Jumaat, 30 September 2022

MEMILIH PEMIMPIN YANG BERSIH

 

Memilih pemimpin adalah suatu bentuk demokrasi yang memberi ruang untuk rakyat bersuara memilih sebagai wakil mereka kelak. Proses memilih pemimpin bukanlah suatu yang boleh dipandang enteng. Meskipun demokrasi bukanlah suatu sistem yang adil secara mutlak, tetapi hakikatnya pengamalan demokrasi sedia ada pada hari ini sangat penting bagi membentuk sebuah kestabilan politik negara. Sebagai seorang Islam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk prihatin akan persoalan melantik pemimpin yang bakal menjadi wakil suara kita.

Pastinya kita semua tahu dan yakin bahawa proses kita membuang undi memilih pemimpin, bermakna secara sedar kita bersedia untuk memberikan mandat kepada seseorang yang kita pilih berdasarkan penilaian yang kita lakukan. Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan kita akan kepentingan melantik pemimpin dengan kata lain, peri pentingnya kita memilih pemimpin dengan memberikan amanah kepada mereka yang benar-benar layak. Firman Allah SWT menerusi surah al Nisa' ayat 58 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dikalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.."




Dengan itu, dapat kita fahami bahawa memilih pemimpin dengan memberikan undi kepada mereka yang tidak layak dan berhak, kita telah melakukan suatu pengkhianatan besar memperjudikan nasib dan masa depan negara tercinta. Allah menyuruh kita agar memilih pemimpin yang berhak menerimanya, yang diyakini mampu membawa negara ke arah yang lebih stabil, berintegriti dan sebagainya. Proses mengundi bukan suatu pesta bersuka-ria mengundi kerana dapat habuan itu ini. Sebaliknya, kita mesti bertanggungjawab diatas pilihan yang kita lakukan.

Bagi menentukan siapa yang layak untuk dipilih menjadi pemimpin, Allah SWT memberikan panduan kepada hamba Nya memilih dikalangan mereka yang mempunyai sifat al-Qawiy (berkemampuan) dan al-Amin (beramanah atau bertaqwa). Hal ini berdasarkan firman Nya dalam surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah".

Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, katanya :

"Hendak dipastikan orang yang terbaik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kemampuan) dan al-Amanah (beramanah atau bertaqwa)... Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. Al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam pelbagai jenis peperangan.. al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takut kepada Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah)".




Berdasarkan untaian kata yang panjang lebar ini, sebelum daripada kita memilih seseorang untuk menjadi pemimpin, terlebih dahulu menjadi tanggungjawab besar untuk kita memastikan mereka yang akan kita pilih ini berkelayakan berdasarkan panduan yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla. Memilih pemimpin yang baik memerlukan kita berlapang dada menerima perbezaan yang ada. Jika kita dikuasai oleh sikap ketaksuban pada pihak tertentu, sudah pasti kita tidak dapat membuat ketetapan memilih secara adil dan saksama.

Tersalah memilih, bakal mengundang kemurkaan Allah. Ini kerana pemimpin yang baik akan dikasihi oleh Allah dan Rasul. Sebaliknya, bagi mereka yang memilih seseorang yang zalim, kerjanya menipu rakyat dan sebagainya, sesungguhnya Allah memberi peringatan serta amaran kepada mereka yang cenderung memilih dan menyokong orang yang zalim, tidak beramanah, untuk diangkat sebagai pemimpin mereka. Hal ini berdasarkan firman Nya dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain daripada Allah kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan".

Oleh yang demikian, kita sama sekali dilarang untuk memilih seseorang yang diketahui akan kezalimannya, kita tahu dirinya terbabit dalam gejala rasuah, tidak bermoral dan tidak berakhlak, meskipun orang tersebut merupakan ahli keluarga dan keturunan kita, kawan dan kenalan, kita dilarang memilih dan mengangkat orang yang bersikap sedemikian. Jika direnungkan bersama, betapa besarnya peranan kita di dalam usaha menentukan masa depan tanah air tercinta. Tentulah, pilihan di tangan kita. Untuk itu, kita seharusnya bijak memilih pemimpin yang bersih, baik dari segi rekodnya dan pencapaiannya.




Kita seharusnya belajar dan mengambil pelajaran dari sejarah yang telah terlakar dahulu. Pemimpin yang korupsi, mengambil dan menggunakan dana awam sesuka hati, tanpa rasa bersalah, menyalah guna kuasa, semuanya ini pastinya kita tidak mahu dengar dan lihat lagi. Kita sangat mengimpikan negara yang stabil dan dapat menjamin keselamatan warganya. Oleh itu, apa yang boleh kita lakukan bagi mencapai impian tersebut adalah dengan kita bijak memilih, berikan mandat pada yang layak dan jangan sama sekali memilih mereka yang korupsi, tidak bersih dan sebagainya. Ketahuilah bahawa undian ketika di dunia adalah untuk dihitung ketika di negeri akhirat.

Seruan pada mereka yang mencintai tanah air ini, setiap undian yang dibuat pasti akan dipersoalkan di hari akhirat. Maka, lihatlah dengan mata nurani kita, apakah kita mahu menyaksikan negara ini dipacu oleh mereka yang kerjanya menipu rakyat, penuh korupsi dan sebagainya. Sudah tentu kita tidak mahu lagi melihat drama episod bersiri ini terjadi. Sedarlah kita bahawa tanggungjawab memilih pemimpin bukanlah semudah yang dilihat. Namun dengan pertolongan Nya, bantuilah pada mereka yang lebih memerlukan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan