Kelangsungan
hidup diatas muka bumi ini memerlukan kerahan usaha bagi mencari rezeki
menampung kehidupan di hari-hari yang mendatang. Tambahan pula pada ketika dan
waktu yang serba mencabar ini, ramai manusia menjadi semakin kreatif mencipta
peluang dan ruang untuk menyara hidup. Perkara ini termasuklah membabitkan
penglibatan golongan wanita pada hari ini yang turut mengambil bahagian mencari
kerja demi sebuah kelangsungan kehidupan. Jika dahulu, golongan wanita
kebanyakannya memfokuskan tugasannya menguruskan rumahtangga sahaja namun hari
ini melihatkan peratusan pembabitan golongan wanita bekerjaya semakin
bertambah.
Wanita
dan kerjaya bukanlah suatu hal yang asing bagi Islam. Selari dengan nilai Islam
yang berpaksikan pada keadilan, Islam suatu agama yang adil dengan memberikan
haknya kepada yang berhak. Wanita pada kacamata Islam dinilai sama seperti
lelaki, yang mempunyai kehendak yang tersendiri. Pengamalan orang terdahulu,
para wanita lebih banyak berada di rumah menguruskan rumahtangga, namun keadaan
itu tidak sedikit pun memberikan halangan kepada para wanita untuk mempunyai
kerjaya. Namun disebalik semua ini, pokok pentingnya bagi para wanita yang
bergelar isteri adalah untuk mereka meminta izin si suami terlebih dahulu untuk
melakukan sesuatu pekerjaan luar. Sebaliknya bagi para wanita yang tidak
berumahtangga, menjadi syarat juga bagi mereka memohon keizinan para walinya
bagi melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Dalam
catatan sejarah, isteri Nabi Muhammad SAW yang pertama, Khadijah binti
Khuwailid, merupakan seorang wanita bekerjaya sebagai ahli korporat perniagaan
yang berjaya. Dalam hal ini, kita melihat bahawa baginda Nabi Muhammad SAW sama
sekali tidak pernah menyuruh untuk isterinya berhenti bekerja dan juga tidak
pernah sama sekali baginda Nabi melarang isterinya untuk meneruskan perniagaan
tersebut.
Begitu
juga bagaimana di zaman Nabi SAW, Asma binti Abu Bakr, anak kepada Abu Bakar as
Siddiq, membantu suaminya, Zubair al Awwam, mengangkat biji-bijian kurma diatas
kepalanya demi mencari rezeki. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim,
daripada Asma binti Abu Bakr R.Anha beliau menceritakan kepada al-Zubair yang
bermaksud :
"Aku
pada suatu hari memindahkan biji-biji kurma (dengan meletakkannya diatas
kepalaku) daripada tanah yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada
al-Zubair dan tanah tersebut seluas dua pertiga farsakh. Maka beliau (Asma')
berkata : "Maka aku pun datang pada satu hari dalam keadaan biji-biji
kurma berada diatas kepalaku kemudian aku pun bertemu dengan Rasulullah SAW dan
bersama dengan baginda beberapa orang dari kalangan sahabat. Lalu baginda
memanggil aku dan berkata 'ikh' 'ikh' untuk membawa aku di belakang baginda.
Maka aku pun berasa malu dan aku tahu akan kecemburuanmu (al-Zubair). Maka
al-Zubair pun berkata : "Demi Allah, kamu memikul bijian kurma diatas
kepala mu itu lebih berat berbanding kamu menaiki kenderaan bersama
baginda"
Berdasarkan
kefahaman hadith ini, kita boleh melihat bagaimana wanita dan kerjaya pada
zaman Nabi SAW bukanlah sesuatu yang baharu. Bahkan sekiranya mendapat keizinan
para suami dan wali, maka diharuskan bagi para wanita untuk menceburi bidang
kerjaya. Namun begitu, kerjaya yang utama dan terpenting bagi kaum wanita
adalah kerja mendidik dan membesarkan anak-anak mencipta generasi umat yang
bertamadun. Hal ini sepertimana yang telah disebutkan oleh al-Marhum Dr. Yusuf
al-Qaradhawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah, beliau menyebutkan bahawa
:
"Walau
bagaimana pun kerjaya pertama dan terbesar wanita yang tidak dapat disangkal
dan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pesaing adalah mendidik seluruh
generasi. Tugas ini disediakan oleh Allah SWT untuk wanita secara fizikal dan
mental. Wanita perlu untuk tidak disibukkan daripada mesej agung ini dengan
kesibukkan isu kebendaan ataupun moral walau apa cara sekalipun. Ini kerana
tiada sesiapa yang mampu mengambil alih tempat wanita dalam tugas besar ini.
Pada tugas ini juga terletaknya masa hadapan umat Islam. Melalui tugas ini juga
terbentuknya kekayaan-kekayaan terbesar, iaitu kekayaan umat manusia"
Terdapat
banyak contoh-contoh lain yang boleh kita fahami tentang soal wanita bekerjaya
ini. Misalnya, pada baginda Nabi, para wanita turut tidak terlepas peluang
bekhidmat di medan perang dengan memasak menyediakan makanan kepada para
tentera Islam, juga merawat dan mengubati para tentera yang tercedera semasa
dalam peperangan. Pada zaman pemerintahan Umar al Khattab, beliau pernah
melantik seorang penyelia pasar iaitu al-Syifa' bagi membantunya menguruskan
pasar pada ketika itu. Semua ini adalah contoh wanita bekerjaya menunjukkan
kepada kita sesungguhnya wanita dan kerjaya bukanlah sesuatu yang asing dalam
Islam.
Disebalik
keharusan bagi kaum wanita untuk bekerjaya, di sana terdapat beberapa syarat
dan garis panduan yang harus dipatuhi seperti yang dinyatakan dalam kitab Fatawa
Mu'asirah karangan al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Antaranya ialah
pekerjaan itu sendiri mestilah pekerjaan yang mengikut syarak. Dalam erti kata
lain, tugasan yang hendak dilakukan tersebut bukanlah kerja yang haram dan yang
bercanggah dengan syariat Islam. Selain itu, bagi para wanita yang bekerjaya
dan mempunyai komitmen kerja di luar rumah hendaklah sentiasa menjaga adab
apabila keluar dari rumah. Hal ini termasuklah menjaga adab dari sudut
penampilan, gaya berjalan, percakapan dan pergerakan. Firman Allah Azza Wa Jalla
dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :
"Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan
mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka ; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya ;"
Demikian
juga dalam firman Nya yang lain, menerusi surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud
:
"Janganlah
kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi)
kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam
hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan
kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)".
Juga
pekerjaan yang hendak dilakukan tersebut tidaklah sehingga mengakibatkan para
wanita mengabaikan tugasan dan kerja hakiki mereka terutamanya bagi para
isteri. Dalam erti yang lain, ketekunan para wanita yang bergelar isteri
bekerja membantu suami, janganlah sehingga mengabaikan tanggungjawan mendidik
anak, mengurus rumahtangga dan melayani suami. Inilah beberapa syarat serta
garis panduan yang perlu dipatuhi agar setiap yang kita kerjakan bakal dikira
sebagai amal soleh dan berpahala. Suda tentu setiap dikalangan kita, baik
wanita yang sudah berkahwin mahupun yang belum berkahwin, mempunyai cita-cita
dan impian kerjaya yang hendak dicapai. Selagi hal itu di dalam ruang lingkup
syarak, maka tiada halangan bagi kaum wanita untuk bekerjaya.
Islam
adalah suatu cara hidup yang lengkap, yang memberikan ruang bagi kita memilih
dan menentukan masa depan dalam kerangka kemampuan umat manusia. Adapun di luar
batasan manusia, seperti ajal maut, bukanlah urusan kita untuk menelitinya. Oleh
yang demikian, Islam dengan penuh keadilan juga memberikan ruang untuk para
wanita bekerjaya selagi mana hal itu di patuhi dengan beberapa syarat dan garis
panduan yang ditetapkan. Wanita juga sama seperti lelaki, punyai rasa dan cita.
Tidaklah salah bagi kaum wanita untuk bekerjaya membantu suami meringankan
beban. Sebaliknya, tidaklah pula salah jika ada kaum wanita yang tidak mahu
bekerja dan mahu menumpukan dalam hal rumahtangga sahaja. Semoga Allah
merahmati dan melindungi kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan