Jumaat, 12 Disember 2025

MEMAHAMI ZAKAT FI SABILILLAH

 

Zakat merupakan suatu ibadah yang dapat menghubungkan antara dua pihak yang terdiri daripada pemberi dan penerima. Kelangsungan interaksi antara pemberi dan penerima ini dapat memberikan faedah yang baik kepada kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh, bagi pemberi zakat, dirinya bukan sahaja memiliki nilai pemurah bahkan dapat membersihkan diri daripada penyakit bakhil dan terlalu cinta serta sayangkan harta. Selain itu dirinya juga dapat menambahkan keyakinan bahawa sesungguhnya segala rezeki adalah milik Allah. Sebaliknya, bagi penerima zakat pula, dirinya dapat menghakis sifat dengki yang barangkali lahir dari rasa iri hati apabila melihat nikmat yang diperolehi oleh orang lain. Malah, penerima zakat juga dapat mendidik jiwa untuk menjadi hamba Allah SWT yang tahu untuk bersyukur. Begitulah disebalik nama pemberi dan penerima, kedua-duanya akan memperolehi kebaikan yang dijanjikan oleh Allah Azza Wa Jalla.

Perkataan "Zakat" dan "Fi Sabilillah" adalah dia perkataan yang berasingan dan mempunyai makna yang berbeza. Kedua-dua perkataan ini berasal dari kosa kata bahasa Arab. Ungkapan Zakat pada sudut bahasa bermaksud berkembang, berkat atau kebaikan yang banyak. Pada sudut faham istilah pula, perkataan zakat merujuk kepada maksud nama bagi kadar tertentu harta yang tertentu yang diagihkan kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Dalam mazhab Hanafi sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab al-Durr al-Mukhtar karangan oleh al-Allamah 'Alauddin al-Haskafi menyebut zakat bermakna mempermilikkan sejuzuk daripada harta tertentu daripada harta yang tertentu untuk seseorang yang tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak kerana Allah. Selain itu, perkataan Fi Sabilillah pula merujuk kepada maksud umum iaitu segala usaha, perjuangan, atau aktiviti yang bertujuan untuk meninggikan agama Allah, mempertahankan keagungan Islam, dan membawa kemaslahatan umum umat Islam.




Dalam pensyariatan zakat, terdapat peruntukkan khas kepada golongan yang disebutkan sebagai Fi Sabilillah. Hal ini sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran menerusi surah al-Taubah ayat 60, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa terdapat lapan golongan yang berhak menerima zakat dan dalam senarai lapan golongan penerima tersebut, satu golongan khas yang layak menerima zakat dikenali sebagai golongan Fi Sabilillah. Persoalan utamanya ialah siapakah yang dimaksudkan sebagai mereka yang fi sabilillah. Dalam catatan kitab al-Fiqh al-Manhaji, secara umum golongan fi sabilillah bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. Mereka dan tanggungannya layak diberikan zakat yang mencukupi selama ketiadaannya sehingga mereka kembali ke pangkuan keluarga, sekalipun mereka kaya. Begitu juga, perlu diberikan kemudahan pengangkutan untuk membawa barang-barang dan peralatan perang dan lain-lain bagi membantu mereka berjihad. Selain itu, ketika menafsirkan makna fi sabilillah, Imam al-Razi menyebut dalam kitab Tafsir al-Kabir bahawa zahir lafaz pada perkataan fisabilillah dalam ayat 60 surah al-Taubah itu tidak wajar dikhususkan kepada maksud orang yang berperang semata-mata.

Imam al-Razi menjelaskan makna fi sabilillah dengan menukilkan ungkapan oleh al-Qaffal dengan menyebut pandangan beberapa fuqaha’ bahawa zakat boleh dibelanjakan untuk apa sahaja tujuan kebaikan, termasuk menyempurnakan jenazah, membina benteng atau kubu pertahanan dan membina masjid. Selain itu, tokoh terkemuka di dalam mazhab Hanafi, Imam Abu Yusuf menyatakan makna fi sabilillah ialah orang fakir yang berperang secara sukarelawan yang terputus dan kehabisan bekalannya. Berkata Imam al-Kasani sepertimana yang dinukilkannya dalam kitabnya Badai' as-Sonai, beliau menyebut makna fi sabilillah ialah ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat). Dalam pandangan lain, menurut Abi Thayyib Shadiq Ibn Hasan al-Qanuji, beliau menyatakan dalam kitabnya Ar-Raudhatun Nadiyyah, adapun fi sabilillah maksudnya di sini ialah jalan Allah. Jihad walaupun sebesar-besar jalan Allah tetapi tidak ada dalil yang mengkhususkan bahagian fi sabilillah kepadanya sahaja. Jadi bahagian fi sabilillah ini harus dibelanjakan kepada setiap perkara yang menjadi jalan Allah.




Dalam pada itu, tokoh ulama kontemporari, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menghuraikan makna fi sabilillah dalam kitabnya Fiqh al-Zakah dengan menyebut pengertian fi sabilillah dalam ayat pengagihan zakat ialah jihad sepertimana pendapat jumhur. Walau bagaimana pun, al-Qaradhawi telah memperluaskan makna fi sabilillah dengan menyebut jihad dalam bentuk pemikiran, pendidikan, penulisan, perekonomian, politik, kemasyarakatan dan sebagainya juga boleh dianggap dan termasuk sebagai fi sabilillah. Selain itu, Syeikh Rasyid Ridha telah dalam kitab tafsirnya al-Manar dengan menyebut setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan fi sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan negara. Ia bukan urusan kepentingan individu. Turut memperluaskan makna fi sabilillah ialah Syeikh Mahmud Syaltut. Beliau menyebut dalam kitabnya al-Islam : ‘Aqidatan wa Syari’atan, tergolong dalam fi sabilillah ialah menyediakan pendakwah-pendakwah Islam untuk berperanan menzahirkan keindahan agama Islam dan sikap toleransinya, menyebarkan ajarannya, menyampaikan hukum-hakamnya dan memerhati serangan-serangan musuh terhadap prinsip-prinsip Islam dan berusaha menangkisnya. Begitu juga termasuklah tugas memastikan berterusannya para hafiz yang menjaga al-Quran (dari hilang) yang menaqalkannya secara mutawatir sejak dari mula turunnya wahyu hingga ke hari ini, bahkan hingga ke hari kiamat.

Demikianlah antara huraian serta penjelasan yang merujuk kepada zakat fi sabilillah. Apa yang boleh kita rumuskan ialah makna fi sabililah boleh dibahagikan kepada dua pemahaman. Pemahaman pertama sebagaimana yang disebutkan oleh kebanyakan para imam empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali), makna fi sabilillah ialah golongan mereka yang berperang di jalan Allah demi menegakkan serta mempertahankan syiar agama Islam. Maka mereka ini layak menerima zakat selagi mana berkhidmat berjuang di jalan Allah. Ini termasuklah juga jemaah haji dikira sebagai fi sabilillah sepertimana menurut salah satu pandangan dalam mazhab Hanafi. Selain itu, pemahaman kedua pula, dikalangan ulama kontemporari, mereka telah memperluaskan lagi maksud fi sabilillah selari dengan perubahan zaman, mereka turut menambah seperti golongan pendakwah, golongan yang menghafaz al-Quran dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam usaha menyebarkan Islam melalui pelbagai medium termasuk penulisan, perekonomian dan sebagainya. Dalam konteks negara kita, hal ehwal pengurusan zakat adalah terletak di bawah bidang kuasa agama negeri masing-masing. Lebih tepat lagi, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Oleh itu, MAIN perlu memainkan peranan penting dalam usaha menentu sahkan definisi golongan fi sabilillah agar tidak ada pihak yang memanipulasikan institusi zakat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan