Allah. Oleh itu, bagi umat Islam, adalah suatu yang sangat mulia dan dihormati utusan Allah ini diatas limpah kurnia Allah menjadikan Muhammad bin Abdullah ini sebagai insan terpilih. Untuk itu, menjadi kewajipan umat Islam untuk menuruti segala sunnahnya sebagai tanda manifestasi cinta kita kepadanya. Kita dilarang sama sekali berbohong berdusta diatas namanya, apatah lagi mereka cipta ibadah melainkan yang datang dari petunjuk Nabi SAW. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan