Kuasa politik adalah suatu perkara yang seringkali menjadi topik
hangat sepanjang zaman. Perebutan kuasa politik bukanlah cerita baharu malah
telah berlaku sejak zaman berzaman lagi. Maka tidak hairanlah jika topik
politik sentiasa menjadi pilihan utama dan terpenting untuk seluruh manusia
perkatakan. Bercakap diatas realiti yang ada, sistem demokrasi yang diamalkan
oleh majoriti negara dunia telah memberi ruang yang seluasnya untuk umat
manusia membuat pilihan memilih badan politik kepartian yang diyakini untuk
mentadbir dan memerintah. Demokrasi mengajar manusia bahawa sesuatu kuasa itu
adalah dari rakyat, dipilih oleh rakyat dan ditadbir untuk rakyat. Perkataan
"Rakyat" sudah menjadi terminologi bagi semua parti yang ada demi
memenangi hati rakyat. Dalam pada itu, ada juga yang mengaitkan politik dengan
pegangan akidah. Dengan mendakwa, sokong parti ini demi pertahankan akidah umat
Islam. Persoalannya, apakah politik itu termasuk dalam soal akidah ?
Perkataan "Politik" sebenarnya berasal
daripada kata akar polis yang diambil dari bahasa Greek, bermaksud negara, kota
dan kemajuan. Hakikatnya penggunaan istilah politik ini telah dipopularkan oleh
Plato dalam karyanya yang berjudul Politea dan Aristotle dalam karyanya
berjudul Politicia. Menurut Kamus Dewan, perkataan politik mempunyai
beberapa maksud. Pertama, politik merujuk kepada suatu ilmu pengetahuan berkenaan
cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siyasah dan
ilmu kenegaraan. Kedua, politik juga boleh difahami sebagai segala sesuatu
berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.
Akhirnya, politik juga boleh dimaknai sebagai suatu kelicikan, tipu muslihat.
Dalam bahasa Arab, istilah politik disebut sebagai siyasah (سياسة). Perkataan siyasah berasal dari kata (سَاسَ - يَسُوْسُ - سِيَاسَةً) yang membawa
maksud cara mengurus tadbir dan memerintah, mengurus atau mengatur perkara
mengikut syariat Islam.
Secara ringkas untuk kita fahami, istilah politik membawa maksud
segala perkara yang melibatkan soal urusan, pentadbiran, pemerintahan sesebuah
organisasi, badan mahupun sebuah negara. Politik tidak terhad kepada isu-isu
kenegaraan semata-mata bahkan juga merangkumi semua urusan kehidupan yang
memerlukan kepada kebijaksanaan untuk mengatur dan mengurus sesuatu perkara.
Dalam kita bercakap mengenai politik, para sarjana Islam dengan menurut displin
ilmu-ilmu Islam, perbincangan atau perbahasan mengenai politik dibincangkan di
bawah bidang fiqh dan bukan di bawah perbahasan akidah. Maka menjawab persoalan
yang dibangkitkan, persoalan berkaitan politik tidak termasuk dalam
perkara-perkara akidah. Ianya di perbahaskan di dalam ilmu fiqh iaitu suatu
bidang ilmu yang merungkaikan hukum-hakam ibadah menurut displin ilmu yang
tersusun. Oleh itu kita akan dapati perbahasan oleh para ulama tentang politik
di wacanakan di bawah persoalan fiqh sepertimana yang ditulis oleh Abu al-Hasan
al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah, Imam Ibn Taimiyyah
dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'i wa al-Ra'iyyah
dan Abdul Wahhab Khallaf dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah.
Jika kita melihat istilah al-siyasah ini, tidak terdapat di dalam
al-Quran penggunaan istilah ini melainkan Allah SWT menyebutkan beberapa
istilah lain seperti istilah al-Tamkin, al-Istikhlaf dan al-Hukm.
Istilah-istilah disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla bagi menunjukkan wujudnya
dalam Islam asas-asas pemikiran politik. Berbeza dengan hadith Nabi SAW,
terdapat satu perkataan yang berasal daripada kata akar al-siyasah iaitu
perkataan يسوس yang membawa maksud
pimpin. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Dahulu Bani Isra’il dipimpin oleh para nabi. Setiap kali seorang
nabi meninggal, ia akan digantikan oleh nabi [lain]. Namun sungguh tidak ada
nabi lagi sesudahku, dan sepeninggalanku akan ada para khalifah yang semakin
ramai.” [Para sahabat] bertanya, “Wahai Rasulullah, lalu apa yang engkau
perintahkan untuk kami?” Beliau menjawab, “Tunaikanlah baiat kepada [khalifah]
yang pertama kemudian kepada yang berikutnya, lalu penuhilah hak mereka, dan
mintalah kepada Allah apa yang menjadi hak kalian, kerana sesungguhnya Allah
akan mempersoalkan mereka tentang apa yang mereka pimpin.”
Apabila kita menyebut bahawa politik bukanlah perkara akidah, ini
bermakna politik bukanlah suatu agama dan kepercayaan yang mesti dipegang
secara tetap. Politik adalah merupakan suatu perkara ijtihad dimana sesuatu
pendirian atau pilihan politik merupakan suatu keputusan pandangan dan strategi
yang terhasil daripada usaha pemikiran berdasarkan realiti semasa dan bukannya
suatu ketetapan akidah yang bersifat mutlak. Hal ini juga bermakna dalam
politik, kita tidak boleh berhukum secara mutlak. Sesuatu keputusan politik
atau sokongan kepada sesebuah parti tertentu bukanlah penentu mutlak kepada
halal dan haram serta syurga dan neraka seperti yang menjadi ketetapan di dalam
perkara akidah. Politik yang bersifat ijtihad ini juga membenarkan kita untuk
berbeza pandangan dalam ruang lingkup fiqh siyasah (pentadbiran politik Islam).
Sesuatu pandangan yang berbeza itu dibenarkan sebagaimana kita berbeda
pandangan dalam hukum-hakam fiqh yang lainnya.
Hakikatnya politik bersifat relatif dan berubah-ubah selain ianya
adalah ciptaan manusia. Berbeza dengan akidah, dimana perkara akidah adalah
bersifat tetap dan mutlak selain ianya adalah ketetapan daripada Allah Azza Wa
Jalla. Begitu juga kadang kala politik dibina diatas kemahuan nafsu manusia
manakala akidah pula dibina dan dipandu oleh wahyu al-Quran dan hadith Nabi
SAW. Perkara yang melibatkan persoalan akidah tidak boleh dibincang,
diperhalusi dan diwacanakan dengan berpandukan kecenderungan akal dan hawa
nafsu. Ianya harus diikuti oleh ketetapan yang dibuat oleh Allah SWT.
Sebetulnya kita boleh katakan bahawa politik adalah wasilah, jalan dan perjuangan
untuk mengangkat martabat akidah. Kenyataan ini lebih tepat berbanding kita
menjadikan politik sebagai pegangan akidah yang bersifat mutlak. Apabila
manusia celaru dan terkeliru antara politik dan akidah sehingga ada yang
menganggap politik itu adalah akidah, maka akan bertambah bahayalah apabila
masing-masing mendakwa partinya adalah parti menuju ke syurga dan menafikan
parti lain tidak melakukan usaha mengangkat Islam.
Lebih liar dan binasa lagi, apabila politik mula dianggap sebagai
perkara akidah, maka budaya ghuluw (melampau) dan budaya takfir (mengkafirkan)
mula mendapat tempat untuk dihalakan peluru takfir ini kepada sesiapa sahaja
yang berbeza haluan dan partinya. Akan ada sebilangan kecilnya mendoakan
kehancuran sesama umat Islam hanya kerana berbeza parti dan haluan politik. Ini
sangat berbahaya dan akan menjadi barah yang sangat epik dalam lipatan sejarah
manusia. Kumpulan-kumpulan pelampau seperti Khawarij, Syiah, Ahbash dan yang
lain-lain memperlihatkan bagaimana mudahnya mereka mengkafirkan sesama umat
Islam semata-mata kerana berbeza pandangan dan haluan. Cukuplah dengan kita
percaya bahawa politik bukanlah perkara yang menentukan sempadan antara iman
dan kufur. Politik adalah soal pengurusan, pentadbiran, urus tadbir dan
tatakelola yang memerlukan kepada kebijaksanaan ahlinya untuk melakukannya.
Janganlah sehingga kita bermudah-mudah mengkafirkan orang lain kerana tidak
sama parti atau tidak sehaluan dengan ideologi kepartian.
Demikianlah sedikit penjelasan mengenai politik. Secara asasnya,
politik adalah sebahagian daripada perkara fiqh (hukum-hakam) yang merangkumi
soal tatakelola, pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara. Manakala akidah
pula adalah sesuatu yang disyariatkan oleh Allah Azza Wa Jalla, bersifat mutlak
dan tetap selain dipandu oleh wahyu al-Quran dan hadith Nabi SAW. Tidak sama
parti tidaklah kita berbeza soal kepercayaan akidah. Sesungguhnya usaha
memperjuangkan Islam adalah amanah semua umat Islam merentasi kepartian. Semua
orang Islam tidak kira dimana sahaja mereka berada, perjuangan Islam adalah hak
milik seluruh orang Islam. Bukanlah milik sesebuah parti, organisasi, badan
bukan kerajaan NGO mahupun individu. Perjuangan Islam yang sering menjadi
slogan kepartian tertentu adalah hak milik semua orang Islam. Biar berbeza
wadah kepartian tetapi akuilah kita semua berkongsi hasrat, tujuan dan
cita-cita yang sama iaitu mahu memperjuangkan Islam. Oleh itu, jauhilah budaya
takfir, budaya menerakakan orang dan lain-lain budaya yang melampaui batas.
Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan