Khamis, 27 Oktober 2022

KERJA RUMAH : TUGAS SUAMI ATAU ISTERI ?

 

Dalam usaha membina rumahtangga yang bahagia, kesepaduan antara suami dan isteri sangat penting untuk mewujudkan suasana yang bahagia dan berkasih sayang. Tanpa kesepaduan yang utuh, peranan dan tanggungjawab bersama akan turut diabaikan oleh pasangan. Keadaan ini lebih parah akan membawa kepada penceraian diatas sebab tiada persefahaman. Oleh kerana itu, apabila kita berbicara soal rumahtangga, ianya tidak sekadar isu berbulan madu, perancangan anak dan sebagainya. Bahkan, hidup berumahtangga akan mengajar kita erti toleransi, berdikari dan saling bertanggungjawaban dalam melayari bahtera rumahtangga ini.

Tanggungjawab suami isteri antara manifestasi cinta kita kepada pasangan. Tanpa rasa bertanggungjawab, maka tidak bermakna cinta dan kasih sayang yang dibina bersama. Oleh sebab itu, Allah Azza Wa Jalla mengingatkan para hamba Nya tentang hak dan tanggungjawab suami isteri. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 228 yang bermaksud :

"Dan para isteri mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya"




Timbul persoalan, tugas mengemas, memasak dan sebagainya ini adalah tugas siapa ? Barangkali wujudnya persoalan ini kerana peredaran zaman yang kian maju dan moden telah mengubah banyak hal termasuklah peranan wanita yang pada hari ini bukan sekadar handal di dapur, namun turut bekerjaya, berkedudukan dan berjawatan tinggi dan terpenting selari dengan golongan lelaki. Keadaan ini secara tidak langsung telah menimbulkan salah faham dan tanggapan yang tidak benar terhadap Islam. Maka tidak peliklah sekiranya ada yang beranggapan para isteri wajib duduk di rumah sahaja dan tidak boleh kerja selain menjaga rumah.

Dalam soal kerja rumah ini tugas siapa, seperti yang telah dinyatakan oleh Syeikh Abd Karim Zaydan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'at wa Bayt al Muslim fi al-Syariah Islamiah, jumhur para ulama berpandangan seorang suami tidak mempunyai hak sama sekali untuk mengarahkan seorang isteri melakukan kerja-kerja rumah dan tidak wajib bagi isteri melayani keperluan suami melainkan dengan kemahuan isteri sendiri yang berbuat demikian tanpa ada paksaan atau mewajibkan kepada isteri. Oleh itu, secara asasnya, seorang suami tidak berhak memaksa atau menyuruh isterinya berbuat kerja rumah melainkan jika kerja tersebut dilakukan oleh isterinya sendiri dengan kerelaan hatinya.

Menurut pandangan Imam 'Ala' al-Din al-Kasani dalam kitabnya Bada'i al-Sana'i , tokoh dalam mazhab Hanafiyyah, beliau menyatakan bahawa :

"Seandainya suami datang membawa makanan yang perlu dimasak lalu isteri enggan memasaknya maka isteri jangan dipaksa berbuat demikian. Sebaliknya suami perlu membawa makanan yang sudah siap dimasak".

Demikian pula dalam mazhab Malikiyyah, seperti pandangan yang dinyatakan dalam kitab al-Syarh al-Kabir yang dikarang oleh Syamsuddin Muhammad 'Arfa al-Dasuqi, beliau menyatakan bahawa :

"Wajib bagi suami memberikan khidmat kepada isterinya, (jika suami mempunyai keluasan rezeki), dan isteri (orang yang mempunyai kedudukan / kemuliaan) maka tidaklah menjadi kewajipan isteri untuk berkhidmat (melakukan kerja-kerja rumah). Justeru suami wajib menyediakan pembantu bagi isterinya. Tetapi jika suami tidak berkemampuan, maka isteri hendaklah melakukan kerja-kerja rumah untuk suaminya meskipun isteri seorang yang kaya dan mempunyai kedudukan / kemuliaan, tetapi isteri tidak dituntut melakukan kerja-kerja tersebut untuk tetamunya".




Menurut Abu Ishaq al-Syirazi, tokoh besar mazhab Syafi'iyyah pula, tulisannya dalam kitab Muhazzab menyatakan bahawa :

"Tidak wajib bagi seorang isteri memberikan khidmat membuat roti, memasak, membasuh dan sebagainya kerana yang ditetapkan dalam perkahwinan adalah memberikan khidmat seksual. Justeru khidmat selainnya adalah tidak menjadi kewajipan bagi isteri".

Dalam mazhab Hanabilah pula, memetik pandangan Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, beliau menyatakan bahawa :

"Tidaklah seorang isteri itu melayani suaminya dengan menguli tepung, membuat roti, memasak, menyapu dan sebagainya kerana yang ditetapkan dalam perkahwinan adalah memberikan layanan seksual, justeru hal-hal selain itu tidak menjadi kewajipan bagi isteri melakukannya. Bagaimana pun, menurut mazhab ini, adalah lebih utama bagi seorang isteri melakukan apa yang menjadi adat kebiasaan".

Namun begitu, meskipun jumhur para ulama menyebutkan bahawa isteri tidak wajib melakukan kerja rumah, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Maj'mu al-Fatawa, beliau menyatakan bahawa kerja-kerja menguruskan rumahtangga termasuk memasak, mengemas, membasuh dan lain-lainnya adalah merupakan tugas para isteri. Beliau menyatakan antara dalil atau bukti dinyatakan sedemikian adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ali RA, beliau menceritakan :

"Bahawa Fatimah mengadu tentang kecederaan tangannya disebabkan dia kerja menggiling. Lalu dia pergi menemui Rasulullah SAW untuk meminta daripadanya seorang pembantu, tetapi baginda tidak ada. Lalu dia menyebutkan hal itu kepada ‘Aisyah RAnha. Apabila baginda pulang, ‘Aisyah pun memberitahu hal itu.

Lalu baginda datang menemui kami ketika kami sudah berada di tempat tidur kami, lalu aku mahu bangun, baginda pun berkata: Tetaplah di tempat kamu. Lalu baginda duduk di antara kami berdua sehingga aku dapat merasai kesejukan kaki baginda pada dadaku.

Baginda bersabda: Mahukah aku tunjukkan kalian berdua sesuatu yang lebih baik daripada pembantu rumah. apabila kalian berdua pergi ke tempat tidur, ucapkanlah takbir sebanyak tiga puluh tiga kali, tasbih sebanyak tiga puluh tiga kali, dan tahmid sebanyak tiga puluh tiga kali. Ini lebih baik untuk kalian berdua daripada pembantu rumah".




Berdasarkan hadith ini, telah menjadi kelaziman seorang isteri membantu suami dalam menguruskan rumah seperti mengemas, memasak dan sebagainya. Sekiranya seorang isteri tidak layak melakukan kerja-kerja rumah sudah tentu baginda Nabi SAW akan meminta Ali RA mendapatkan pembantu (khadam) untuk anaknya Fatimah az-Zahra'. Inilah antara hujah yang menjadi sandaran oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah bagi menyatakan keharusan tanggungjawab isteri mengemas rumah. Selain itu, terdapat banyak lagi dalil yang menunjukkan bukti bahawa kerja-kerja rumah adalah tugas seorang isteri. Meksipun begitu, adalah penting juga bagi kita melihat adat dan uruf bagi sesuatu tempat agar sesuai dengan zaman dan masanya.

Sesungguhnya, rumahtangga ini adalah tanggungjawab suami dan isteri. Biarpun berdasarkan adat dan uruf setempat, kerja rumah menjadi tugas seorang isteri, namun tidaklah sedikit pun menjatuhkan maruah seorang suami untuk menolong isteri mengemas rumah, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya. Bahkan menjadi sunnah Nabi SAW membantu isteri melakukan kerja rumah. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari yang bermaksud :

"Al-Aswad berkata : Aku bertanya kepada Aisyah RAnha : Apa yang Rasulullah SAW lakukan di rumahnya ? Beliau menjawab : Baginda membantu berkhidmat menguruskan urusan keluarga. Apabila masuknya waktu solat, baginda keluar mendirikan solat",

Ini menjadi bukti bahawa baginda Nabi SAW merupakan seorang suami berdedikasi, yang rajin membantu isterinya melakukan kerja-kerja rumah. Islam juga menyuruh agar para suami melayani para isteri dengan penuh kebaikan. Sifat tolong-menolong, saling bertoleransi dan selainnya pasti akan mewujudkan suasana yang berkasih sayang, tenang dan hidup bahagia bersama. Untuk itu, para suami juga seharusnya bijak melayani isteri dengan sekali-sekala membantu melakukan kerja-kerja rumah sekaligus dapat menambahkan rasa cinta dan kasih sesama ahli keluarga. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan