Rabu, 7 September 2022

DAKWAH INI UNTUK SIAPA ?

 

Keterbukaan dunia serba baharu hari ini telah memberikan ruang dan peluang untuk semua manusia yang beriman melakukan tugas berdakwah menyampaikan risalah Islam. Diatas pelbagai platform dan medium yang sedia ada, diatas pelbagai jenama gerakan dan pertubuhan yang dibina dan didirikan, semuanya mahu mencapai maksud dan matlamat yang sama iaitu menyampaikan risalah Islam yang suci ini. Hasilnya, telah bertebaranlah segala kebaikan dengan pelbagai penganjuran program, wacana, diskusi dan selainnya bagi menyampaikan dakwah.

Tambahan pula, keadaan ini turut disokong oleh sifat masyarakat pada hari ini yang sentiasa dahagakan ilmu dan pengetahuan, baik melalui pembacaan, mendengar dan menonton kuliah, ataupun hadir secara terus ke kelas-kelas pengajian yang diadakan. Fenomena sebegini amatlah positif bagi membina minda masyarakat yang berintelektual dan aktif dalam berfikir sambil mengamalkan intipati ajaran Islam sebenar. Adalah sesuatu yang baik sekiranya dakwah membawa risalah Islam ini dapat berkembang terus membumikan perjuangan Nabi membawa kebenaran dan menolak kebatilan.




Namun begitu, perkembangan baik arena dakwah pada hari ini tidak terlepas daripada isu fitnah, tipu daya dan penyelewengan diatas nama Islam. Keterbukaan dunia yang sangat meluas telah membuak-buakkan hati manusia untuk terus terjun ke dalam dunia dakwah dengan pelbagai tujuan dan matlamat yang bersifat peribadi. Tidaklah salah mencari rezeki dengan melakukan dakwah. Salahnya adalah apabila menunggang agama atas nama dakwah dan mengambil kesempatan mencari habuan peribadi. Sikap sebegini tidak patut berada di posisi sebagai pendakwah kerana tujuan dan matlamatnya telah beralih kepada memenuhi kehendak duniawi sahaja. Walhal, dakwah bukan sekadar untuk dunia bahkan untuk kehidupan akhirat jua.

Sebagai mengingatkan diri kita semua, lebih-lebih lagi pada mereka yang terjun ke medan dakwah sebenar, pada sangkaan ramai orang mungkin kita sedang dan telah berdakwah. Diatas sangkaan ramai orang melihat perwatakan kita yang dilihat alim, warak, saban hari memberi tazkirah di masjid dan surau, tidak kurang juga ada yang bercakap di laman media sosial, menulis tentang dakwah di pelbagai jenama akhbar dan majalah, diatas hal itu, ramai yang menyangka bahawa kita sudah dan telah berdakwah. Hakikat sebenarnya, diri kita dan Tuhan sahaja yang tahu. Menyampaikan dakwah tidak semudah bercakap dan menulis. Kerana setiap yang diperkatakan dan ditulis pasti akan dihitung pahala dan dosa.

Renungilah sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang pertama yang akan diputuskan pada hari kiamat kelak adalah seorang yang mati syahid. Maka dihadapkan kepada Allah dan diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan hal itu diakuinya. Kemudian ditanya oleh Allah, "Lalu apakah amalanmu dalam nikmat itu ? Jawabnya, "Aku telah berperang untuk Mu hingga mati syahid". Maka Allah berfirman : "Bohong kamu, tetapi kamu berperang untuk dikenal sebagai pahlawan yang gagah berani". Lalu diseret oleh malaikat dan diperintahkan untuk dilempar ke dalam neraka.

Yang kedua, dihadapkan kepada Allah adalah orang yang belajar ilmu agama dan mengajarkannya, serta pandai membaca al Quran. Maka diberitakan tentang nikmat-nikmat yang telah ia peroleh dan ia mengakuinya. Lalu ia ditanya : "Lalu, apakah amalanmu di dalamnya ?" Jawab orang itu : "Aku telah belajar ilmu untuk Mu dan mengajarkannya, serta membaca al Quran untuk Mu". Allah berfirman : "Engkau berbohong, tetapi engkau belajar ilmu agar mendapat gelaran alim, membaca al Quran agar mendapat gelaran qari, dan engkau sudah menikmatinya di dunia". Kemudian diperintahkan kepada malaikat untuk mencampakkannya ke dalam neraka.

Orang yang ketiga, dihadapkan kepada Allah adalah yang diluaskan rezekinya dan diberi oleh Allah berbagai kekayaan. Maka diberitakan kepadanya tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepadanya, dan ia mengakuinya. Lalu ia ditanya : "Lantas, apakah amalanmu di dalamnya ?". Jawab orang itu : "Tiada satu jalan pun yang Engkau perintahkan mendermakan harta di dalamnya melainkan telah saya dermakan harta di dalamnya untuk Mu". Jawab Allah : "Engkau berbohong, tetapi engkau mendermakan harta itu agar disebut dermawab, dan telah dikenal sedemikian di dunia". Maka Allah kemudian memerintahkan malaikat Nya untuk melemparkan orang itu ke dalam neraka".




Hadith yang begitu panjang ini wajar dijadikan sebagai peringatan dan muhasabah kepada kita semua supaya kita tidak melupai tujuan asal kita untuk berdakwah lebih-lebih lagi dikhalayak umum. Oleh kerana kita yang bercakap ini juga manusia, tidak akan terlepas daripada godaan dan jarum halus syaitan bagi melencongkan niat dan tujuan kita dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat umum. Kepetahan berbicara di hadapan orang, kelincahan jari-jemari menulis tentang kebaikan dan segala macam hal lagi untuk tujuan berdakwah tidaklah dipandang oleh Allah sekiranya tidak dilakukan dengan keikhlasan kepada Nya.

Menjadi kebimbangan kita apabila wujud ramai para pendakwah ekspress, di pelbagai laman dan platform media, datang dan tumbuh bagaikan cendawan tetapi kosong dengan pengisian. Barangkali sekadar menarik anak muda dengan bercerita kisah silam, berkongsi tips dan petua yang tidak berasas, mencanang akan kehebatan sang gurunya, kadang-kala diatas meja ceramah sangat kering dengan ilmu pengetahuan, sekadar datang berjenaka dan memberi penonton gelak ketawa. Bukanlah salah untuk bergurau di dalam ceramah namun biarlah masa tersebut terisi dengan ilmu untuk memandaikan umat. Jika semudah dan serancak inilah dakwah, adakah ini benar-benar yang dikatakan dakwah jalan para kenabian ? Sebahagian besar para pendakwah hari ini tidaklah sesusah seperti para Nabi dan para sahabat terdahulu.

Satu hal yang pasti, berdakwah bukanlah untuk digemari oleh ramai orang. Apalagi untuk mendapat tempat dan nama di hati umat. Berdakwah menyebarkan kebenaran bukanlah untuk dijulang dan diangkat sebagai hero agama, jauh sama sekali berdakwah untuk mengaut kesenangan dunia. Kerana dakwah ini sifatnya membawa kebenaran dan menolak kebatilan. Hal itu bukan semudah bercakap dan menulis. Ia menuntut semangat juang yang tinggi, ilitzam yang kuat dan roh yang mantap. Disamping bersedia untuk mentarbiah, kita juga perlu bersedia untuk ditarbiah. Semoga Allah mengampuni dosa kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan