Kita
tidak dapat lari daripada berhadapan dengan ancaman kebejatan sosial yang
semakin parah di kalangan masyarakat. Tanpa kita nafikan, gerakan diatas nama
perjuangan hak asasi manusia kini sudah berani melepasi had batasan lunas agama
sehingga sanggup menuntut bela golongan yang kecelaruan identiti yang juga kita
namakan sebagai transgender. Perkataan "Transgender" adalah merujuk
kepada individu yang bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau ketrampilan
yang berbeza daripada jantina lahir atau biologi mereka. Bahasa moden sekarang
ini mereka ini lebih dikenali sebagai pondan, maknyah bagi lelaki dan pengkid
bagi perempuan.
Dalam
hendak memahami soal transgender ini, persoalan besar yang harus diberi
penekanan adalah apakah kaitan transgender, mukhannas dan khunsa ? Ini kerana
sebahagian masyarakat telah tanggapan dengan beranggapan bahawa mukhannas dan
khunsa itu adalah sama dan merupakan salah satu daripada kategori transgender.
Tanggapan ini adalah tidak tepat dan harus diperbetulkan. Ini kerana daripada
pemahaman yang salah ini akan mengundang pemahaman hukum-hakam yang salah dan
bercanggah dengan syariat Islam. Sudah pasti terma-terma seperti transgender,
mukhannas dan khunsa ini harus difahami secara tuntas agar kita tidak salah
meletakkan kategori dalam soal transgender ini.
Perkataan
"Mukhannas" adalah berasal dari bahasa arab. Ianya merujuk kepada
mereka yang secara fizikal dan biologikalnya adalah lelaki dan memiliki satu
alat kelamin iaitu zakar. Tetapi dirinya sendiri berkelakuan seperti perempuan
atau memyerupai perempuan dalam tingkah laku, gerak-geri, suara dan gaya
bicara. Mukhannas adalah sama sekali berbeza dengan golongan khunsa. Terdapat
larangan dan tegahan untuk umat Islam bersifat mukhannas. Namun sebaliknya,
Islam sama sekali tidak menghukum golongan khunsa, yang bukan sengaja memilih
untuk memiliki dua kemaluan. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibn
Abbas ada berkata :
"Nabi
SAW melaknat mukhannas (lelaki yang menyerupai perempuan) dan mutarajjilat
(perempuan yang menyerupai lelaki)".
Golongan
Mukhannas ini merupakan golongan transgender yang dilaknat oleh Nabi SAW sama
ada lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya perempuan menyerupai lelaki.
Dalam kitab Fathul Mun'im Syarh Sahih Muslim, Imam al-Tabari menyatakan
bahawa larangan tersebut menunjukkan tidak harus lelaki untuk menyerupai
perempuan dari pelbagai aspek seperti pakaian, perhiasan yang khusus untuk
perempuan dan lain-lain. Begitu juga sebaliknya, dilarang bagi kaum perempuan
menyerupai lelaki dari pelbagai aspek kelelakian.
Dalam
kitab Umdah al-Qari, para ulama membahagikan golongan mukhannas ini
kepada dua kategori. Pertama, golongan yang mempunyai ciri yang lahir
semulajadi atau dalam istlah perubatan disebut "Effeminate".
Golongan ini secara semulajadinya dilahirkan sebagai seorang lelaki tetapi
mempunyai sifat seperti perempuan. Misalnya, sifat lemah-lembut, suka berhias
dan sebagainya. Golongan ini seringkali dilabelkan sebagai lelaki lembut, mat
bunga atau seumpamanya. Kelembutan mereka ini bukanlah pilihan dan tidak
sengaja. Mereka tidak memaksudkan untuk menjadi seorang perempuan. Menurut Imam
al-Nawawi, bagi golongan ini tiada kesalahan, dosa dan tidak perlu malu dengan
apa yang dijadikan keatasnya selagi mana mereka tidak melakukan perbuatan haram
misalnya terlibat dengan pelacuran dan sebagainya.
Keduanya,
golongan yang berperwatakan perempuan bukan secara semulajadi, namun mereka ini
mengada-adakan sifat keperempuanan tersebut dengan pilihan mereka sendiri.
Dalam istilah perubatannya mereka ini disebut sebagai "Transgender".
Ini bermakna, mereka sendiri secara tidak semulajadi bersifat keperempuanan,
namun mereka ini berbuat-buat seperti seorang perempuan. Dalam bahasa yang
lebih mudah, mereka ini dengan sengaja memilih untuk bertindak seperti keperempuanan
walaupun pada asalnya tidak memiliki sifat-sifat yang demikian. Menurut Imam
Ibnu Hajar al-Asqalani, mukhannas yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah
golongan yang kedua ini. Di mana mereka ini yang terdiri daripada golongan
lelaki meniru perwatakan perempuan, termasuk cara pakaian, gaya percakapan
wanita dengan sengaja dan berkecenderungan pada perlakuan seksual. Golongan
inilah yang dikutuk dan dilaknat oleh Nabi SAW.
Daripada
dua kategori mukhannas ini, dapat disimpulkan bahawa kategori pertama,
mukhannas khalqi (secara semulajadi) tidaklah berdosa kerana dirinya bukan
sengaja untuk bertindak menjadi berlainan jantina. Sebaliknya, mukhannas ghair
khalqi (mengada-adakan) adalah berdosa kerana dengan sengaja dirinya
mengada-adakan atau membuat dirinya bertindak berlainan jantina meskipun jelas
jantina lahirnya. Maka, yang dimaksudkan dengan Nabi melaknat golongan
mukhannas (lelaki menyerupai perempuan) dan mutarajjilat (perempuan menyerupai
lelaki) tersebut adalah golongan yang sengaja memilih untuk bertindak seperti
berlainan jantina lahirnya. Ada pun golongan yang tidak sengaja, selagi mana
dirinya tidak melampaui batas sehingga berubah jantina, maka dirinya tidaklah
berdosa dan tidak termasuk dalam golongan yang dilaknat oleh Nabi.
Ada
pun khunsa, perkataan yang berasal dari bahasa arab merujuk kepada makna
kelahiran kanak-kanak dengan mempunyai dua kemaluan. Dalam hal ini, khunsa
dilihat pada dua keadaan. Pertamanya, khunsa musykil, iaitu kelahiran
kanak-kanak yang didapati padanya dua kemaluan yang tidak diketahui kemaluan
mana yang berfungsi. Ada pun keadaan yang kedua, khunsa tidak musykil, iaitu
kelahiran kanak-kanak yang didapati padanya terdapat dua kemaluan yang dapat
diketahui kemaluan mana yang berfungsi. Para ulama berbeza pandangan dalam soal
aurat khunsa. Para ulama dalam mazhab Syafie, Hanafi dan juga Maliki
berpandangan bahawa aurat khunsa sama seperti aurat perempuan. Manakala para
ulama di dalam mazhab Hanbali pula berpandangan aurat khunsa sama seperti aurat
lelaki.
Secara
mudah, transgender adalah merujuk kepada golongan mukhannas. Manakala khunsa
pula merujuk kepada mereka yang mempunyai dua kemaluan. Dalam dunia perubatan,
khunsa disebut sebagai "Intersex" atau "Hermaphrodite".
Khunsa bukanlah daripada maksud transgender. Memiliki dua kemaluan bukanlah
suatu pilihan namun pemberian Tuhan tanda kebesaran Nya. Golongan khunsa
seperti ini agama tidak menyuruh untuk kita memerangi. Seharusnya kita membantu
mereka memberikan bantuan perubatan agar mereka boleh menentukan identiti
gender berdasarkan syarak.
Oleh
itu, Islam sangat memerangi golongan yang dengan sengaja memilih untuk menjadi
transgender. Sebaliknya, bagi mereka yang semulajadi memiliki sifat kelembutan
seperti keperempuanan, namun memilih untuk terus kekal sebagai lelaki adalah
suatu yang terpuji. Kita seharusnya mulai sedar akan kebejatan sosial ini dan
menolak sama sekali usaha menormalisasikan transgender, menentang usaha
mengiktiraf mereka ini yang dilaknat oleh Nabi SAW. Semoga Allah merahmati dan
memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan