Adat dan lumrah dalam kehidupan makhluk yang bernama manusia,
adanya pasang surut dalam realiti berumah tangga. Seperti kata orang dahulu,
bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan. Pasti tiap-tiap langkah kehidupan
itu dihiasi dengan pelbagai onak duri. Pepatah melayu ada menyebut, sedangkan
lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kerana kehidupan berumah tangga
itu terhasil dari dua jiwa, dua kepala dan dua rasa, dan oleh kerana
kedua-duanya juga adalah merupakan manusia yang tidak pernah sunyi dan sepi
dari kekhilafan, maka kadang kala ombak pergaduhan datang membadai menguji
bahtera perkahwinan yang dibina. Sesetengah dari masyarakat, yang barangkali
sudah teracun dengan drama tv cintan-cintun yang bahagia, menganggap rumah
tangga yang bahagia ialah yang tidak pernah bergaduh. Benarkah dakwaan ini ?
Untuk mengatakan sesebuah rumah tangga yang bahagia ialah yang
tidak pernah langsung bergaduh, adalah suatu pandangan yang dangkal sekali.
Sekalipun untuk memaknai erti bahagia, ujian dan dugaan pasti akan datang
menyapa dahulu bagi menguji kekukuhan percintaan dalam rumah tangga.
Sebagaimana Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, menerusi surah al-'Ankabuut
ayat 2, di mana Allah Azza Wa Jalla bertanya apakah manusia itu yakin dan
mendakwa mereka adalah merupakan orang yang beriman sedangkan Allah belum
menguji mereka lagi. Begitulah juga dalam rencah kehidupan berumah tangga.
Tentu sukar untuk mendakwa kitalah pasangan yang bahagia kerana tidak pernah
bergaduh walhal rumah tangga kita masih belum teruji lagi. Tidak peliklah andai
ada yang baru menjalani kehidupan berumah tangga dalam usia perkahwinan baru
mencecah setahun hingga 3 tahun, masih dalam suasana bercinta manis-manis, lalu
merasa sudah bahagia.
Kerana kematangan dalam berumah tangga benar-benar akan teruji bila
usia perkahwinan menjengah ke usia yang lebih lama. Dalam kita berbicara
tentang kehidupan berumah tangga, episod pergaduhan, adegan merajuk, siri
cemburu tidak bertempat atau seumpamanya adalah merupakan warna-warni yang
menceriakan plot kehidupan berumah tangga. Hattakan dalam kehidupan junjungan
besar baginda Nabi Muhammad SAW pun, tidak terkecuali berhadapan dengan episod
konflik berumah tangga. Dalam catatan sirah agung Nabi Muhammad SAW, peristiwa al-Ifki
adalah antara momen yang menguji kekukuhan rumah tangga baginda. Perkataan al-Ifki
berasal dari bahasa Arab dan ianya mempunyai beberapa makna. Antara makna nya
seperti kata al-Raghib al-Asfahani dalam kitab al-Mufradat fi Gharib
al-Quran, bermaksud memalingkan iktikad yang betul kepada iktikad yang
batil. Secara ringkas, perkataan al-Ifki membawa makna dusta, bohong, menipu
yang menyebabkan orang ramai berpaling dari kebenaran.
Peristiwa al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah. Ianya
berlaku sejurus tamatnya perang Bani Mustoliq. Ianya merupakan satu peristiwa
di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah RAnha melakukan zina dengan seorang
sahabat yang bernama Safwan Bin Mu’attol RA. Perkara ini telah menimbulkan
kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Dikalangan para
sahabat, ada yang tidak mempercayai berita tersebut dan ada juga yang tidak
mengeluarkan apa-apa pendirian selain dan ada juga yang mempercayai bahawa Aisyah
RAnha benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol. Keadaan ini berpanjangan
episodnya sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah
kemudian Allah Azza Wa Jalla menurunkan ayat ke 11 daripada Surah al-Nur
membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT yang
bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu
ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang
dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di
antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya
itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara
mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”
Peristiwa ini adalah antara episod yang menguji kekukuhan rumah
tangga baginda Nabi bersama Asiyah Ranha. Keadaan genting pada ketika itu telah
membuatkan Aisyah merasai perubahan layanan baginda Nabi terhadapnya. Aisyah
dalam pada itu memohon izin dari suaminya, Rasulullah SAW untuk menetap di
rumah orang tuanya iaitu Abu Bakar RA buat sementara waktu. Dalam tempoh krisis
itu berlaku juga, baginda Nabi menemui beberapa para sahabat, meminta nasihat
dan pandangan selain bertemu dan meminta pandangan dari para isteri baginda
yang lain. Setelah itu, Allah SWT telah membersihkan Aisyah dengan turunnya
ayat 11 dari surah al-Nur. Peristiwa yang telah berlaku ini banyak sekali
pengajarannya namun keadaan ini menjelaskan hakikat dalam berumah tangga,
pastinya akan ada episod suka duka yang datang dan pergi untuk menguji
kekukuhan berumah tangga. Realiti yang ada pada hari ini, sewajarnya menekankan
tentang persoalan bagaimana untuk menguruskan konflik yang sememangnya kita
tidak boleh mengelak darinya kerana itulah sifat dan lumrah dalam berkongsi
jiwa dan raga.
Selain episod perisitiwa al-Ifki, tercatat juga dalam siri sirah
baginda Nabi Muhammad SAW kisah Mariah al-Qibtiyyah yang menguji kekukuhan
rumah tangga baginda Nabi bersama isterinya bernama Hafsah binti Umar. Seorang
Perempuan bernama Mariah binti Syam'un atau dikenali juga sebagai Mariah
al-Qibtiyyah, merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh pembesar Mesir
iaitu al-Muqawqas kepada Nabi Muhammad SAW. Episod panjang yang mengkisahkan
tentang ujian rumah tangga Nabi ini dirakamkan dalam sebuah hadith riwayat
Sunan Said bin Mansur, diceritakan oleh Dhahhak RA yang bermaksud :
“Bahawa Hafsah telah menziarahi ayahnya pada suatu hari dan ketika
itu adalah gilirannya bersama Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW pulang ke
rumah, Baginda SAW tidak melihatnya di rumah. Kemudian Baginda SAW mengutuskan
kepada hambanya Mariah al-Qibtiyyah. Setelah itu, Rasulullah SAW telah bersama
dengannya di rumah Hafsah (menggaulinya). Tidak lama kemudian, Hafsah pulang
ketika Rasulullah SAW dalam keadaan tersebut. Hafsah berkata: “Wahai Rasulullah
SAW, adakah engkau melakukan hal ini di rumahku dan ketika giliranku?”. Maka
Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya dia (Mariah) haram ke atasku dan
janganlah engkau memberitahu kepada sesiapa akan hal ini”. Hafsah keluar ke
rumah Aisyah RA lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah itu, turunnya
ayat Allah SWT “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat
dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu” sehingga
firman Allah SWT “serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang
beriman” lalu Baginda SAW diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan
kembali kepada hambanya”.
Berdasarkan kisah ini, baginda Nabi SAW telah menceraikan
isterinya, Hafsah binti Umar kerana tidak mentaati arahannya untuk tidak
menceritakan hal yang telah berlaku itu kepada sesiapa. Namun setelah itu,
baginda Nabi SAW telah merujuk semula dengan Hafsah. Selain episod Hafsah,
terdapat satu lagi episod kisah rumah tangga Nabi yang teruji melibatkan
baginda dan isterinya bernama Safiyah binti Huyyay. Isteri baginda, Safiyyah
binti Huyyay adalah lahir dari keturunan Bani Israil dari cucu Lawi bin Ya'qub.
Beliau merupakan anak kepada ketua kaum Yahudi Bani Nadhir dan Bani Qurayzah.
Dikalangan para isteri Nabi yang lain sangat cemburu dengan kecantikan
Safiyyah. Keadaan ini telah mengundang isu kecemburuan dan prasangka dikalangan
isteri-isteri Nabi yang lain terhadap Safiyyah. Dalam satu peristiwa, baginda
Nabi membawa isteri-isterinya ikut serta menunaikan haji. Setiap mereka akan
menunggang unta masing-masing. Dalam pertenghan perjalanan, unta yang dinaiki
oleh Safiyyah meragam dengan terdiam kaku dan enggan bergerak.
Safiyyah yang mempunyai tubuh kecil molek dan berjiwa lembut ini
menangis kerana untanya meragam. Lalu baginda Nabi segera datang kepada
Safiyyah dan memujuk Safiyyah. Setelah dipujuk, Safiyyah bertambah nangis. Puas
dipujuk, lalu baginda Nabi telah meminta salah seorang isterinya, Zainab untuk
meminjamkan seekor daripada untanya kepada Safiyyah. Peristiwa ini telah
menimbulkan kecemburuan para isteri Nabi yang lain terhadap Safiyyah. Begitulah
adat resam dalam berumah tangga. Pastinya ada hitam putih kehidupan.
Demikianlah bagaimana baginda Nabi Muhammad SAW menghadapi konflik rumah
tangga. Sebaik-baik baginda Nabi juga, tidak terlepas dari diuji dan di duga
rumah tangganya. Apa yang boleh kita rumuskan ialah kehidupan rumah tangga
tidak dapat lari dari episod gaduh, bermasam muka, merajuk dan cemburu. Namun
apa yang lebih mustahak ialah bagaimana kita perlu menguruskannya dengan penuh
kematangan. Lihat dan pelajarilah daripada kisah baginda Nabi ini yang bijak
dan tenang menghadapi setiap episod ujian berumah tangga Semoga Allah merahmati
dan memberkati kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan