Ahad, 17 Mei 2026

HAKIKAT TAFWIDH, TAKWIL DAN ISTHBAT

 

Bercakap, berbahas dan berdiskusi tentang persoalan ketuhanan adalah sesuatu perkara yang kita sendiri tidak nampak pada zahirnya dan hal ini sememangnya sesuatu yang mencabar akal dan fikiran kita. Malah kadang kala usaha bercakap tentang suatu perihal yang kita sendiri tidak pernah lihat boleh membawa kita kepada suatu bentuk kecelaruan pemikiran yang serius dan akhirnya boleh menyebabkan kita sendiri buntu dan penat untuk memikirkannya. Lalu di celah-celah kepenatan dan kebuntuan tersebut, pastinya syaitan dan iblis akan mengambil tempat di dalam diri manusia mencari ruang dan peluang untuk menambah lagi kesangsian terhadap sesuatu perkara seterusnya mengheret kita ke lembah kesesatan. Oleh kerana itu, umat manusia memerlukan suatu metod atau kaedah yang terbaik bagi membicarakan tentang ketuhanan lebih-lebih perkara yang menyentuh soal sifat-sifat Tuhan.

Dalam Islam, beriman kepada Allah SWT atau dengan kata lain mempercayai dan menyakini akan kewujudan Allah dengan segala sifat Nya yang Maha Sempurna adalah menjadi tuntutan terpenting bagi orang Islam. Untuk itu, bagi mengenali Allah Azza Wa Jalla tidak ada jalan lain melainkan merujuk kepada teks al-Quran dan al-Hadith. Dalam pada itu, dikalangan para sarjana ilmuan Islam dalam usaha menekuni tiap-tiap ayat-ayat tentang sifat Allah SWT atau dikenali dengan istilah ayat Mutashabihat, di dalam al-Quran mahupun hadith, mereka memiliki beberapa pendekatan atau metodologi dan kaedah yang berbeza dalam hendak memahami tuntutan makna sebenar sifat dan perbuatan Allah yang terkandung di dalam al-Quran dan hadith. Ayat-ayat yang menyentuh soal sifat ketuhanan seperti sifat tangan, wajah dan sebagainya telah memperlihatkan kepada kita sekurang-kurangnya tiga kaedah yang melibatkan beberapa aliran dalam bidang akidah. Tiga kaedah tersebut disebut sebagai Tafwidh (تفويض), Takwil (تأويل) dan Isthbat (إثبات).




Istilah "Tafwidh" berasal dari bahasa Arab. Perkataan Tafwidh (تفويض) itu sendiri adalah kata terbitan kepada perkataan ‘Fawwada’, ‘Yufawwidu’ (فوَّض، يفوِّض) seperti dalam perkataan arab : فوَّضت الأمر إليك yang membawa maksud “Aku menyerahkan urusan ini kepada kamu”. Sebagai contoh yang lebih jelas, Allah Azza Wa Jalla berfirman di dalam al-Quran menerusi surah al-Ghafir ayat 44, dimana Allah SWT menceritakan perkataan ahli keluarga Firaun yang beriman kepada Allah dengan menyebut perkataan أُفَوِّضُ yang bermaksud menyerahkan. Firman Nya yang bermaksud :

وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ

“...Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku)…”

Perkataan tafwidh pada sudut pemahaman bahasa difahami sebagai ‘menyerahkan’. Manakala maksud perkataan tafwidh pada sudut istilah mempunyai pelbagai definisi berdasarkan aliran pemikiran yang berbeza. Pandangan pertama menyebut tafwidh ialah menetapkan lafaz dengan tanpa menetapkan maknanya. Ini bermakna kaedah tafwidh ini merujuk kepada maksud menetapkan dan beriman kepada sifat-sifat Allah Azza Wa Jalla sebagaimana lafaz yang termaktub di dalam al-Quran dan hadith namun menyerahkan makna hakiki sepenuhnya kepada Allah Jalla Wa 'Ala. Sebagai contoh berkaitan sifat al-Istiwa' (bersemayam), Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 5 yang bermaksud :

"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy".

Melalui definisi pertama ini, bermakna kita beriman bahawa Allah Azza Wa Jalla bersemayam di atas 'Arasy sebagaimana yang dinyatakan, namun kita menyerahkan makna sebenar istiwa' itu sepenuhnya kepada Allah SWT. Dalam pada itu, kaedah ini mendapat tentangan hebat oleh Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah. Tegas beliau dalam kitabnya Dar’ut Ta’arudhil Aqli Wan Naqli, beliau menyebut bahawa jelaslah bahawa ucapan para penganut tafwidh yang menyangka dirinya mengikuti sunnah, adalah merupakan seburuk-buruk ucapan ahli bid’ah dan ahli ilhad. Menurut Syaikh Shalih Al-Fauzan dalam kitabnya al-Muntaqa Min Fatawa Syaikh Shalih Al-Fauzan, beliau menyebut :

"Kaum Salaf tidak berpegang kepada mazhab tafwidh, tetapi mazhab mereka ialah meyakini dalil ini sebagaimana adanya. Dan menentukan makna yang terkandung dalam dalil tersebut berdasarkan sifat asal dan makna asal bahasa yang disertai dengan penolakan terhadap keserupaan Allah dengan makhluk-Nya, sebagaimana firman Allah Taala : Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Allah, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Asy-Syura: 11)".



Selain itu, pandangan kedua pula menyebut tafwidh sebagai menyerahkan makna dengan keadaan kata lain memaknakannya dengan makna zahir lafaznya. Ini bermakna mereka berpegang dengan penzahiran ayat dan ini boleh membuka ruang kepada menjisimkan Allah SWT dengan anggota badan atau perbuatan seperti makhluk walaupun berdalih dengan menyebut anggota atau perbuatan yang layak bagi Allah Azza Wa Jalla. Pandangan ketiga pula mendefinisikan tafwidh sebagai tidak memberi sebarang makna kepada keterangan al-mutashabihat, tanpa mengklasifikasikannya sebagai rangkaian kata atau perkataan. Definisi ketiga ini juga dikenali sebagai tafwidh al-mutlaq yang bermaksud tafwidh semata-mata. Kaedah ini dilihat menyalahi tujuan tadabbur al-Quran kerana seolah-olah menjadikan ayat-ayat al-Quran berkenaan sifat dan perbuatan Allah tersebut seperti sia-sia dan tiada manfaat serta faedahnya. Walhal tiap-tiap ayat al-Quran itu memiliki manfaat dan mesejnya yang tersendiri.

Perkataan "Takwil" pula pada sudut literal, takwil diterjemahkan sebagai menafsirkan kata-kata yang diperselisihkan maknanya. Pada sudut istilah pula, para sarjana Islam berbeza pandangan dalam mendefinsikan makna takwil. Pandangan pertama menyebut takwil sebagai merujuk makna keterangan al-mutashabihat kepada al-Quran dan hadith iaitu al-muhkamat. Ini bermakna mereka tidak memaknakan semua perkataan yang sama dalam keterangan al-mutashabihat dengan satu makna. Sebagai contoh bagi perkataan يد (tangan), tidak semua perkataan yad di semua tempat di terjemahkan sebagai kuasa malah sebahagian tempat di sebut sebagai nikmat. Pandangan kedua pula menyebut takwil sebagai merujuk makna keterangan al-mutashabihat kepada kefahaman akal. Kaedah pentakwilan ini diguna pakai oleh kumpulan Muktazilah, suatu golongan yang suka mendahulukan akal berbanding wahyu Allah SWT. Bagi tujuan itu, mereka akan menghilangkan makna asal pada zahir ayat al-mutashabihat dan memberikan makna yang sesuai menurut akal mereka. Pandangan ketiga pula mentaktifkan takwil sebagai merujuk makna keterangan al-mutashabihat kepada ucapan oleh seorang tokoh yang didakwa maksum (terpelihara daripada dosa). Tokoh tersebut digelar imam oleh para pengikut aliran Syiah. Mereka tidak mentakwilkan dengan wahyu tetapi dengan merujuk tokoh yang dianggap maksum oleh mereka.




Perkataan "Isthbat" pula membawa maksud menetapkan dan mengukuhkan. Isthbat juga boleh difahami dengan makna berpaut dan berpegang teguh dengan zahir nas. Ini bermakna mengutamakan makna asal atau makna zahir sesuatu nas tanpa sewenang-wenangnya melakukan pentakwilan (mengubah makna kepada maksud tersirat) melainkan jika terdapat dalil sahih yang mengharuskannya. Selain itu, kaedah isthbat juga mengutamakan wahyu (dalil naqli) berbanding akal atau analogi serta turut menolak sebarang penafsiran logik yang bertentangan dan bercanggahan dengan nas yang sahih. Melalui pendekatan ini, ianya adalah merupakan jalan yang dipegang oleh para Salaf iaitu golongan tiga generasi terawal Islam yang sentiasa berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan sunnah. Pendekatan ini juga adalah sebagai seruan menolak perkara-perkara baharu (bid'ah) dalam akidah.

Demikianlah serba sedikit mengenai hakikat perkataan Tafwidh,Takwil dan Isthbat. Walau apapun, kesemua para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah bersepakat dengan mengatakan sesungguhnya Allah itu tidak sama dengan makhluk. Meski berbeza kaedah dan pendekatan dalam memahami ayat sifat dan perbuatan Allah, namun semuanya bersetuju bahwa Allah tidak sama sekali serupa dengan makhluk. Kita seharusnya jelas bahawa perbezaan pendekatan yang berlaku ini adalah menyentuh persoalan furu' (cabang) dalam akidah. Maka prinsipnya tegas, selagi mana perbezaan tersebut tidak sehingga merosakkan perkara usul akidah atau tidaklah sehingga menafikan perkara usul akidah, maka hal itu diharuskan. Sebab itu kita sebutkan bahawa meskipun berbeza pendekatan dalam usaha hendak memahami ayat sifat dan perbuatan Allah, namun kita semua berkongsi keyakinan yang sama iaitulah Allah tidak menyerupai mana-mana makhluk. Hakikatnya perbahasan mengenai tafwidh, takwil dan isthbat ini sudah lama diperkatakan dan perbahasannya begitu meluas. Apa yang penting ialah kita tidak mensyirikan Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan