Aturan kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah SWT membuktikan
manusia tiada kuasa dan daya untuk melawan ketentuan Nya. Segala sesuatu
perkara baik buruk yang berlaku dalam kehidupan ini pastinya ada hikmah yang
tersembunyi. Dalam pada itu, manusia diberikan akal untuk berfikir dan mencari
hikmah disebalik sesuatu yang berlaku. Liku-liku kehidupan yang berlalu,
menuntut supaya tiap-tiap diri kita yang bergelar manusia ini perlu sabar dan
reda dengan apa yang terjadi. Segala bentuk ujian hidup yang melanda, perkataan
reda merupakan kata kunci akan segala ketenangan. Ini kerana apabila diri kita
sudah reda, pasti segalanya akan berlalu dengan begitu mudahnya. Oleh kerana
itu juga, Islam sebagai agama yang lengkap mengajar umatnya untuk sentiasa
memiliki perasaan reda agar kita mampu melepaskan hal yang telah berlaku dengan
jiwa yang tenang.
Perkataan "Reda" berasal dari kosa kata
bahasa Arab. Reda merupakan kata terbitan dari perkataan (رضي- يرضي) yang merujuk kepada makna berlawanan dari
kemarahan. Pada sudut pemahaman istilah, ungkapan reda membawa maksud
kegembiraan hati atas ketetapan takdir (qadha'). Menurut Kamus Dewan Bahasa,
perkataan reda bermaksud bersedia dengan ikhlas hati untuk membuat sesuatu dan
rela. Selain itu, al-Munawi ketika mentakrifkan makna reda, sebagaimana yang
dinyatakan dalam kitab Nudhrah al-Na'im fi Makarim Akhlak Rasul al-Karim,
beliau menjelaskan bahawa reda adalah ketenangan jiwa bagi manusia terhadap apa
yang menimpanya atau apa yang hilang daripadanya tanpa mengalami perubahan.
Para ahli feqah menyatakan bahwa reda itu adalah persetujuan (izin). Mereka
menjadikan izin sebagai reda kerana itu menunjukkan persetujuan terhadapnya.
Menurut al-Wasiti pula sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Targhib
Wa Tarhib, beliau menjelaskan bahawa reda adalah melihat segala sesuatu
dengan pandangan yang redha, sehingga tidak ada yang kamu murkai kecuali apa
yang dimurkai oleh Tuhanmu. Berdasarkan definisi berserta penjelasan yang
dikemukakan, dapatlah kita simpulkan bahawa reda adalah merupakan salah satu
sifat yang terpuji, yang membentuk jiwa manusia untuk menerima segala yang
terjadi dengan keadaan yang tenang dan damai. Tidak memberontak, marah apatah
lagi untuk membangkang dengan apa yang telah berlaku. Hakikatnya, intipati
ajaran Islam amat menekankan tentang kepentingan memiliki sifat reda. Oleh yang
demikian, sifat reda dilihat sebagai sifat yang lebih tinggi daripada sabar.
Sifat sabar memerlukan kepada keadaan tertentu seperti susah hati, gelisah dan
resah. Sebaliknya sifat reda, sentiasa memerlukan dirinya untuk menahan marah,
mengeluh atau mengadu dengan hal yang terjadi.
Telah berkata Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Majmu'
al-Fatawa, beliau menyebutkan bahawa :
“Sabar adalah wajib menurut kesepakatan ulama, dan yang lebih
tinggi daripadanya ialah redha dengan hukum Allah. Redha ada yang mengatakan
wajib, ada yang mengatakan sunat, dan yang sahih ialah ia sunat. Yang lebih
tinggi lagi ialah seseorang itu bersyukur kepada Allah atas musibah, kerana dia
melihat musibah itu sebagai nikmat Allah padanya, iaitu Allah menjadikan
musibah itu sebagai sebab untuk menghapuskan dosa-dosanya, mengangkat
darjatnya, mengembalikannya kepada-Nya, agar memohon dan merintih kepada-Nya,
ikhlas bertawakal dan berharap hanya kepada-Nya, tidak kepada makhluk.”
Oleh itu, sifat reda adalah merupakan sifat tertinggi berbanding
dengan sifat sabar. Untuk mendidik jiwa untuk sabar, ketenangan amat diperlukan
dan untuk tujuan tersebut, jantung hatinya terlebih dahulu perlu reda dalam
menerima segala sesuatu. Menurut Imam Ibn Taimiyyah ketika membicarakan
mengenai sifat reda, beliau membahagikan sifat reda kepada dua jenis. Jenis
pertama, reda terhadap apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang
dilarang, serta mengambil apa yang Allah halalkan tanpa melampaui batas ke atas
apa yang telah diharamkan. Ini merupakan reda yang wajib. Hal ini berdasarkan
firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Taubah ayat 59,
firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa
yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata:
“Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah
kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada
Allah”
Selain itu, jenis reda kedua pula ialah reda kerana ditimpa musibah
seperti kemiskinan dan kesakitan. Ini merupakan reda yang sunat bukanlah wajib.
Dikatakan ia merupakan reda yang wajib dan yang sahihnya wajib itu adalah
bersabar sepertimana kata al-Hasan : Reda itu adalah naluri, tetapi sabar itu
adalah tunggak utama bagi seorang mukmin. Pernyataan ini adalah berdasarkan
sebuah hadith Nabi SAW riwayat Abu Nuaim, daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud :
"Jika kamu mampu beramal kepada Allah dengan reda dan yakin,
maka lakukanlah. Dan jika kamu tidak mampu, maka sesungguhnya dalam kesabaran
terhadap apa yang kamu benci terdapat kebaikan yang banyak".
Demikianlah pembahagian reda oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah. Apa
yang jelas ialah perasaan reda itu dituntut dalam kedua-dua jenis iaitu reda
dengan segala pensyariatan berkait hukum-hakam dan tanggungjawab sebagai
seorang hamba Allah SWT. Dalam kata lain, kita haruslah dengan jiwa yang tenang
menerima segala tanggungjawab dan hukum-hakam yang terpundak di bahu kita
sebagai seorang hamba Nya. Selain itu, jenis kedua, kita juga dituntut untuk
reda menerima segala bentuk ujian yang mendatang. Dengan kata mudah, menerima
segala macam ujian hidup seperti sakit, musibah, kematian dan sebagainya dengan
jantung hati yang tenang dan tidak marah. Itulah dua jenis reda yang mesti
dimiliki oleh orang yang beriman. Selain itu, untuk memiliki sifat reda, ada
yang tertanya-tanya adakah kita dilarang untuk bersedih atau menangis ketika
diuji oleh Allah dengan sesuatu musibah barulah dikatakan kita telah reda ?
Jawapannya ialah Allah tidak larang sama sekali untuk kita berasa sedih atau
menangis dengan ujian yang menimpa.
Sesungguhnya tidak bersedih atau tidak menangis bukanlah bererti
dirinya sudah memiliki sifat reda. Sedih, pilu dan sayu dengan ujian yang
melanda adalah merupakan sifat tabiat semula jadi manusia yang lemah dan tidak
berdaya. Adalah normal dan tidaklah berdosa jika kita bersedih lalu menangis
dengan ujian yang mendatang. Cuma Islam melarang kita dari bersikap melampau
dalam bersedih seperti meratap, menampar-nampar muka sendiri dan selainnya yang
bersifat melampaui batas. Syarat untuk menjadi hati yang reda ialah dengan
tidak membantah dan tidak juga marah. Ini sebagaimana yang pernah disebut oleh
Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, Madarij al-Salikin, beliau menyebut :
“Bukanlah termasuk syarat ‘reda’ itu seseorang tidak merasa sakit
dan tidak suka, tetapi syaratnya ialah tidak membantah hukum (ketetapan) dan
tidak marah. Inilah yang mengelirukan sebahagian orang tentang reda terhadap
perkara yang disukai, lalu mereka mencelanya (rasa tidak suka dengan perkara
yang buruk). Mereka berkata: ini mustahil secara tabi‘i, yang ada hanyalah
sabar. Kalau begitu bagaimana boleh berhimpun reda dan tidak suka, padahal
keduanya bertentangan? Jawapan yang benar: tiada pertentangan antara keduanya.
Adanya rasa sakit dan tidak suka dalam jiwa terhadapnya tidak menafikan reda,
sebagaimana redanya orang sakit meminum ubat yang tidak disukainya, redanya
orang berpuasa di hari yang sangat panas dengan rasa lapar dan dahaga, dan redanya
seorang mujahid terhadap kesakitan luka dalam perjuangan di jalan Allah dan
seumpamanya.”
Dalam hal ini, baginda Nabi SAW juga pernah menangis kerana
kehilangan anaknya yang tercinta, Ibrahim. Baginda menangis mengalir airmata
namun tetap reda dengan ujian yang datang. Demikianlah makna sebenar reda. Kita
tidaklah dilarang atau ditegah untuk bersedih dan menangis apabil diuji dengan
ujian yang berat. Tetapi bezanya adalah kita tidaklah perlu berlebihan dalam
keadaan sedih dengan membuat perkara-perkara mungkar seperti meratap,
mempersoalkan takdir dan sebagainya. Maka dengan itu, jelaslah kepada kita
sesungguhnya sifat reda adalah sifat yang terpuji yang melatih jantung hati
kita untuk tenang dalam ujian dan damai dalam cubaan. Setiap apa yang berlaku
pasti adanya hikmah yang tersendiri. Tetaplah bergantung hidup kepada Allah dan
jangan pernah sesekali berputus asa dari rahmat Nya. Semoga Allah meredai kita
semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan