Dunia yang indah terbentang luas ini mendorong kita yang waras
akalnya berfikir dan terfikir akan siapakah entiti disebalik keindahan ini.
Keluasan bumi yang terhidang, keteguhan langit yang tidak bertiang selain
kejadian siang dan malam yang silih berpulang, membuahkan kekaguman yang tidak
ternafi oleh kedalaman naluri kemanusiaan. Ketakjuban melihat akan semua ini,
menjadikan kita akui bahawa tiada manusia yang dapat melakukan sedemikian
kecuali kuasa agung yang datangnya dari Tuhan. Sejarah mencatatkan ribuan tahun
dahulu, manusia menyangka mungkin matahari adalah Tuhan, apabila malam kunjung
tiba, matahari hilang disangka pula bulan adalah Tuhan. Pun begitu, Islam
sebagai agama tauhid datang menyuluh kehidupan manusia, mengeluarkan manusia
dari lembah kegelapan jahiliyyah menuju cahaya kebenaran iman.
Perkataan "Tauhid" adalah berasal dari
bahasa Arab. Pada sudut pemahaman ahli bahasa, ungkapan tauhid sebagaimana yang
disebutkan dalam al-Qamus al-Muhit bermaksud menjadikan sesuatu itu satu. Dalam
catatan kitab Mu'jam Maqayis al-Lughah, tauhid membawa maksud menyatukan
sesuatu dan perkataan tersebut menunjukkan sesuatu yang tunggal. Selain itu,
dalam kitab Hasyiah al-Bajuri, sebuah tulisan yang mensyarahkan kitab Jauharah
al-Tauhid menyebut bahawa tauhid bermakna mengetahui bahawa sesuatu itu
adalah satu. Tauhid pada sudut istilahnya pula terdapat beberapa definisi
antara lain sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Haramain al-Juwaini dalam
kitab al-Syamil fi Usul al-Din, tauhid bermaksud meyakini keesaan Allah
SWT, yang penjelasannya ditujukan untuk membuktikan secara argumentatif keesaan
Allah SWT dan bahawa tidak ada Tuhan selain-Nya.
Menurut Syaikh Muhammad al-Utsaimin dalam kitabnya Majmu'
Fatawaa wa Rasail, tauhid pada sudut istilah bermaksud mengesakan Allah SWT
dengan sesuatu yang khusus bagi Nya, baik dalam Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma'
wa Sifat. Selain itu, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pula menyatakan dalam
kitabnya Majmu' al Fatawa, beliau menegaskan bahawa hakikat tauhid
adalah tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun dalam hal-hal yang
merupakan kekhususan bagi Nya. Manakala Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah
menyatakan dalam kitab Dar'ut Ta'aarudi 'Aql wan Naql, hakikat tauhid
adalah menetapkan sifat-sifat yang sempurna bagi Allah SWT dan membersihkan
dari apa-apa yang berlawanan dengannya serta beribadah hanya kepada Allah SWT
yang tidak ada sekutu bagi Nya.
Demikian beberapa definisi oleh para ilmuan Islam di dalam
memberikan penjelasan berkaitan makna ungkapan tauhid. Secara mudah untuk kita
fahami, tauhid adalah merupakan suatu manifestasi keimanan yang mengakui dan
membenarkan akan segala kesempurnaan sifat dan zat hanya milik Allah SWT.
Sesungguhnya agama Islam adalah agama tauhid yang mengajak seluruh umat manusia
membersihkan diri dari segala bentuk kesyirikan dan mensucikan Allah Azza Wa
Jalla dengan melakukan ketaatan dan menyerah diri pada Nya. Dalam satu ungkapan
yang disebut oleh Sheikh Ibn Baz rahimahullah, ketika beliau menjelaskan
mengenai hakikat tauhid dan syirik dalam kitabnya Haqiqah al-Tauhid wa al-Syirk,
beliau menyatakan bahawa :
"Telah wujud kebanyakan pengajian adalah pada perkara-perkara
yang berkaitan dengan dunia. Adapun usaha tafaqquh dalam dalam hal ehwal agama
Allah dan tadabbur terhadap syariat-Nya Yang Maha Suci serta tauhid-Nya, maka
kebanyakan orang telah berpaling daripadanya, dan menjadi orang yang sibuk
dengannya pada hari ini adalah segelintir yang paling sedikit. Maka wajib
bagimu, wahai hamba Allah, untuk memberi perhatian terhadap perkara ini, dan
memberi tumpuan kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya dengan pengajian,
tadabbur dan berfikir. Sehinggalah engkau mengetahui tauhid Allah dan beriman
kepada-Nya, sehingga engkau mengetahui apakah syirik kepada Allah".
Apa yang hendak ditekankan oleh Sheikh Ibn Baz ialah tentang betapa
sedikit umat manusia hari ini yang benar-benar memahami agama dengan mendalami
hakikat tauhid. Maka menjadi kewajiban kepada umat Islam untuk turut
menyibukkan diri dengan mempelajari ilmu tauhid. Secara asas, tauhid sebagai
nadi terpenting orang yang beriman menjadi asas terhadap beberapa perkara utama
dalam kehidupan ini. Antara lain, tauhid merupakan asas kepada pengiktirafan
kepelbagaian agama sebagai rahmat Tuhan yang Esa. Hal ini dapat dilihat
sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 62,
firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi
dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara
mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal
soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita".
Berdasarkan ayat ini, kita harus fahami bahawa tauhid mengajar kita
mengakui akan keesaan dan kekuasaan Allah dalam semua hal termasuklah mengakui
kekuasaan Allah SWT dalam mewujudkan agama-agama yang pelbagai. Oleh itu, Islam
mengiktiraf akan kewujudan agama-agama lain namun sama sekali tidak mengiktiraf
agama-agama lain selain agama.Islam yang paling benar. Selain itu, ayat ini
juga menjelaskan bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan kepelbagaian
agama ini sebagai satu masalah kepada manusia sebaliknya membuka ruang
toleransi dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak selain mewujudkan perasaan
menghormati antara satu sama yang lain. Kepelbagaian agama yang ada bukan
bermakna sehingga kita perlu gadaikan prinsip bertauhid. Sebagaimana yang
ditegaskan sebelum ini, Islam sememangnya mengiktiraf kewujudan agama lain
namun tidak sama sekali mengiktiraf akan ajaran agama lain selain agama Islam
sahaja.
Dalam hal yang lain, tauhid juga merupakan asas kesatuan wahyu
Tuhan, kenabian dan kebenaran. Sejarah mencatatkan jutaan tahun dahulunya yang
bermula sejak zaman Nabi Adam AS sehinggalah kepada penutup sekalian Nabi iaitu
Nabi Muhammad SAW, wahyu yang dibawa adalah sama, seruan tauhid yang sama
dengan membawa berita kebenaran yang sama. Dakwah para nabi terdahulu tidak
pernah berubah dengan membawa mesej menyembah Allah SWT. Diatas ketauhidan yang
sama inilah, mesej kebenaran terus diperjuangkan, disambung legasi kebenaran
dengan membawa mesej tauhid hingga disambung pula oleh para ulama, para
pendakwah dengan seruan yang sama iaitu seruan mentauhidkan Allah SWT. Oleh
itu, hakikat tauhid telah menyatukan umat manusia kepada ketaatan yang sebenar
biarpun merentasi zaman berzaman. Tuhan yang disembah oleh umat nabi terdahulu
adalah juga Tuhan yang sama yang disembah oleh umat Islam sehingga hari ini dan
kekal hingga ke hari yang dijanjikan oleh Nya. Konsistennya para nabi dalam
menyampaikan dakwah adalah bukti bahawa Islam tetap benar sekalipun bersilih
zaman.
Satu hal yang lebih mustahak lagi ialah mengenai hakikat bertauhid
dalam ibadah atau juga boleh disebutkan dengan istilah tauhid Uluhiyyah.
Menurut Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan dalam kitabnya at-Tauhid Lish-Shafil
Awwal al-'Aaliy, beliau menyatakan bahawa tauhid Uluhiyyah adalah
mengesakan Allah dengan perbuatan para hamba berdasarkan niat taqarrub yang
disyaritkan seperti doa, nazar, korban, roja' (pengharapan), takut, tawakal dan
inabah (taubat). Kata syeikh lagi tauhid Uluhiyyah ini adalah merupakan intipati
dakwah para Rasul bermula dari Rasul pertama sehinggalah yang terakhir. Ini
berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Nahl ayat 36,
firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap
umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah
kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang
menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada
pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi,
kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan
Rasul-rasulnya".
Maka dapat kita fahami bahawa tauhid ibadah atau disebut sebagai
tauhid Uluhiyyah adalah tunjang kepada keimanan dan ketaqwaan kita kepada
Allah. Ini juga bermaksud sesuatu ibadah yang dilakukan biarpun beribu rakaat,
atau berjuta kali dilaksanakan ibadah, tanpa mengikhlaskan diri kerana Allah,
semua ibadah yang dibuat tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Telah berkata Syeikhul
Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Majmu' al-Fatawa, beliau menegaskan
bahawa :
"Ketahuilah, keperluan seorang hamba untuk menyembah Allah
tanpa menyekutukan Nya dengan sesuatu apa pun, tidak memiliki bandingan yang
dapat diqiyaskan, tetapi dari sebahagian sudut mirip dengan keperluan jasad
terhadap makanan dan minuman".
Demikian sebahagian hakikat tauhid dalam kehidupan manusia. Tauhid
bukanlah sekadar ungkapan dibibir tetapi pembuktian ketaatan melalui
peribadatan. Oleh kerana itu, adalah sangat penting bagi umat manusia memahami
hakikat tauhid ini dengan sedar betapa pincang dan hancurnya hidup jika tidak
bertauhidkan kepada Allah. Segala perbuatan baik manusia tidak akan diterima
dan dinilai oleh Allah Azza Wa Jalla melainkan setelah dirinya benar-benar
mentauhidkan Allah, dalam erti kata lain, tiada guna berbuat baik sesama
manusia hatta kepada makhluk lain pun, kecuali setelah kita benar-benar beriman
kepada Allah SWT. Maka tegakkanlah tauhid dalam hidup ini agar kelak hidup
terjamin selamat dunia dan akhirat. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan