Setiap
dikalangan kita sebagai hamba Allah SWT, yang beriman kepada Nya, sudah tentu
mempunyai jalan tersendiri untuk mendekatkan diri kita dengan Allah, Tuhan yang
menciptakan kita. Ada dikalangan kita yang memilih jalan untuk berpuasa sunat,
tanda bagi dirinya untuk dekat dengan Allah. Ada yang memilih jalan untuk
berzikir, berwirid, dan pelbagai lagi jalan yang kita sendiri boleh tentukan
untuk menuju kepada Allah. Walaupun tanpa perlu kita menjadi ahli kepada
mana-mana kumpulan tarekat, kita sudah pun memiliki jalannya menuju kepada
Allah.
Perkataan
"tarekat" adalah berasal dari bahasa arab yang membawa maksud jalan.
Sebahagiannya ada yang menyebut perjalanan menuju Allah, sama ada jalan itu
disebutkan sebagai tariq atau tarekat. Dalam kitab Lisan al-Arab yang dikarang
oleh Ibn Manzur, sebahagian ada yang menyebutkan tarekat kaum yang bermaksud
yang terbaik dan terpilih dikalangan mereka. Dalam erti kata lain, tarekat
adalah lebih kepada suatu perjalanan hati dalam menuju makrifatullah
(mengenal Allah) dan mardhatillah (keredhaan Allah).
Selain
itu, beberapa pandangan ulama lain dalam memberikan definisi berkenaan tarekat.
Antaranya seperti al-Jurjani dalam kitab al-Takrifat, beliau menyatakan
tarekat ialah perjalanan yang khusus oleh ahlinya dalam menuju kepada Allah dengan
menghapuskan segala halangan dan menaiki kepada maqam. Imam al-Qusyairiah pula
dalam kitab Syarh al-Risalah al-Qusyairiah, beliau menyatakan bahawa
tarekat ialah jalan atau suluk syariah, iaitu beramal dengan segala
tuntutannya. Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya' Ulum al-Din, telah
merumuskan makna tarekat ialah jalan atau cara yang mendahulukan mujahadah,
menghapuskan sifat mazmumah, memutus segala hubung kait dengan makhluk dan
mengadap dengan penuh himmah kepada Allah.
Tujuan
utama tarekat adalah untuk mensucikan hati, bersih dari segala hal kesyirikan,
membesar dan mengagungkan Allah, selain mencari keredhaan Allah SWT. Dalam
Islam, pelbagai istilah yang digunakan bagi menunjukkan maksud tersebut seperti
tazkiyatun al-nafs, tasawuf, kesufian dan seumpamanya. Biar apa pun istilah
yang seringkali kita gunakan, kesemuanya menuju ke arah yang sama, iaitu menuju
kepada Allah SWT. Untuk menuju kepada Allah, memerlukan latihan dan melalui
kumpulan tarekat inilah dijadikan tempat oleh sebahagian mereka yang
menyertainya untuk membersihkan diri, menghiasi diri dengan akhlak yang mulia,
berpegang teguh kepada syariat dan melazimi amalan-amalan khusus untuk diri
mereka.
Pada
asasnya, bertarekat tidaklah salah selagi mana bertarekat itu dengan tujuan
yang benar iaitu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melazimi
amalan soleh seperti berzikir, berwirid dan sebagainya adalah sangat dituntut.
Bahkan inilah seruan agama untuk penganutnya sentiasa berusaha mencari jalan
mendekatkan diri kepada Allah dengan mentaati segala perintah Nya. Firman Allah
SWT dalam surah al Mukmin ayat 65 yang bermaksud :
"Dialah
yang tetap hidup ; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia ; maka
sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada Nya semata-mata.
Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian
alam"
Namun
begitu, beberapa kumpulan tarekat yang diasaskan oleh individu tertentu, dengan
ajaran tertentu yang jelas dan terang telah menyimpang jauh dari landasan agama
sebenar, telah membuka banyak ruang dan peluang untuk berlakunya manipulasi dan
penyelewengan diatas nama tarekat. Jika dahulunya, ahli tarekat seringkali
dikenali dengan sifat mahmudah, sifat yang mulia lagi terpuji, keadaan pada
hari ini sebahagian yang mendakwa dirinya bertarekat, tidak langsung
menunjukkan ciri golongan yang melazimi zikir-zikir. Penuh kata-kata kesat di
mulut mereka sedangkan mereka mendakwa mereka ahli tarekat yang sentiasa
melazimi zikir. Guru-guru mereka diagungkan dan disucikan, kalam guru mereka
bagai wahyu dan tiada siapa yang boleh pertikai. Hal ini sudah cukup melampaui
batas agama.
Kebimbangan
kita pada hari ini apabila berlakunya kelompok ajaran sesat yang rata-ratanya
berpunca daripada penyelewengan ajaran tarekat itu sendiri. Sejak tahun 1970,
beberapa kumpulan tarekat di Malaysia telah dikenalpasti sebagai menyeleweng
dari ajaran Islam sebenar seperti Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya (1970),
Tarekat Samaniah (1971), Ajaran Ratib Kuat Hasan Anak Rimau (1971), Tarekat
Mufaridiah (1970) dan Tarekat Kabullani (1983). Berdasarkan penelitian yang
dibuat, kemunculan tarekat-tarekat sesat ini adalah berpunca daripada beberapa
faktor antaranya wujudnya orang-orang jahil yang mengaku dirinya sebagai
pemimpin tarekat sehingga mendakwa dirinya syeikh mursyid.
Beberapa
penyelewengan yang telah berlaku diatas nama tarekat adalah seperti dakwaan
tergugur diri dengan tanggungjawab syariat. Hal ini kerana mereka yang
menyeleweng ini mendakwa diri mereka sudah sampai kepada Tuhan. Maka disebabkan
itu, segala tanggungjawab syariat seperti solat, puasa da zakat digugurkan.
Selain itu, mereka yang tersesat ini juga seringkali mendakwa kewalian lebih
baik daripada kenabian. Ini berdasarkan kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir. Oleh
itu, mereka beranggapan guru mereka sebagai wali, akan lebih ditaati berbanding
ajaran Nabi Muhammad SAW. Bahkan lebih dahsyat lagi, mereka yang menyeleweng
ini beriktikad bahawa Tuhan menempatkan jasad kepada diri mereka yang
disebutkan juga sebagai hulul. Mereka mendakwa apabila Tuhan telah memasuki
diri mereka, unsur kemanusiaan pada jasad akan lebur (fana') dan diganti dengan
sifat ketuhanan. Inilah juga yang dikenali sebagai ajaran Wahdatul Wujud yang
merosakkan akidah.
Seperti
yang kita maklum, pihak JAKIM sejak tahun 1970 lagi, telah menfatwakan beberapa
ajaran tarekat yang telah menyimpang jauh antaranya Tarekat Naqsyabandiyah
Kadirun Yahya yang diasaskan oleh Prof. Dr. Haji Sidi Syeikh Kadirun Yahaya.
Mereka mendakwa Allah menurunkan Nur Muhammad kepada salasilah Prof. Kadirun
Yahya. Selain itu, Tarekat Mufarridiyah yang diasaskan oleh Syeikh Makmun Bin
Yahya. Dakwaan mereka segala doa dan istighfar kepada Allah mestilah melalui
malaikat bernama Karanaz. Orang yang bersahabat dengan malaikat ini ialah orang
yang telah mencapai martabat jisim kelima dalam tarekatnya. Orang ini jisimnya
adalah Allah fan rohnya adalah roh Allah. Ini merupakan sebahagian kumpulan
tarekat yang telah tersasar jauh dari landasan agama sebenar.
Sesungguhnya
kita harus faham bahawa tidak ada mana-mana pihak yang memusuhi tarekat sebagai
suatu jalan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Tetapi yang kita perangi
dan musuhi ini adalah mereka yang berjalan diatas nama tarekat, mengajar dan
beramal dengan ajaran songsang dan pelik, beriktikad dengan perkara yang
bercanggah dengan perkara usul dalam agama dan segala hal yang bertentangan
dengan syariat Nya. Inilah yang kita lawan dan tolak. Pada masa sama, kita
tidak nafikan sebahagian kewujudan kumpulan tarekat yang benar-benar dapat mendidik
jiwa selari dengan tuntutan syariat. Selagi apa yang dipegang itu adalah sama
seperti yang dituntut dan disuruh oleh Allah, apa jua namanya, itulah yang
lebih benar dan selamat. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan