Jumaat, 2 September 2022

BULAN SAFAR & KEPERCAYAAN KHURAFAT

 

Bulan Safar merupakan bulan yang kedua sesudah bulan Muharram dalam perkiraan kalendar tahun hijri. Apabila tibanya bulan Safar, terdapat segelintir kecil umat Islam yang masih beramal dengan beberapa amalan dan kepercayaan yang karut serta bidaah yang dilakukan pada bulan Safar. Walau pun amalan dan kepercayaan ini tidaklah dilakukan melainkan segelintir kecil sahaja, namun perwarisan amalan dan kepercayaan karut-marut ini harus dihapuskan dan tidak boleh dipandang remeh sama sekali.

Perkataan Safar yang berasal dari bahasa Arab membawa makna kosong. Selain itu, safar juga boleh dimaknakan sebagai meninggalkan sesuatu tempat apabila merujuk kepada perkataan "safir". Dimaklumi juga bahawa dinamakan sebagai nama Safar juga adalah kerana kebiasaan bagi orang Arab selalu meninggalkan kampung halaman untuk tujuan berperang dan mengembara pada bulan tersebut. Oleh yang demikian, bulan Safar dapat dimaknakan dengan dua makna iaitu kosong dan meninggalkan sesuatu tempat atau disebutkan sebagai "musafir".




Amalan dan kepercayaan karut di bulan Safar ini telah wujud pada zaman jahiliah lagi. Perkara ini telah dinyatalan oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri, pengarang kitab sirah terkenal, ar-Raheeq al-Makhtum. Sewaktu di zaman jahiliah dahulu, orang arab yang mahu bermusafir, mereka akan melakukan amalan melepaskan seekor burung. Tujuannya adalah untuk memastikan sama ada permusafiran ini akan membawa petanda baik atau sebaliknya petanda buruk. Apabila burung yang dilepaskan tersebut terbang keatas atau ke kanan, maka ia membawa petanda baik. Sebaliknya, jika burung tersebut terbang ke bawah atau ke kiri, ia membawa petanda tidak baik. Sekiranya berlaku petanda tida baik, maka mereka akan menangguhkan permusafiran tersebut kerana percaya akan berlaku kesialan kelak.

Rentetan daripada itu, amalan dan kepercayaan khurafat ini terus diwarisi turun-temurun dari generasi ke generasi sehingga lah pada saat dan ketika ini. Timbul pelbagai amalan dan kepercayaan karut menjelang memasukinya bulan Safar ini. Terdapat lagi beberapa kepercayaan karut seperti mempercayai pada bulan Safar ini akan berlaku perkara sial dan bala bencana. Akibat daripada itu, sebahagian orang-orang terdahulu yang mempercayai perkara tersebut tidak mahu melakukan sebarang majlis keraian. Termasuklah tidak melangsungkan perkahwinan di bulan Safar, kerana mempercayai akan membawa sial pada pengantin seperti tidak dikurniakan zuriat.

Antara amalan dan kepercayaan karut di bulan Safar juga adalah amalan mandi Safar. Amalan ini dilakukan oleh masyarakat melayu di mana diadakan seperti pesta atau temasya mandi-manda yang dilakukan pada hari Rabu terakhir di dalam bulan Safar. Amalan mandi Safar tersebut bertujuan untuk menolak bala. Menjadi amalan tradisi terdahulu, pada waktu pagi orang ramai akan bermandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimah suci. Air tersebut disebut atau dikenali sebagai air Safar. Amalan yang karut ini telah diwarisi turun-menurun sehingga kini, terdapat segelintir umat Islam masih mempercayai dan mengamalkannya.




Persoalan mengenai kepercayaan kepada soal-soal kesialan ini adalah ditegah dan dilarang oleh Islam. Mempercayai dengan angka tertentu, hari-hari dan bulan-bulan tertentu yang boleh membawa sial dan malang adalah sesuatu yang syirik. Kerana yang boleh memberikan manfaat atau mudarat adalah Allah SWT. Sepertimana firman Allah dalam surah Yunus ayat 107, maksudnya :

"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada siapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia ; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia Nya. Allah melimpahkan kurnia Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dari hamba-hamba Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Kata Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-'Azhim, ketika beliau menafsirkan ayat ini dengan berkata :

"Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak disembah. Tidak ada sekutu bagi Nya".

Kepercayaan dan amalan karut-marut di bulan Safar juga telah ditegah dan dilarang oleh baginda Rasulullah SAW. Hal ini sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak dibenarkan menganggap penyakit menular dengan sendirinya (tanpa ketentuan Allah), tidak dibenarkan beranggapan sial, tidak dibenarkan pula beranggapan nasib malang kerana tempat, juga tidak dibenarkan beranggapan sial di bulan Safar".




Tegahan ini sudah memadai bagi kita umat Islam untuk bersikap menjauhi daripada melakukan dan mempercayai segala perkara yang khurafat dan bidaah. Tidak ada tuntutan dalam ibadah untuk kita melakukan amalan mandi safar dan sebagainya. Kita tidak dibenarkan menyandarkan sesuatu yang baik mahupun buruk melainkan menyandarkan hal itu kepada ketentuan Allah Azza Wa Jalla. Baik mahupun buruknya sesuatu hal tersebut, sama sekali tidak ada kaitan dengan hari, bulan dan tahun tertentu. Malah, dalam hadith yang lain, baginda Nabi SAW mengingatkan kita supaya tidak menjadi golongan yang syirik iaitu dengan menyandarkan sesuatu baik buruk selain kepada Allah.

Sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Ibn Majah, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal".

Sungguh malang dan ruginya bagi mereka yang masih melakukan amalan khurafat ini dengan mempercayai ramalan-ramalan tertentu. Lebih menyedihkan umat ini, apabila sebahagian yang melakukan amalan ini adalah dikalangan mereka yang berstatus ustaz. Tanpa segan silu, mereka mengajar dan berkempen amalan khurafat tersebut di meja-meja kuliah yang ditonton oleh ribuan umat manusia. Sedarkah kita, amalan dan kepercayaan karut sebegini secara tidak langsung akan menghakis dan menglenyapkan sifat tawakkal kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Apakah dengan amalan dan kepercayaan karut sedemikian membuatkan kita lebih rasa bergantung harap pada Allah ? Tidak. Melainkan kita bergantung harap pada kepercayaan kesialan tertentu.

Oleh itu, kita seharusnya bangkit dan menentang segala macam hal yang mengundang kepada perkara khurafat dan bidaah ini. Tidak boleh dibiarkan hal seperti ini memanipulasikan keimanan umat manusia yang pada dasarnya hanya bergantung harap kepada Allah. Umat pada hari ini seharusnya lebih bijak dalam menapis segala maklumat, terutamanya dalam soal ibadah dan kepercayaan kita. Tunjang akidah dan iman yang teguh harus diperkuat dengan kita memperbetulkan semula masyarakat dengan mengajak kembali kepada perlembagaan utama Islam, iaitulah al Quran dan as Sunnah. Tidak semudah berbicara tetapi memerlukan keazaman dan kesungguhan untuk mematikan kebatilan yang sesat lagi menyesatkan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan