Isnin, 8 Disember 2025

FENOMENA KODOKUSHI : TRAGEDI YANG PILU

 

Saban hari dunia kini banyak digemparkan dengan berita kejadian kematian yang mengejutkan. Tanpa mengira usia tua atau muda, kaya mahupun miskin, kematian tidak menunggu kebersediaan kita untuk menyapa. Sesiapa sahaja dan walau dimana pun keberadaan kita, kematian yang menjadi suatu kerahsiaan takdir ilahi pasti akan menjelma bila tiba saat dan ketikanya. Apabila kita bercakap mengenai kematian, tentulah banyak sekali timbul rasa bimbang kita memikir akan kehidupan selepas mati. Ini kerana kehidupan selepas kematian adalah suatu yang nyata dan benar sekali. Malah kehidupan selepas kematian itu bersifat kekal selamanya. Selain itu, satu hal lain lagi yang agak merisaukan warga dunia hari ini ialah berkaitan kematian bersendirian atau disebutkan sebagai Kodokushi.

Secara umum, Kodokushi merujuk kepada suatu fenomena kematian yang menyayat hati. Perkataan "Kodokushi" berasal dari bahasa Jepun. Pada pemahaman sudut istilah, kodokushi membawa maksud kematian bersendirian, dimana seseorang meninggal dunia tanpa disedari oleh sesiapa pun dan setelah itu hanya ditemui selepas beberapa hari, minggu atau bulan dan bahkan boleh jadi bertahun. Hakikatnya, kejadian ini bukan sekadar direkod sebagai kematian yang tragis tetapi juga menunjukkan cerminan tahap kemerosotan hubungan sosial yang merangkumi hubungan kekeluargaan, kejiranan, komuniti dan masyarakat setempat. Selain harus diakui juga bahawa fenomena ini menyaksikan warga dunia yang semakin hilang rasa bermasyarakat dek kerana mengejar dunia yang semakin pesat dan moden ini.




Sejarah negara terbit matahari ini pernah mencatatkan bahawa sejak krisis ekonomi yang melanda pada tahun 1980-an, telah bermula lah episod kodokushi yang menghantui Jepun sehingga ke hari ini. Menurut statistik pada tahun 2024, sebanyak lebih 76, 000 kes individu mati bersendirian di kediaman. Lebih memilukan, daripada 76 ribu kes tersebut, majoritinya terjadi dikalangan warga emas. Dalam usaha menangani isu ini, pihak berkuasa tempatan di sana telah mewujudkan sebuah unit khas yang bertujuan untuk menguruskan jasad yang ditemui dalam keadaan reput tanpa waris yang tampil. Selain Jepun, fenomena ini juga dilihat semakin berkembang di seluruh negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan termasuklah juga Malaysia. Dalam catatan rekod di Singapura, pada tahun 2020, sekurang-kurangnya lebih 700 kes kematian bersendirian dilaporakan.

Fenomena yang semakin membimbangkan ini telah mendorong pihak kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas dibawah seliaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga seperti Silver Generation Office (SGO) yang bertujuan untuk memantau warga emas melalui rangkaian sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO). Mendepani situasi yang membimbangkan ini, Thailand yang juga tidak terlepas daripada isu ini turut mengambil langkah agresif dengan melaksanakan sebuah program yang disebut sebagai Village Health Volunteers. Negara jiran, Indonesia juga turut mengambil langkah sama dengan menubuhkan Posyandu Lansia, iaitu sebuah pusat penjagaan komuniti untuk golongan lanjut usia. Hakikatnya, fenomena Kodokushi ini amat lazim berlaku di negara-negara maju dan negara berstatus membangun. Perubahan gaya hidup selain tekanan ekonomi sedikit-sebanyak menyumbang kepada perubahan sosial manusia.

Malaysia yang juga dikenali sebagai negara membangun tidak terkecuali mendepani isu yang memilukan ini. Menurut rekod pada tahun 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan seramai 3.9 juta orang atau 11.6% daripada populasi di Malaysia berusia 60 tahun dan keatas. Pertambahan jumlah individu berstatus warga emas ini juga turut menyaksikan peningkatan penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease) yang membimbangkan. Melalui data yang dikumpulkan oleh pihak Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), pada tahun 2023 mencatatkan sejumlah lebih 500,000 atau 2.5% individu dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol dan obesiti. Keadaan ini akan mengundang kepada pertambahan warga emas yang mempunyai penyakit kronik sekiranya tidak ada langkah atau pelan untuk mengatasi isu tersebut.




Hakikatnya, sama ada kita sedar atau tidak, fenomena mati sendirian ini telah melanda negara kita sejak kebelakangan ini. Jika dahulu, kejadian seperti ini hanya dapat ditonton melalui drama dan filem terbitan dari luar negara tetapi kini fenomena ini sudah menghiasi dada-dada akhbar dan laporan berita di televisyen dan radio. Terkini, menurut laporan akhbar Bernama bertarikh 16 November 2025, seorang warga emas yang tinggal sendirian ditemukan meninggal dunia di Kota Bharu, Kelantan. Dalam kejadian memilukan ini, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Encik Khairul Fais Ariffin menjelaskan mangsa yang dikenali dengan nama Jafri Said, berumur 62 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Sebelum itu, pada tanggal 22 September 2024, dilaporkan terdapat seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia sendirian di Alor Gajah, Melaka.

Apa yang dinyatakan ini merupakan antara sebahagian kecil kes yang dilaporkan di media baru-baru ini. Laporan ini juga sekaligus membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai komuniti masyarakat sudah mulai hilang rasa kecaknaan terhadap jiran tetangga. Dalam satu temubual oleh wartawan Sinar Harian, Profesor Madya Dr Halimatus Sadiah, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan terdapat beberapa golongan yang berisiko mati sendirian ialah warga emas yang belum berkahwin atau tiada anak, pesakit kronik, individu mengalami gangguan mental, kesunyian atau kemurungan, golongan miskin dan gelandangan serta orang kurang upaya (OKU). Jika tidak ada kecaknaan terhadap kejiranan, maka tidak mustahil lah fenomena Kodokushi ini akan terus menghantui negara kita yang sedang membangun ini.

Dalam ajaran agama Islam, melalui panduan oleh al-Quran dan al-Sunnah, kepedulian dan kecaknan terhadap jiran sangat ditekankan oleh Islam. Ini termasuklah mengambil kira soal bertegur sapa, saling membantu dan menghormati antara satu sama yang lain. Sehingga satu tahap, Islam membenci seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan jiranya dalam kelaparan. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Thobrani, daripada Ibnu Abbas RA dari Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan".




Selain itu, Islam yang juga sebagai agama yang membawa nilai kesejahteraan menuntut umatnya untuk berbuat baik kepada kejiranan. Perbuatan berbuat baik kepada jiran tidak terhad sekadar dengan bersedekah bahkan bertanya khabar dan menziarahi jiran adalah antara maksud berbuat baik kepada jiran. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abi Syuraih RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya."

Demikianlah fenomena Kodokushi yang semakin menjadi-jadi. Realiti yang ada pada hari ini sudah memadai untuk menjelaskan kepada kita bahawa sikap kepedulian yang semakin terhakis selain sikap mementingkan diri sendiri telah membarah dalam diri kita. Harus diakui di sesetengah keadaan, jiran sebelah rumah pun tidak kenal dek kerana kesibukan kerja dan lain-lain. Akibatnya kelak, kita akan melihat banyak lagi kes kematian sendirian sunyi tanpa diketahui oleh masyarakat setempat. Oleh itu, kesedaran tinggi dikalangan masyarakat harus dipupuk selain memperkasakan program kejiranan dengan mewujudkan pelbagai insentif dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah memperhebatkan gerak kerja jawatankuasa kariah, jawatankuasa penduduk dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan. Dengan semua kerjasama dan peranan yang dimainkan ini, negara kita pasti boleh menangani isu yang semakin membimbangkan ini. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan