Penyesalan akan kesilapan lalu adalah petanda diri masih mempunyai
nilai kesedaran yang tinggi. Merasa bersalah, akui akan kekhilafan dan bertekad
untuk berubah bukanlah semudah memetik jari. Jangankan untuk berubah, kadang
kala manusia itu sendiri amat payah untuk mengaku salah dek kerana ketebalan
sifat egois dalam diri. Kesannya, sifat narsisistik mulai menjarah diri,
menyemai kesombongan dan memperlihatkan sikap berasa diri sentiasa betul dan
benar. Hasilnya juga akan menjadikan diri sendiri tidak boleh dikritik apatah
lagi untuk menerima teguran. Oleh itu, beruntunglah wahai jantung hati manusia
yang masih mempunyai jiwa yang berasa salah dan mudah mengakui akan kesilapan
tersebut. Hakikat manusia, tiada yang dapat lari daripada melakukan kesalahan
dan ketauhilah sebaik-baik kesalahan diikuti dengan bertaubat kepada Allah.
Perkataan "Taubat" adalah berasal dari
bahasa Arab iatu تَوْبَة. Kata asal dari
perkataan taubah ialah تَوَبَ (tawaba)
yang bermaksud kembali. Pada sudut bahasa menurut Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan
al-Arab, ungkapan taubat membawa maksud kembali kepada Allah daripada dosa,
atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali
daripada dosa. Dalam kitab Basa’ir Zawi al-Tamyiz karangan oleh
Firuzabadi, Muhammad ibn al-Yaqub, perkataan taubat juga bermaksud kembali
kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan
maksiat. Lafaz istitabah pula membawa erti meminta seorang untuk bertaubat.
Selain itu, menurut Kamus Dewan edisi keempat, taubat merujuk kepada maksud
sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat
dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan
dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Ia juga bermaksud kembali kepada
Tuhan (dengan meninggalkan perbuatan -dan lain-lain- yg dilarang dan membuat
apa-apa yang disuruh).
Perkataan taubat pada sudut istilah pula sebagaimana yang
dinukilkan dalam kitab al-Mughni, taubat bermaksud suatu ibarat terhadap
penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa),
serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan
penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya. Perbuatan taubat hukumnya
adalah wajib. Ini bermakna, kita sebagai hamba Nya yang lemah wajib bertaubat
dengan memohon keampunan daripada Allah Azza Wa Jalla. Sesungguhnya Allah SWT
di dalam al-Quran telah memerintahkan para manusia untuk bertaubat kepada Nya.
Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah menerusi surah al-Nur ayat 31,
friman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang
yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Dalam memahami maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir menyebut dalam
kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Azim, dengan menyebut :
"Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu
daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah
kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana
kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan
Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan
Rasul-Nya".
Selain itu dalam ayat yang lain, firman Allah SWT di dalam surah
Hud ayat 3 yang bermaksud :
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari
perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya
Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu
masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap
seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala
kelebihannya itu".
Berdasarkan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata maksudnya, dan aku
memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang
telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu
tetap dan berterusan atas hal yang demikian. Demikian penjelasan oleh Imam Ibn
Kathir. Apa yang cuba dijelaskan ialah perbuatan taubat adalah merupakan suatu
bentuk kewajiban orang yang beriman kepada Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang
disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Salihin, beliau
menyatakan bahawa para ulama menyebut bertaubat dari setiap dosa hukumnya
adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT yang tidak
ada sangkut pautnya dengan hak manusia, maka syaratnya ada tiga. Pertama, dirinya
hendaklah menjauhi dan meninggalkan maksiat. Kedua, dirinya hendaklah menyesal
kerana telah melakukan maksiat tersebut. Ketiga, hendaklah dirinya berazam dan
bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Namun begitu, sekiranya dosa yang dilakukan tersebut berkaitan
dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga
syarat seperti diatas dan ditambah satu syarat lagi, iaitu hendaklah dia
meminta dibebaskan daripada hak orang yang di zaliminya. Jika berbentuk harta
benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya kepada orang yang diambil
hartanya. Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah
dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka
harus minta dihalalkan. Ringkasnya, jika kita mempunyai kesalahan yang
melibatkan hak Allah sahaja maka memadailah dengan bertaubat kepada Nya tetapi
jika kesalahan tersebut melibatkan hak manusia seperti mencuri, menfitnah dan
mengumpat, maka perlulah bertaubat kepada Allah dan memohon ampun dan maaf
kepada manusia yang dizalimi tersebut. Demikianlah bagaimana cara bertaubat
yang dipandu oleh agama Islam.
Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang pernah menzalimi saudaranya, maka hendaklah dia
memintanya (saudaranya itu) untuk menghalalkannya, kerana sesungguhnya di sana
(pada Hari Kiamat kelak) tidak ada dinar mahupun dirham, sebelum diambil
kebaikan-kebaikannya (pahala) untuk (diberikan kepada) saudaranya (yang
dizalimi itu). Sekiranya tidak ada lagi kebaikan pada dirinya, maka akan diambil
pula keburukan saudaranya (yang dizalimi itu), lalu dicampakkan ke atasnya.”
Berdasarkan hadith tersebut, jelaslah kepada kita bahawa setiap
perbuatan dosa yang melibatkan hak manusia yang lain, maka perlulah kita
memohon kemaafan daripada mereka yang dizalimi. Berkait dengan hal ini, apabila
mahu bertaubat daripada dosa yang membabitkan hak manusia lain, maka Imam Ibn
al-Qayyim berkata dalam kitabnya Madarij al-Salikin, orang tersebut
mestilah mengeluarkan sesuatu sebagai tanda permohonan maaf kepada orang yang
di zalimi tersebut, sama ada dengan membayar semula ganti rugi, atau meminta
agar dihalalkan apa yang telah diambil selepas memberitahunya. Demikian
bagaimana penekanan oleh Imam Ibn al-Qayyim berkaitan hal tersebut.
Sesungguhnya orang yang bertaubat adalah mereka yang dikalangan orang yang
terpuji. Di dalam al-Quran, golongan orang yang bertaubat disebut sebagai al-Awwabin
(الأوابين). Firman Allah SWT dalam surah
al-Isra' ayat 25 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”
Dikalangan para ulama, mereka berbeza pandangan di dalam memaknai
maksud Awwabin. Sebagaimana kata Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Sa‘id
bin al-Musayyib menyebut Awwabin adalah seseorang yang melakukan dosa, kemudian
dia bertaubat. Dia melakukan dosa lagi, kemudian dia bertaubat. Mujahid pula
menyatakan bahawa Awwabin adalah seseorang yang mengingati dosa-dosanya ketika
dia sedang bersendirian, lalu dia pun meminta keampunan daripada Allah SWT
terhadap dosa-dosanya itu. Selain Imam Ibn Kathir pula menyebut apabila
seseorang itu berazam di dalam taubatnya serta membulatkan tekadnya, maka
segala kesalahan lalu terputus dan tertutup sepertimana yang tersebut di dalam
sebuah hadith : “Islam itu menutup (kesalahan-kesalahan) sebelumnya dan taubat
menutup (kesalahan-kesalahan) sebelumnya".
Walau apa pun perbedaan yang wujud ianya hanyalah soal istilah.
Dasarnya jelas menunjukkan bahawa perbuatan bertaubat adalah sesuatu yang mulia
lagi suci. Bahkan Allah SWT menekankan janji Nya bahawa akan mengampunkan para
hamba Nya yang mahu bertaubat. Oleh itu, taubat bukanlah suatu pilihan tetapi
ianya adalah suatu keperluan. Tanggungjawab kita bagi orang yang beriman untuk
senantiasa bertaubat kepada Allah. Dengan itu juga, menjadi sunnah Nabi SAW
selepas memberi salam ketika solat, ungkapan pertama yang disebut oleh baginda
Nabi ialah ucapan istighfar (أستغفرالله)
yang bermaksud aku memohon ampun. Demikianlah hakikat sebuah taubat. Islam
mengajar umatnya untuk sentiasa sedar akan kelemahan diri walau segah apapun
nama, kedudukan, pangkat dan jawatan yang ada. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan