Isnin, 17 Oktober 2022

MANUSIA MULIA KERANA ISLAM, BUKAN KERANA KETURUNAN

 

Kemuliaan adalah sesuatu yang berharga yang tidak dapat diperolehi hanya dengan sekadar mendakwa dirinya daripada keturunan, bangsa atau kaum yang baik. Umumnya, Allah SWT menciptakan manusia itu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa bukanlah bertujuan untuk mendabik dada dan mendakwa kaumnya atau keturunannya yang terbaik, sebaliknya Allah menjadikan kita semua berbilang bangsa dan kaum adalah dengan tujuan saling mengenali antara satu sama lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia ! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."

Menurut Imam al-Zamakhsyari dalam kitab al-Kasysyaf 'an Haqa'iq Ghawamidh al-Tanzil, ketika beliau membahaskan ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.




Inilah teras kepada keadilan Islam yang sejati. Sejak dahulu lagi Islam sangat menentang manusia bersikap rasis perkauman apatah lagi menganggap dirinya mulia dan lebih baik kerana datang daripada bangsa dan keturunan semata-mata. Untuk itu, secara asasnya setiap manusia itu baik apa pun bangsa, kaum dan keturunannya, semuanya adalah sama di hadapan Allah Azza Wa Jalla. Warna kulit yang pelbagai, bangsa dan kaum yang berbeza, keturunan yang bersalasilah sama sekali tidak menjamin kita terbaikdan terpilih untuk memasuki syurga Allah SWT.

Malah, di sisi Allah, manusia yang paling baik adalah mereka yang bertaqwa kepada Nya. Perkara ini ditegaskan oleh Allah menerusi firman Nya dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang juga sambungan daripada ayat yang disebutkan tadi, firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa".

Begitu juga sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa Allah sama sekali tidak melihat kepada wajah hamba Nya, sebaliknya Allah melihat kepada hati para hamba Nya dan amalannya. Sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidaklah melihat kepada wajah bentuk-bentuk dan harta-harta kalian. Akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kalian".




Ini bermakna, meskipun lahir daripada keturunan yang baik dan mulia, hal itu sama sekali tidak menjamin kita untuk mendakwa kita adalah insan yang paling mulia. Kerana di sisi Allah, keturunan, bangsa, warna kulit sama sekali tidak dilihat dan dinilai oleh Nya kecuali yang dilihat adalah keikhlasan hati para hamba Nya dan amalan yang dilakukan. Diatas nilai dan prinsip inilah, nama besar seperti Bilal bin Rabah, seorang lelaki Habasyi (Ethiopia) yang berkulit hitam, diangkat kedudukannya kerana keimanan dan ketaqwaannya pada Allah.

Begitu juga beberapa tokoh ilmuan Islam yang bukan berketurunan Arab seperti Abu Abdillah Muhammad bin Ismail, juga dikenali sebagai Imam Bukhari, pengarang kitab Sahih al-Bukhari, beliau yang berasal dari Bukhara, Uzbekistan, jaguhan dalam bidang hadith. Demikian juga pengarang kitab Sunan al-Nasai, Ahmad bin Ali bin Syu'aib al-Nasai atau dikenali sebagai Imam an-Nasai, juga bukan berbangsa Arab. Beliau berasal dari Nasa, sebuah negeri di Khurasan yang kini terletak di Turkmenistan. Namun begitu, namanya terkenal dan sangat dihormati kerana keilmuan Islam yang dimilikinya. Semuanya dimuliakan kerana Islam. Bukan kerana keturunan, bangsa mahupun kaum.

Satu hal yang pastinya adalah memuliakan keturunan Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut oleh Islam. Tuntutan perintah mengasihi keturunan Nabi Muhammad SAW ini berdasarkan firman Allah dalam surah Syura ayat 23 yang bermaksud :

"Katakanlah wahai Muhammad, tiada aku minta suatu balasan melainkan kecintaan kalian kepada kerabatku".

Kita semua tidak menolak akan perintah memuliakan keturunan Nabi SAW. Memuliakan keturunan Nabi bukan sekadar kerana mereka adalah daripada keturunan Nabi bahkan ianya juga adalah arahan dari Allah SWT. Mencintai dan memuliakan keturunan Nabi SAW dengan maksud menghormati, mengasihi dan menyayangi keturunan baginda Nabi diatas jalan syariat yang benar. Namun begitu, kemuliaan ini bukanlah lesen untuk kita tunduk sujud pada mereka, apatah lagi menyembah, mengagungkan dan membesarkannya. Kerana semua hal itu hanya layak diberikan kepada Allah Azza Wa Jalla. Dalam hal ini, Sayyid Abdullah al-Haddad mengingatkan kita semua agar tidak melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam memuliakan mereka.




Ini kerana keturunan Nabi SAW tidaklah maksum (terpelihara daripada melakukan dosa). Mereka juga adalah manusia seperti kita yang terdedah kepada melakukan kesilapan dan kekhilafan. Oleh yang demikian, sekiranya pada diri mereka, membawa ajaran atau mengajar perkara yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, wajib bagi kita menegur dan memperbetulkannya. Hal ini juga bertepatan dengan pendirian baginda Nabi SAW yang bertindak dengan keadilan Islam.

Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda sebagai respon balas terhadap permintaan Usamah bin Zaid, yang memohon agar Nabi memaafkan seorang pencuri perempuan daripada kaum Bani Makhzum yang telah disabitkan kesalahan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya".

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada bahawa sesiapa pun yang bertindak melanggar hukum syarak seperti yang menjadi ketetapan Allah dan Rasul Nya, pastinya akan dihukum sekalipun yang melakukan hal tersebut adalah dari kalangan keturunan Nabi SAW. Demikianlah kita disuruh untuk berpada dengan memuliakan keturunan Nabi SAW. Sungguh pun begitu, harus diingatkan bahawa keturunan Nabi SAW dimuliakan bukanlah salasilah yang mulia, tetapi kerana Islam, mereka dimuliakan.

Ingatlah kata-kata Umar al-Khattab RA yang bermaksud :

"Kita adalah golongan yang diberi kemuliaan oleh Allah SWT dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan maka ia telah dihina oleh Allah".

Justeru itu, benarlah sesungguhnya umat manusia ini menjadi mulia adalah kerana Islam. Keturunan Nabi SAW menjadi mulia, kerana Islam. Orang yang paling mulia di sisi Allah juga kerana Islam, kerana taqwanya kepada Allah SWT. Tidak ada sesiapa pun yang dimuliakan kerana kedudukannya, keturunannya, warna kulit dan bangsanya. Kemuliaan yang kita kecapi hari ini adalah kerana kita seorang Islam. Tanpa Islam, tiada lah apa-apa kemuliaan dan keistimewaan. Umat hari ini dilihat terhina kerana kita sendiri yang memilih untuk meninggalkan ajaran Islam sebenar. Tanpa rasa bersalah, Islam hanya pada nama. Tidak lagi pada tindakan dan keyakinan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan