Kumpulan
al-Ahbash adalah merujuk kepada kumpulan pelampau yang dinisbahkan kepada
Abdullah al-Habasyi. Kumpulan ini pertama kalinya muncul di Lubnan pada ketika
berlakunya pertempuran disebabkan oleh perang saudara bermula pada sekitar
tahun 1975 hingga 1990. Pada ketika negara bergelut dengan krisis perang
saudara, kumpulan Ahbash ini telah mengambil kesempatan ruang dan peluang yang
ada tersebut menghidupkan metodologi ahli kalam, kesufian dan kebatinan dengan
tujuan untuk merosakkan akidah dan memecahbelahkan masyarakat Islam.
Pengasasnya
yang dikenali sebagai Abdullah al-Harari al-Habashi atau nama penuhnya Abdullah
bin Muhammad al-Syaibi al-'Abari kelihatan telah menyimpang dan menyeleweng
dari ajaran Islam sebenar setelah beliau melakukan baiah dengan tarekat
al-Tijaniyyah dan tarekat al-Rifa'iyyah. Sikap beliau yang begitu melampau
dilihat semakin hebat apabila pada tahun 1948, beliau bersama membantu Hakim
Indraji di Habashah untuk menentang persatuan-persatuan Islam tahfiz al-Quran
di bandar Harar. Peristiwa ini dikenali sebagai "Fitnah Bilad
Kulub".
Kumpulan
Ahbash ini telah membawa fahaman yang jelas menyeleweng dari mazhab Ahli Sunnah
Wal Jamaah. Kumpulan ini telah banyak menyebarkan ajaran yang merosakkan akidah
termasuk syirik, menyebarkan ideologi yang batil seperti membawa ideologi
Jahmiyyah iaitu kumpulan yang menafikan sifat Allah, membawa ideologi Murjiah,
Jabariah dan Syiah Rafidhah. Selain itu, mereka juga turut mencela para sahabat
Nabi SAW dan menuduh Aisyah, isteri baginda Nabi melakukan maksiat dengan
melanggar perintah Allah.
Bahkan,
bukan itu sahaja. Kumpulan radikal ini juga suka mengkafirkan atau menyesatkan
orang yang berbeza pandangan darinya. Sikap suka mengkafirkan orang ini adalah
dilarang oleh baginda Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim,
sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesiapa
yang memanggil orang lain dengan kafir atau musuh Allah, sedang dia tidak
begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)".
Sikap
mereka yang dengan bermudah-mudah mengkafirkan orang lain adalah suatu yang
sangat melampau. Malah, dengan bersikap demikian akan mengundang perbalahan,
kucar-kacir dan ketidak tenteraman masyarakat secara umumnya. Pantang sahaja
ada yang berbeza pandangan dengannya, pasti akan dikafir dan disesatkannya.
Dalam persoalan ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi menerusi kitabnya Fatawa Muasarah,
pernah berkata berkenaan kumpulan pelampau ini dengan katanya :
"Semenjak
beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jemaah yang zahir di
Lebanon. Ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan
pendapat-pendapat pelik, menyeleweng dan pandangan-pandangan yang berbahaya
dalam isu akidah, feqah dan akhlak.. dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila
mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat
Islam hari ini atau yang terdahulu. Mereka mengkafirkan Syeikhul Islam Ibn
Taimiyyah, anak muridnya Imam Ibn Qayyim dan sesiapa yang mengikut dua orang
tokoh ini..."
Antara
pandangan dan fatwa mereka yang menyimpang jauh dari al-Quran dan Sunnah, dalam
sebuah penulisan al-Harari sendiri yang bertajuk Izharul Aqidati
al-Sunniyyah, beliau menyatakan bahawa al-Quran adalah lafaz Jibrail, bukan
kalam Allah sepertimana yang dipegang oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam soal definisi keimanan pula, mereka bersependapat dengan golongan Murjiah
dan Jahmiyyah iaitu memisahkan antara iman dan amal. Bagi mereka, seseorang
masih lagi dikira beriman walaupun meninggalkan solat dan juga rukun Islam
lainnya. Dakwaan ini seperti yang boleh kita dapati dalam penulisan al-Harari
sendiri bertajuk Bughyah al-Tolib dan al-Dalil al-Qawim. Dakwaan
beliau dalam kitab tersebut adalah seperti berikut :
"Sesiapa
yang tidak berhukum dengan syariat Allah dalam dirinya, tidak melaksanakan
kefarduan ditetapkan Allah, tidak menjauhkan diri dari kemaksiatan, tetapi
seumur hidupnya dia pernah mengucapkan La ilaha illallah walaupun sekali, dia
seorang muslim lagi beriman".
Selain
itu, golongan Ahbash juga sangat menggalakkan pengikutnya pergi ke kubur bagi
tujuan memohon pertolongan dan meminta diperkenankan hajat mereka dari ahli
kubur. Dakwaan mereka, ahli kubur keluar dari kubur menunaikan hajat si pemohon
kemudian kembali ke kubur semula. Mereka turut membenarkan pengikutnya memohon
perlindungan dari selain Allah dan mengambil berkat dari batu-batu. Hal ini
boleh kita dalam kitabnya seperti diatas. Perkara sedemikian rupa ini sudah
jelas terang lagi menyuluh bahawa kesesatan mereka bukan lagi satu rahsia.
Seperti
yang kita maklum, golongan Ahabsh ini amat terkenal dengan sikap mengkafirkan
orang termasuk para ulama muktabar seperti Imam az-Zahabi, Syeikh Muhammad bin
Abdul Wahab, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Sayyid Sabiq, Dr. Yusuf
al-Qaradawi, Syeikh al-Bouti dan ramai lagi. Sebaliknya, mereka sangat
memuliakan Ibn Arabi, seorang yang membawa fahaman wahdatul wujud dan hulul,
yang padanya telah sepakat ulama menyatakan hukumnya kufur. Namun, al-Harari telah
mengelarkan Ibn Arabi sebagai Syeikhul Islam.
Berdasarkan
penjelasan diatas, golongan Ahbash dapat disimpulkan dengan beberapa ciri yang
terdapat padanya. Antara lain, golongan ini bermazhab Murjiah dan Jahmiyyah
dalam masalah iman, berpegang dan beramal dengan tarekat kesufian yang
menyeleweng seperti tarekat Rifaiyyah dan Naqsyabandiah dan juga akidah ahli
batiniyyah. Selain itu, mereka gemar mengkafirkan sesiapa sahaja yang berbeza
pandangan dengan mereka dengan bermudah-mudah mengkafirkannya. Mereka juga
seringkali mengelarkan al-Harari sebagai al-Allamah al-Muhaddis bertujuan
mengaburi mata masyarakat dengan gelaran hebat. Selain itu juga, nereka gemar
menyebarkan hadith palsu bagi menghalalkan pegangan palsu dan dusta mereka.
Melihat
akan bahaya fahaman Ahbash ini, beberapa badan fatwa antarabangsa dan
tokoh-tokoh Islam telah mengeluarkan fatwa serta pandangan mereka berkenaan
fahaman Ahbash ini. Antaranya fatwa oleh Darul Ifta' Misriyah dengan menyatakan
bahawa jika yang dinamakan dengan jemaah Ahbash melakukan seperti apa yang
dinisbahkan kepada mereka di dalam soalan, maka mereka adalah satu jemaah yang
sesat. Juga Majlis Fuqaha al-Syariah Amerika, menyatakan kesesatan mereka.
Almarhum Syeikh al-Bouti juga yang dituduh oleh Ahbash sebagai kafir turut
menyatakan kesesatan golongan ini. Semoga Allah melindungi kita semua dari
fahaman radikal ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan