Jumaat, 26 Disember 2025

MAHRAM DAN MUHRIM : SAMA TAPI TAK SERUPA ?

 

Peraturan merupakan suatu instrumen terpenting di dalam menyemai nilai disiplin selain menanam sikap-sikap yang terpuji. Tidak dapat tidak, kita wajib akui bahawa di mana-mana sahaja kita berada, pastinya terdapat peraturan atau undang-undang yang mesti dipatuhi secara bersama. Ini termasuklah di tempat kediaman kita sendiri. Umpamanya di rumah, padanya wujud ruang yang bersifat peribadi seperti bilik tidur, ada juga ruang yang bersifat berkongsi seperti tandas dan dapur selain ada juga ruang awam seperti ruang tamu. Di setiap ruang ini, pasti ada peraturan yang tersendiri bagi memastikan ruang-ruang tersebut tidak dicemari atau dicerobohi. Begitu juga dengan perkataan "Mahram" dan "Muhrim". Kedua-duanya adalah merupakan peraturan oleh Allah. Pun begitu, kedua-dua memiliki konteks yang berbeza meski bunyinya hampir nak sama.

Pada sudut bahasa, perkataan Mahram dan Muhrim berasal dari bahasa Arab. Ungkapan Mahram itu sendiri membawa makna larangan. Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab, mahram bermaksud individu-individu yang tidak boleh (haram) dinikahi. Mahram pada sudut pemahaman istilah pula, sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Kasyifah al-Saja karangan Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi, mahram bermaksud :

"Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah (harus) bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang".




Maksud perkataan al-Ta'bid yang bermaksud "selama-lamanya" pula ialah ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka). Selain itu, perkataan "bukan kerana kemuliaannya" merujuk kepada isteri-isteri baginda Rasulullah SAW. Ini kerana pengharaman bernikah dengan mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga. Manakala perkataan "bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang" merujuk kepada wanita seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Syariat Mahram adalah suatu peraturan dan undang-undang Islam yang terpundak diatas bahu seluruh umat Islam. Syariat ini bukan sahaja memberi kebaikan dengan menjaga batas pergaulan tertentu bahkan memelihara nasab keturunan daripada terjerumus ke dalam lembah sumbang mahram. Dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa' ayat 23, Allah SWT telah menjelaskan dengan panjang lebar mengenai mahram. Firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".




Dalam mengupas maksud ayat ini, Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam kitab tafsirnya menyebut bahawa kaum lelaki berkewajiban untuk sentiasa menjaga mata mereka dari melihat perkara yang haram dan jika mereka melihatnya hendaklah segera mengalihkan kerana hikmah daripada pengharaman tersebut adalah untuk menutup perkara kejahatan dan menghalang dari melakukan maksiat dan dosa. Beliau menjelaskan lagi bahawa bagi wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan. Selain itu, dalam kitab Raudhah al-Talibin, Imam al-Nawawi menyebutkan tentang makna siapakah "saudara-saudara perempuan kamu" dalam ayat tersebut dengan menyatakan mereka itu adalah setiap wanita yang diperanakkan oleh ibu bapa kamu atau salah seorang daripada mereka.

Dalam penjelasan yang lebih lanjut, Imam al-Mawardi menyatakan dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, Imam al-Syafie menyebut asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan. Maka dengan itu, Imam al-Mawardi telah membahagikan wanita mahram kepada dua kategori. Kategori pertama, wanita mahram yang haram dikahwini secara selama-lamanya. Kategori ini pula dibahagikan kepada dua jenis iaitu jenis nasab keturunan dan jenis asbab yang merangkumi perkahwinan dan susuan. Manakala kategori kedua pula, wanita mahram yang haram untuk dihimpunkan dalam satu masa yang sama. Dalam istilahnya disebut sebagai Mahram Muaqqat. Demikian penjelasan dan huraian oleh al-Mawardi. Melihat kepada keterangan berikut, jelaslah bahawa mahram yang bersabit dengan nasab dan asbab perkahwinan dan susuan, haram berkahwim dengannya, boleh bersalaman dengannya dan boleh bersendirian bersamanya. Manakala mahram yang bersabit dengan tempoh tertentu, tidak boleh disentuh dan tidak boleh bersendirian bersamanya.




Perkataan "Muhrim" pula merujuk kepada suatu peraturan ketika melakukan ibadah haji dan umrah. Ungkapan Muhrim berasal dari kata احرم ahrama - يحرم yuhrimu - إحراما ihraman yang bermaksud haram atau larangan. Haram atau larangan ini dalam konteks ibadah haji dan umrah bermakna apabila seseorang memulakan niat ihram maka ia hendaklah mengharamkan berapa pekara yang sebelum ihram itu adalah halal baginya. Sebagai contoh, di dalam melaksanakan ibadah solat. Sebelum daripada mendirikan solat, makan dan minum adalah halal. Namun apabila seseorang memulakan takbiratul ihram (untuk menunaikan solat) maka, ibadah solat itu mengharamkan makan dan minum ke atas dirinya yang mana sebelum dia takbiratul ihram, ia adalah halal baginya. Begitu juga dengan mereka yang berihram, apabila mereka berniat ihram maka pada diri mereka terdapat perkara yang dilarang untuk dibuat sepanjang mereka sedang berihram.

Secara mudah, muhrim merujuk kepada orang yang memakai pakaian ihram ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Dalam berpakaian ihram, terdapat etika pemakaian yang harus dipatuhi. Pakaian ihram bagi kaum lelaki ialah dua helai kain lepas, iaitu tidak dijahit dan tidak pula dijalin (tidak dicantum). Sehelai dipakai sebelah bawah untuk menutup aurat, iaitu antara pusat dan lutut manakala sehelai lagi dibuat selendang. Kain ini disunatkan berwarna putih. Selain itu, bagi kaum lelaki yang dalam berpakaian ihram, adalah dilarang menutup kepala. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, para sahabat pernah bertanya berkenaan aturan pemakaian ketika dalam ihram, lalu baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"(Orang yang dalam ihram) tidak boleh memakai baju, imamah (penutup kepala), seluar, burnus (baju yang ada penutup kepala), atau baju yang dicelup wars (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan kain menjadi kekuningan), atau yang dicelup za’faran (tanaman yang digunakan untuk mewarnakan dan memberikan bau khas pada kain)".




Bagi kaum perempuan pula, pakaian ihram hendaklah menutup semua anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan yang hendaklah terbuka seperti dalam sembahyang. Bagi kaum perempuan juga, ketika sedang berpakaian ihram, dilarang daripada menutup mukanya. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Janganlah wanita yang berada di dalam ihram memakai niqab (penutup muka) dan jangan juga memakai sarung dua tangannya".

Demikian penjelasan yang boleh kita katakan mengenai makna ungkapan Mahram dan Muhrim. Pada sudut sebutan dan ejaan dilihat seperti sama tetapi membawa makna dan konteks yang berbeza. Ringkasnya, mahram merujuk kepada orang yang kita haram berkahwin manakala muhrim pula merujuk kepada orang yang sedang berihram dalam menjalani ibadah haji dan umrah. Kita seharusnya menyedarkan masyarakat terutamanya bagi umat Islam supaya tidak timbul lagi kekeliruan ini. Penjelasan ini penting kerana ianya terkait dengan peraturan Allah yang tidak boleh dipermainkan. Oleh itu, sangat penting sekali untuk kita bijak dalam memahami dua istilah ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan