Khamis, 8 Januari 2026

PERBUATAN ZIHAR PADA NERACA ISLAM

 

Seperti kata orang dahulu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Ketajaman lidah yang menikam, kepantasan bibir yang menyusun kata selain bercakap sebelum berfikir, hakikatnya akan lebih banyak membawa padah dan salah. Keterlanjuran kata yang tidak cermat, kadang kala boleh mengundang ke suatu episod duka dan lara dalam kehidupan. Suatu yang harus kita akui bersama, organ lidah yang lembut tetapi tidak bertulang ini lebih berbahaya daripada hayunan tangan berjari lima ini. Oleh kerana itu, dalam intipati ajaran Islam, ditekankan mengenai akan bahayanya lidah jika tidak dipelihara dengan baik. Melalui ketajaman lidah tidak bertulang ini, boleh membawa kepada pelbagai dosa besar lain seperti mengumpat, mencela, adu domba, fitnah dan lain-lain. Termasuk dalam perkara dosa melalui lidah juga ialah perbuatan zihar.

Perkataan "Zihar" adalah kosa kata yang berasal dari bahasa Arab. Ungkapan Zihar (ظهار) adalah merupakan kata terbitan yang berasal daripada kata kerja bahasa Arab iaitu Zahara (ظاهر) yang bermaksud tempat atau objek tunggangan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar dimaksudkan sebagai perbuatan suami melafazkan kata-kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami terhadap isterinya. Selain itu, terma zihar pada sudut syarak pula difahami sebagai penyamaan yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya dari aspek pengharaman dengan sesuatu yang diharamkan. Dikalangan para imam empat mazhab, definisi perbuatan zihar diperbahaskan bagi memahami maksud yang dikehendaki oleh syarak.




Maksud perbuatan zihar di sisi mazhab Hanafi sebagaimana yang tercatat dalam kitab al-Durr al-Mukhtar, zihar ialah apabila seseorang Islam menyamakan isterinya sekalipun perempuan kitabiah, kecil, gila, atau menyamakannya apa yang diibaratkan daripada anggotanya atau menyamakan sesuatu yang terkenal padanya dengan perempuan yang diharamkan ke atasnya selama-lama. Bagi mazhab Maliki pula sepertimana yang dinukilkan dalam kitab al-Syarh al-Kabir li al-Dardir, zihar merujuk kepada seseorang Islam menyamakan yang pada asalnya halal daripada isteri atau hamba perempuannya atau sejuzuk daripadanya dengan mahramnya. Selain di sisi mazhab Syafie pula sebagaimana yang tercatat dalam kitab Mughni al-Muhtaj. zihar ialah menyamakan isteri yang bukan Talak Ba’in dengan perempuan yang tidak halal baginya berkahwin. Manakala pada sisi mazhab Hanbali pula, dalam catatan kitab al-Muqni' dijelaskan bahawa zihar ialah seseorang Islam menyamakan isterinya atau mana-mana anggota dengan belakang perempuan yang diharamkan ke atasnya berkahwin selama-lama atau dengan mana-mana anggotanya.

Berdasarkan beberapa definisi yang dijelaskan ini, dapat dirumuskan bahawa perkataan zihar sebenarnya merujuk kepada suatu bentuk perbuatan yang lahir daripada pertuturan, bercakap mengenai persamaan mana-mana anggota tubuh isterinya dengan ibunya atau dengan mana-mana mahram yang lainnya. Perbuatan zihar asalnya ialah merupakan amalan masyarakat Arab jahiliyyah. Perbuatan ini berlaku apabila mereka terlalu marah kepada isteri disebabkan sesuatu perkara, tetapi mereka enggan menceraikan isteri mereka kerana jika diceraikan, tentu isteri tersebut mengahwini lelaki lain. Maka mereka akan melakukan perbuatan zihar ini dan mengakibatkan seperti tergantung perkahwinan, tidak dicerai dan isteri tersebut juga tidak lagi isteri kepada suaminya kerana haram perbuatan zihar tersebut. Maka datanglah syariat Islam dengan menegaskan bahawa perbuatan zihar tidaklah dikira sebagai talak cerai. Pun begiru, haruslah melakukan kafarah untuk hidup berhubungan semula sebagai suami isteri.

Dalam sebuah kisah polimik antara Aus bin Somit dengan isterinya Khaulah binti Tha'labah, Aus telah melakukan perbuatan zihar terhadap isterinya kerana terpengaruh dengan amalan Arab jahiliyyah tersebut. Lalu isterinya, Khaulah pergi bertemu dengan baginda Nabi dan mengadu akan hal tersebut. Setelah itu, Nabi SAW berhukum pada ketika itu berdasarkan budaya jahiliyyah tersebut. Mendengar akan keputusan hukum itu, Khaulah kemudiannya mengadu kepada Allah SWT, lalu turunlah ayat zihar dalam surah al-Mujadilah ayat 1-4 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengadu kepada kamu tentang suaminya, dan seterusnya dia mengadukan halnya kepada Allah, dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui. Orang-orang yang menziharkan isterinya diantara kamu, tidaklah isteri mereka itu ibu mereka, ibu-ibu mereka tidak lain melainkan wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta, dan sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha pengampum. Orang-orang yang menziharkan isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib ketasnya) memerdekakan seorang hamba, sebelum kedua mereka bersama. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Barang siapa yang tidak mendapati seorang hamba, maka wajib ke atasnya berpuasa 2 bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama/bercampur. Maka siapa yang tidak mampu , (wajiblah keatasnya) member makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, demikianlah ketentuan Allah, dan bagi orang-orang yang kafir itu azab yang amat pedih.”




Berdasarkan ayat tersebut, telah bersepakat para ulama dengan menyebut bahawa perbuatan zihar adalah haram. Oleh itu, sesiapa yang melakukan kesalahan ini hendaklah dirinya bertaubat dengan memohon ampun kepada Allah serta melaksanakan kaffarah zihar sebagaimana yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Perbuatan zihar boleh terjadi dalam beberapa bentuk lafaz. Misalnya, suami mengatakan kepada isterinya "kamu kelihatan tidak ubah seperti belakang ibuku". Lafaz ini adalah batil lagi salah dan berdosa kerana menyamakan tubuh anggota isterinya dengan ibu kandungya sendiri. Selain itu, lafaz zihar juga tidak semestinya menyebut hanya di bahagian belakang tubuh malah dimana-mana sahaja bahagian anggota badan seperti perut, alat kelamin, dada, rambut, kaki dan lain-lainnya. Seperti umum mengetahui, suami dilarang menyamakan tubuh pasangan dengan mereka yang mahram.

Pada sudut syarak, apabila seorang suami telah melakukan perbuatan zihar (menyamakan anggota tubuh isteri dengan mahram) terhadap isterinya, maka terdapat beberapa kesan yang harus ditanggung. Pertama, suami diharamkan untuk melakukan hubungan persetubuhan dengan isterinya melainkan setelah melakukan kafarah zihar. Kedua, suami bertanggungjawab melaksanakan kafarah zihar apabila kembali bersetubuh dengan isterinya. Kafarah atau difahami dengan makna denda bagi kesalahan zihar mempunyai beberapa peringkat sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Mujadilah. Peringkat pertama, seorang suami hendaklah membebaskan seorang hamba. Sekiranya tidak ada, maka peringkat kedua pula ialah suami hendaklah berpuasa selama dua bulan secara berturutan. Seandainya tidak mampu, maka peringkat ketiga dan terakhir sekali, hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin.

Sesungguhnya perbuatan zihar tidak berlaku sekiranya si suami menyamakan isterinya dengan mana-mana mahramnya atau ibunya sebagai menyatakan kasih sayang, penghormatan atau keakraban. Begitu juga sama, perbuatan zihar tidak berlaku sekiranya suami menyamakan isterinya dengan mahram atau ibunya disebabkan sememangnya ada beberapa persamaan dari sudut fizikal atau sikap tertentu. Dalam hal ini, Ibn Qudamah menyebut dalam kitabnya al-Mughni dengan menyatakan bahawa sekiranya seseorang lelaki berkata kepada isterinya, “kamu di sisiku seperti ibuku” atau “seumpama ibuku” dan dia niatkan zihar, maka ia menjadi zihar berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Sekiranya dia niatkan sebagai satu penghormatan dan kemuliaan, maka ia bukan zihar. Demikianlah penjelasan mengenai perbuatan zihar. Secara ringkas untuk difahami, zihar adalah merujuk kepada perbuatan si suami menyamakan mana-mana anggota tubuh isteri dengan mahramnya. Hukum zihar adalah haram dan berdosa besar. Walau bagaimana pun, perbuatan zihar hanya terpakai apabila suami menyamakan isterinya. Adapun isteri menyamakan suaminya dengan mahram, hal itu tidak dianggap zihar. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan