Jumaat, 16 September 2022

ISLAMOFOBIA : PERANG PERSEPSI DAN SITUASI REALITI

 

Perkataan "Islamofobia" adalah merujuk kepada maksud suatu tindakan kebencian dan menimbulkan prasangka buruk terhadap sebarang bentuk yang dinamai diatas nama Islam. Sifat kebencian ini boleh berupa dengan pelbagai bentuk sama ada secara fizikal, dalam bentuk politik, dalam nilai kebudayaan, linguistik dan sebagainya. Menurut Pertubuhan Kerjasama Islam atau OIC, Islamofobia bermaksud satu ketakutan atau lebih tepatnya ketakutan yang melampau terhadap Islam termasuk apa sahaja yang terkait dengan agama Islam, termasuk masjid, kitab al-Quran, tudung dan sebagainya.

Secara asasnya, Islamofobia adalah suatu naratif yang dibawakan oleh pihak barat bagi menaburkan persepsi buruk dan salah faham kepada agama Islam. Tanpa kita sedari, labelan Islamofobia ini adalah bercanggah dengan nilai sejagat yang didokongi oleh masyarakat sivil dibawah nama hak asasi manusia. Ini bermaksud, melabel seorang muslim dengan labelan buruk kerana dirinya beragama Islam adalah bertentangan dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Ini kerana di dalam artikel dibawah deklarasi 1948 tersebut, dinyatakan bahawa setiap individu adalah sama rata, dan sebarang bentuk diskriminasi merupakan suatu pencabulan deklarasi. Bukankah melabel orang Islam dengan labelan tertentu bermaksud telah berlaku diskriminasi terhadap kepercayaan Islam ?




Juga sekiranya kita menyemak di dalam artikel 1 dibawah Deklarasi Kaherah Berkenaan Hak Asasi Manusia dalam Islam 1990, dinyatakan dengan jelas bahawa setiap manusia adalah sama rata dari sudut martabat asasi manusia serta kewajipan dan tanggungjawab asas, tanpa sebarang diskriminasi atas dasar bangsa, warna kulit, bahasa, jantina, kepercayaan agama, fahaman politik, status sosial, atau sebarang pertimbangan. Pernyataan seperti ini menunjukkan kepada kita bahawa mewujudkan labelan seperti Islamofobia adalah sesuatu bentuk pencabulan secara langsung terhadap apa yang telah disepakati dalam siri deklarasi hak asasi manusia. Namun perkara ini barangkali sengaja disenyapkan kerana labelan Islamofobia tersebut adalah antara senjata ampuh bagi pihak barat memburukkan imej Islam yang benar dan suci ini.

Dalam konteks Malaysia hari ini, meskipun negara kita telah mencapai usia 60 tahun lebih merdeka, namun cabaran umat Islam berdepan dengan isu Islamofobia ini sentiasa terbuka dan terdedah padanya. Usaha dakwah yang berterusan barangkali perlu lebih kreatif dan inovatif selari dengan peredaran zaman, dakwah bukan lagi sekadar berceramah di meja kuliah, namun sebaliknya harus turun ke padang bersama masyarakat bukan Islam menyantuni sambil berkongsikan intipati ajaran Islam sebenar. Malangnya, isu-isu Islamofobia ini juga kadang kala disumbang oleh perilaku orang Islam yang bertentangan dengan nilai ajaran Islam. Sebagai contoh, ucapan seorang Islam yang berbaur rasis perkauman, menghina warna kulit, menghina sembahan agama lain dan sebagainya. Keadaan ini lebih membimbangkan apabila perbuatan buruk tersebut dilakukan diatas nama dakwah, jihad dan selainnya.

Satu hal yang kita harus akui bahawa segala naratif buruk yang sengaja dicanang bagi mewujudkan salah faham dan persepsi negatif terhadap Islam harus segera direspon dan dipatahkan agar usaha-usaha jahat yang selepas ini tidak membarah dalam jiwa dan minda masyarakat. Masalah yang wujud pada hari ini adalah kerana diri kita sendiri yang masih gagal memainkan peranan sebenar sebagai seorang Islam. Kebanyakan umat Islam, lebih gemar menyibukkan diri dan bergelumang dengan berita gosip dan sensasi. Ini kerana baginya apa jua isu Islamofobia yang berlaku adalah sekadar retorik semata-mata. Walhal, dalam apa jua posisi kita, selagi kita bergelar seorang muslim, kita bertanggungjawab menangani isu ini dengan kebijaksanaan dan kemampuan masing-masing.




Tidak salah untuk kita katakan bahawa cetusan fenomena Islamofobia adalah bermula pada tanggal 11 September 2001. Pada tarikh tersebut, berlaku peristiwa keruntuhan menara Pusat Perdagangan Dunia di New York. Kejadian ini telah membuka ruang liputan media dengan menuduh serangan ini adalah daripada kumpulan militan pengganas Islam, al-Qaeda. Bermula pada saat dan ketika itu, berita-berita bernaratifkan barat akan mencanangkan Islam sebagai agama pengganas, militan dan sebagainya. Tujuannya tidak lain adalah untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap Islam. Kini, serangan terhadap Islam bukan lagi sekadar tuduhan pengganas bahkan membabitkan pula soal Hak Asasi Manusia (HAM) yang sebahagiannya adalah boneka dan proksi barat semata-mata untuk melemahkan Islam dari dalam dan luar.

Realitinya hari ini, isu keganasan tidak lagi bertumpu kepada gerakan radikal Islam sahaja. Sejarah menunjukkan terdapat pelbagai kumpulan pengganas selain daripada yang beragama Islam, juga menjadi ancaman keselamatan global. Antaranya seperti kumpulan militan Liberation Tigers of Tamil Elam (LTTE) di Sri Lanka, gerakan Khalistani di India, pemberontak Ireland Utara, kumpulan pengganas 'Basque Separatists di Sepanyol dan lain-lain. Pelbagai gerakan pengganas ini tidak pula kedengaran labelan seperti Hindufobia, Kristianofobia dan lain-lain. Lebih malang, kumpulan-kumpulan militan seperti ini tidak pula mendapat liputan media yang meluas. Walhal, kumpulan ini juga dianggap berbahaya. Barangkali kerana mereka bukan Islam, maka tidaklah penting bagi pihak barat melaporkannya.

Umum telah mengetahui, Islam sejak dahulu lagi seringkali menjadi sasaran pihak barat untuk melemahkan Islam itu sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah jika hari ini kita melihat Islam menjadi sasaran baik dari arah atas dan bawah, dari kiri dan kanan, segenap ruang dan peluang akan digunakan bagi melemahkan dan menghancurkan Islam. Sedarlah bahawa percaturan dan permainan jahat musuh Islam tidak akan berhenti bahkan setiap pelusuk akan mereka menfaatkan untuk memburukkan Islam. Untuk itu, usaha dakwah harus diperkemaskan, tidak lagi sekadar bergegar di meja-meja kuliah. Lakukanlah sesuatu yang membolehkan Islam itu terus dapat difahami dan dipelajari dengan betul. Kelemahan kita hari ini akan menjadi kekuatan bagi pihak musuh untuk menghancurkan Islam, agama yang benar lagi suci ini. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan