Kesalahan dan kesilapan adalah antara guru kehidupan terbaik yang
mengajar dan mendidik kita menimba pengalaman selain mengambil pengajaran.
Adalah sesuatu yang pelik lagi aneh apabila seseorang manusia itu mendakwa
dirinya tidak pernah melakukan kesalahan dan kesilapan. Kerana sesuatu yang
menjadi lumrah bagi diri manusia tidak akan sunyi dan sepi dari melakukan
kesilapan, baik dalam keadaan sedar mahupun sebaliknya. Dalam ajaran agama
Islam, hakikat bahawa manusia itu diciptakan dengan penuh kelemahan dan ketidak
upayaan melainkan kekuatan daripada Allah SWT. Kerana itu, apabila manusia
melakukan kesalahan, Islam menuntut agar segera bertaubat dan bertekad untuk
tidak mengulangi lagi selain berusaha menjadi lebih baik.
Perkataan "Dosa" di dalam bahasa Arab
disebut dengan beberapa ungkapan berbeza. Antara lain ungkapan dosa disebut
dengan lafaz Zanb (ذنب), lafaz Khati'ah
(خطيئة), lafaz Ithmun (إثم) dan lafaz Junah (جناح). Kesemua ungkapan ini meskipun
berbeza lafaznya tetapi mempunyai makna yang sama iaitu dosa. Adapun maksud
sebenar "Dosa Besar", al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani
menyebut dalam kitabnya Fath al-Bari dengan menukilkan beberapa
pandangan oleh para ulama mengenai makna dosa besar. Antaranya pandangan oleh
al-Rafi'e dengan menyebut dosa besar ialah dosa yang mewajibkan hukuman had.
Ada juga pandangan menyatakan ia ialah dosa yang diiringi balasan buruk kepada
pelakunya berdalilkan al-Quran atau sunnah. Selain itu, Ibn Abd al-Salam
menjelaskan dosa besar ialah dosa yang membuatkan pelakunya menjadi hina. Kata
beliau lagi, ada pandangan yang menyatakan dosa besar ialah dosa yang
disertakan dengan balasan buruk atau laknat.
Dalam pandangan lain, telah berkata Imam al-Qurtubi di dalam kitab al-Mufhim,
beliau menjelaskan bahawa dosa besar ialah setiap dosa yang diitlaqkan
(dirumuskan secara umum) padanya dengan nas al-Quran, Sunnah atau ijmak bahawa
ia ialah dosa besar, dijanjikan hukuman berat, hukuman had atau sangat
diingkari atasnya, maka ia adalah dosa besar. Selain itu, Syaikh Muhammad bin
Shalih al-Utsaimin mengatakan di dalam kitab Fatawa Nuruun 'alad Darbi libni
al-Utsaimin, dosa besar ialah yang Allah ancam dengan suatu hukuman khusus.
Ini bermakna perbuatan tersebut tidak sekadar dilarang atau diharamkan tetapi
diancam dengan suatu hukuman khusus. Maka daripada sebahagian definisi
tersebut, dapat kita rumuskan makna dosa besar ialah suatu perbuatan dosa yang
dijelaskan oleh al-Quran dan sunnah, dengan menyatakan hukuman khas keatasnya
selain turut ditekankan mengenai balasan yang amat dahsyat sekali.
Bagi memahami dengan lebih mendalam mengenai perihal dosa besar ini,
beberapa tanda atau ciri-ciri khusus bagi mengenal dosa-dosa besar. Antaranya
pertama, dosa-dosa tersebut dianggap dosa besar apabila disebutkan sebagai dosa
besar oleh Allah dan Rasul Nya. Ini bermakna, semua perkara dosa yang
disebutkan secara tegas oleh Allah dan Rasul Nya , maka itu adalah dosa besar.
Ciri-ciri dosa besar yang kedua pula ialah setiap dosa besar yang diancam
neraka, kemurkaan, laknat atau azab. Sesungguhnya dosa besar adalah dosa yang
pelakunya diancam dengan azab neraka, kemurkaan Allah SWT selain dilaknat dan
disifatkan pelakunya sebagai fasik. Sebagai contoh, Allah Azza Wa Jalla
berfirman di dalam al-Quran menerusi surah an-Nisa' ayat 31 yang bermaksud :
"Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu
melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan
kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)".
Imam Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan
perkataan Ibnu Abbas RA dengan menyatakan bahawa dosa besar adalah yang Allah
tutup dengan ancaman neraka, kemurkaan, laknat atau azab. Selain itu Imam
al-Hasan al-Basri pula menyatakan bahawa dosa besar ialah setiap dosa yang
Allah gandingkan dengan neraka, maka itu adalah dosa besar. Demikian yang
dinukilkan oleh Imam Ibn Katsir. Seterusnya, ciri ketiga bagi mengenal dosa
besar ialah terdapat hukuman khusus terhadap perbuatan dosa tersebut. Ini
membawa maksud bahawa tiap-tiap perbuatan maksiat dan munkar, yang diiringi
dengan keterangan hukuman yang jelas dari al-Quran dan sunnah, maka ianya
adalah salah satu petanda akan dosa-dosa besar. Sebagai contoh, perbuatan
membunuh diri antara sebahagian perkara dosa besar yang dimurkai oleh Allah.
Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda baginda
Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di Neraka Jahanam
nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya
selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di
Neraka Jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa
bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di Neraka Jahanam nanti,
ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”
Berdasarkan hadith ini, jelas bahawa baginda Nabi SAW menyebut
balasan kepada orang yang bunuh diri mereka sendiri adalah dengan berdasarkan
cara mereka membunuh diri sendiri. Sekiranya ketika di dunia, si fulan membunuh
diri dengan meminum racun, maka balasan di akhirat kelak, akan diberi minum
racun selama-lamanya. Selain itu, ciri dosa besar yang keempat ialah setiap
dosa yang dinafikan pelakunya dari nilai keimanan atau dinafikan sebagai dari
umat Islam. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Abdurrahman bin Hasan
dalam kitab Fathul Majid, beliau menyebut :
"Hukum dosa besar, sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama
muhaqqiqin, ialah setiap dosa yang Allah kaitkan dengan laknat, atau kemurkaan
atau azab. Syaikhul Islam Ibn Taymiyah menambah : juga yang mengandungi
pengingkaran iman. Pada pendapat saya, ini juga termasuk dosa yang Nabi SAW
mengatakan dirinya sendiri darinya, dan bukan dari Nabi kita" ini, dan
bukan dari golongan kita"
Antara contoh perbuatan dosa besar yang dinafikan bukan dikalangan
umat Nabi Muhammad SAW ialah dosa berbohong, berdusta dan menipu. Dalam sebuah
hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud :
"Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku".
Ciri kelima dosa-dosa besar dan yang juga ciri terakhir ialah dosa
yang terdapat hukuman had. Dosa besar pada prinsipnya adalah merupakan semua
dosa yang terdapat hukuman had (hudud) di dunia. Dalam catatan Imam Ibn Katsir
menerusi kitab tafsirnya, beliau menukilkan perkataan Ibnu Shalah dengan
menyatakan bahawa terdapat beberapa petunjuk bagi dosa-dosa besar, antaranya
diwajibkan hukuman hadd, dan juga diancam dengan azab neraka atau seumpamanya,
dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Begitu juga pelakunya disifatkan dengan kefasikan
dan laknat. Sebagai contoh, antara perbuatan dosa besar yang dikenakan hukuman
had ialah jenayah zina. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa
Jalla di dalam al-Quran, menerusi surah al-Nur ayat 2, Allah SWT berfirman yang
bermaksud :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu
sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu
dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan
hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan
hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan ke atas mereka itu oleh sekumpulan
dari orang-orang yang beriman.”
Demikian beberapa ciri khusus yang menandakan ianya adalah
perbuatan dosa besar. Sesungguhnya telah banyam disebutkan di dalam al-Quran
dan hadith mengenai dosa-dosa besar. Antara contoh lain yang disifatkan sebagai
dosa besar ialah minum arak, berjudi, memakan harta anak yatim, menyerupai
lainan jantina, sihir, meninggalkan solat dan lain-lain. Dalam hal ini, Imam
adz-Zahabi atau nama sebenar beliau ialah Syamsudin Abu Abdullah Muhammad bin
Ahmad bin Utsman Adz-Zahabi, antara pelopor utama yang menulis tentang
dosa-dosa besar dengan menghimpunkan sekitar 70 dosa besar dalam satu kitab
beliau yang berjudul "al-Kaba'ir" (الكبائر). Selain itu, dikalangan ulama kontemporari seperti Syaikh
Muhammad bin Shalih al-Utsaimin telah mensyarahkan kitab Imam adz-Zahabi dengan
lebih terperinci dan menyeluruh. Semoga segala usaha baik yang dilakukan oleh
para ulama di dalam langkah mahu menyedarkan manusia tentang dosa besar ini
diberkati dan dirahmati oleh Allah. Semoga jua Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan