Pengaruh
iklim yang baik sangat membantu dan membina kehidupan umat manusia untuk hidup
lebih aman dan damai. Secara tidak langsung, peranan besar iklim bersifat
global akan membantu membentuk eko-sistem yang lebih sejahtera dan stabil.
Dalam makna yang lebih mudah, faktor iklim yang baik akan menyumbang kepada
keselamatan eko-sistem yang lebih terjamin. Namun begitu, keadaan dunia yang
semakin padat dengan penghuninya telah menekan keadaan untuk lebih mengeluarkan
hasil-hasil alam dan sumber tenaga yang lain. Akibat daripada itu, kerasukan
manusia memonopoli sumber alam dan tenaga asli menjadikan iklim dunia berubah
dari semasa ke semasa.
Dalam
hal ini, Allah SWT telah mengingatkan kita semua dalam surah al-Anbiya' ayat 31
yang bermaksud :
"Dan
Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu
tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan
lalu-lalang supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan
jasmani"
Berdasarkan
ayat tersebut, dapat kita ungkapkan antara hikmah kejadian bentuk muka bumi yang
bergunung-ganang dan berbukit-bukau adalah supaya bumi ini tidak bergegar dan
bergoyang sehingga dapat memberikan ketidakstabilan kepada penduduk bumi.
Tetapi malangnya, apabila populasi umat manusia bertambah, semakin rakus dan
tamak membolot kekayaan sumber alam dan tenaga asli. Akibatnya, dunia kini
berdepan dengan krisis perubahan iklim global. Ianya bukan lagi satu rahsia.
Terdapat pelbagai kajian dan laporan dikeluarkan oleh pelbagai agensi
antarabangsa, melahirkan perasaan bimbang akan perubahan iklim yang tidak
stabil ini.
Menurut
Jabatan Meteorologi Malaysia, perubahan iklim merujuk kepada perubahan
signifikan statistik dalam purata keadaan iklim ataupun kepelbagaiannya, untuk
jangka masa panjang (biasanya dekad atau lebih). Perubahan iklim juga boleh
ditakrif sebagai perubahan iklim yang disebabkan secara langsung atau tidak
langsung dengan aktiviti manusia yang mengubah komposisi atmosfera global.
Perubahan iklim boleh berlaku dengan beberapa sebab antaranya seperti proses
semulajadi dalaman bumi, pendorong luaran ataupun perubahan antropogenik yang
berterusan dalam komposisi atmosfera dan penggunaan tanah.
Fenomena
perubahan iklim ini boleh berlaku apabila gas yang dikenali sebagai gas rumah
hijau membabitkan kumpulan gas Karbon Dioksida (CO2), Karbon
Monoksida (CO), Kloroflorokarbon (CFC) terperangkap dan menghalang
haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Kumpulan gas ini membenarkan
bahang matahari menembusinya. Tetapi pada masa sama, kesan daripada gas rumah
hijau tersebut akan menghalang bahang matahari untuk dibebaskan semula bahang
bumi ke ruang atmosfera. Keadaan ini akan menyebabkan kesan terhadap iklim
global dan menyumbang kepada pemanasan global.
Menurut
Prof. Dr. Fredolin Tangang, Panel Perubahan Iklim antara Kerajaan (IPCC) dari
Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau berkata perubahan iklim berlaku
disebabkan pemanasan sistem iklim global dan ia perkara yang nyata. Dapat hasil
kajian yang beliau perolehi mendapati suhu global meningkat 0.85 darjah celcius
dalam tempoh seabad lalu dan dijangka terus meningkat dengan purata enam darjah
celcius dalam tempoh seabad akan datang. Perubahan suhu secara dramatik
berpunca daripada penggunaan lebih banyak bahan api fosil seperti minyak, gas
dan batu arang, menyebabkan peningkatan kepekatan gas rumah hijau. Ini keadaan
dan realiti yang mesti kita dan generasi seterusnya akan hadapi.
Sedar
ataupun tidak, kesan perubahan iklim global akan memberikan tekanan kepada
persekitaran yang akan turut menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik.
Apabila iklim mengalami perubahan mendadak seperti suhu panas dunia yang
meninggi, jumlah taburan hujan meningkat dan peristiwa cuaca ekstrem seperti
ribut petir dan angin ribut, semuanya akan mengheret alam dan seisinya kearah
kebinasaan dan kehancuran. Dalam konteks negara kita sendiri, tragedi banjir
besar tahun 2021 telah banyak memberi pengajaran kepada kita. Biar apapun
faktor terjadinya musibah ini, bukan lagi masa untuk menunding jari dan saling
menyalahi. Kita juga boleh menyaksikan beberapa siri kejadian kepala air
dilaporkan berulang kali di negara kita.
Kesan
perubahan iklim juga turut menjejaskan bekalan makanan negara. Keadaan iklim
yang tidak stabil akan mempengaruhi corak pertanian seperti penaman padi yang
merupakan sumber utama negara. Kadar pengeluaran hasil pertanian bakal
terjejas, sekaligus mampu melumpuhkan ekonomi kita. Kita sewajarnya tidak
memandang enteng akan perubahan iklim yang sedang berlaku ini. Kesannya juga
mampu mengubah banyak landskap kehidupan umat manusia secara normal. Oleh yang
demikian, kegagalan umat manusia meneliti dan merancang dengan baik akan
mengundang pelbagai bala bencana akibat kecuaian diri kita sendiri.
Allah
Azza Wa Jalla telah menjelaskan kepada kita akibat kerosakan dan kebinasaan
dunia ini hasil daripada tangan-tangan manusia itu sendiri. Firman Allah dalam
surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud :
"Telah
terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan
manusia, Allah mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan
mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)".
Sudah
tentu bala bencana dan musibah yang sering melanda dunia berupa isyarat
peringatan dari Allah, Tuhan empunya milik alam ini kepada manusia sebagai
penghuniya alam Nya, agar tidak semberono membolot segala hasil bumi sehingga
mengubah sifat aslinya. Memuhasabah kembali, beberapa punca akibat dari kita
sendiri yang telah mengundang perubahan iklim global ini. Antaranya adalah
kerana kita sendiri yang telah mengubah fitrah ciptaan Nya demi memenuhi
kehendak duniawi. Misalnya, sumber air yang sifatnya bersih lagi suci, telah
dicemari dengan bahan-bahan buangan industri yang akhirnya mengubah warna dan
rasa air bersih.
Umat
manusia juga seringkali menzalimi struktur muka bumi yang asli ini dengan
mengeksploitasi alam tanpa kita berusaha untuk memulihkannya. Sifat zalim
manusia terhadap alam ini turut mencederakan sistem habitat penghuninya yang
terdiri daripada haiwan dan tumbuhan asli. Selain itu, kita juga seringkali
sombong dengan kemajuan teknologi yang ada pada hari ini sehingga tidak memikir
lagi akan nasib kestabilan alam semulajadi. Kerasukan diri merobek alam
semulajadi demi memenuhi cita-cita dan kehendak kemajuan teknologi dan
industri, memparahkan lagi keadaan.
Demikianlah
sesama umat manusia. Ada yang mahu peduli dan ada juga yang tidak mahu peduli.
Bagi sesetengah mereka, isu ini mungkin kecil dan remeh. Bukan tugas merrka
untuk memikirkannya. Ianya terletak dipundak bahu pemerintah atau sesiapa pihak
yang berkenaan. Namun percayalah, tanpa kesedaran dari bawah, kita tidak akan
dapat melakukan perubahan untuk menangani krisis ini. Biar apa-pun dasar yang
diperkenalkan oleh kerajaan, kita mesti bersama dalam usaha memulihkan alam
anugerah yang tiada galang-gantinya ini. Sesungguhnya, manusia yang beriman
pasti akan merasai tanggungjawab untuk memastikan anugerah alam ini terus
dipelihara. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan