Jumaat, 23 Januari 2026

HUMANISME DAN ANCAMAN TERHADAP AKIDAH ISLAM

 

Sejak dunia yang semakin berkembang pesat, bertambah maju sederap dengan kepesatan teknologi yang membangun, umat manusia yang dalam kesibukan terus-menerus mencari makna hidup sebenar. Dalam usaha memenuhi cita dan impian yang diangankan, kadang kala terasa lemah, penat dan letih yang tidak punyai suara untuk berbicara. Dalam pada itu, pegangan agama pula dilihat sebagai sekadar pilihan pada episod hari-hari tertentu sahaja seperti hari perkahwinan dan kematian. Hari yang mendatang, terasa seperti agama ini sekadar mengongkong itu ini dan sebagainya. Apabila hidup mulai di sapa ujian, mula lah menyangka yang Tuhan tidak menyayanginya. Walhal, di ketika sihat dan senang, tidak pula berasa segala nikmat itu datangnya dari yang Maha Kaya. Alangkah malangnya hidup andai kita memisahkan diri dengan pegangan agama.

Perkataan "Humanisme" adalah merupakan gabungam dua perkataan iaitu Human dan Isme yang kedua-duanya berasal dari bahasa Inggeris. "Human" bermaksud kemanusiaan manakala istilah "Isme" pula merujuk kepada makna sesuatu corak atau bentuk pemikiran. Menurut Kamus Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ungkapan humanisme membawa maksud sifat perikemanusiaan, pendirian yang mengutamakan nilai-nilai, kepentingan dan maruah manusia. Secara umum, perkataan humanisme ini mula diperkenalkan secara perbincangan ilmiah oleh Friedrich Immanuel Niethammer, seorang ahli teologi, falsafah dan reformis pendidikan di Jerman. Melalui penulisan buku beliau pada tahun 1808 yang bertajuk Der Streit des Philanthropinismus und Humanismus in der Theories des Erziehungs-Unterrrichts unserer Zeit. Maka tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa pemikiran humanisme ini merupakan suatu agenda yang berasal dari Eropah.




Dalam satu artikel yang berjudul Encyclopedia of Ethics, ditulis oleh Lawrence C. Becker, beliau menyebut bahawa fahaman humanisme ini memberi penekanan terhadap nilai kemanusiaan dan kebajikannya. Tambah beliau lagi, fahaman ini juga menafikan sifat kebergantungan manusia kepada unsur agama selain agama pula akan dilihat sebagai suatu cara hidup yang menyusahkan manusia. Menurut Corliss Lamont, seorang tokoh falsafah yang berpengaruh, dalam satu karyanya yang bertajuk The Philosophy of Humanisme, beliau ada menyatakan bahawa humanisme meyakini bahawa alam merupakan himpunan keseluruhan daripada realiti. Material-energi dan buah fikiran merupakan bahan pembentuk alam semesta. Entiti supernatural sama sekali tidak ada. Ketidaknyataan supernatural ini pada peringkat manusia menunjukkan manusia tidak memiliki jiwa supernatural dan abadi. Manakala pada peringkat alam semesta secara keseluruhannya, kosmos kita tidak memiliki Tuhan yang supernatural dan abadi. Oleh itu tidak salah lagi untuk kita katakan bahawa fahaman ini menjadikan kehendak manusia sebagai matlamat dan kebebasan kehendak pula dijadikan sembahan.

Catatan perjalanan sejarah dunia yang panjang, mencatatkan bahawa fahaman humanisme ini telah berkembang pada zaman Renaissance iaitu sekitar pada abad ke 15 dan 16 Masihi. Kemunculan fahaman ini telah mendapat sambutan yang baik daripada golongan Borjuis. Golongan ini kebanyakannya telah menjadi penaung utama kepada golongan intelektual yang melakukan kerja-kerja kajian. Menjelang tahun 1400 Masihi, sebahagian besar manuskrip klasik Yunani telah di temui lalu dikumpulkan di pelbagai perpustakaan di Itali. Manuskrip yang dikumpulkan tersebut, diterjemah ke dalam bahasa Itali dan Latin. Kesannya, bermula lah pada abad ke 15 sehingga pertengahan abad ke 17, fahaman ini terus muncul di persada Eropah mendominasi corak fikir orang-orang Eropah pada ketika itu. Sejarah kemunculan fahaman ini bermula dalam bentuk sukatan pembelajaran yang akhirnya mengheret kepada ketekunan para sarjana melakukan kerja-kerja pengumpulan manuskrip klasik dan mulai memperkenalkan karya-karya sastera di peringkat sekolah dan universiti.

Berbalik kepada persoalan asal, mengapakah ideologi ini dikatakan sangat bahaya dan menjadi ancaman terhadap akidah umat Islam ? Bagi megupas persoalan ini, terdapat beberapa sebab utama yang mesti diperhalusinya. Dalam satu artikel yang ditulis oleh seorang pemikir Islam, Ali Shari'ati yang bertajuk Marxisme and Other Western Fallacies, an Islamic Critique, beliau menyebut bahawa humanisme menekankan peranan akal fikiran, budi pekerti, keintelektualan dan kehendak manusia sendiri dalam menyelesaikan segala perkara yang terdapat di dalam dunia ini. Semua benda dinilai dengan logik akal manusia semata-mata. Beliau menjelaskan lagi, golongan ini disifatkan sebagai mempunyai nilai moral sejak azali dan bersikap baik sekalipun tidak berpegang kepada intipati ajaran agama. Menurut James R. Ozinga pula dalam penulisannya yang bertajuk Communism, the Story of Idea anda Implementation, beliau menegaskan fahaman ini tiada sebarang kebaikan yang terkandung malah fahaman ini dilihat mirip dan serupa dengan fahaman atheisme yang menolak akan kewujudan Tuhan.




Kesan ideologi humanisme ini kepada manusia khususnya kepada umat Islam, sekurang-kurangnya boleh menimbulkan keraguan dikalangan umat manusia tentang keberadaan Tuhan sekaligus menjadikan umat manusia semakin jauh dengan pegangan agama sebenar. Humanisme sebagai suatu corak gaya pemikiran ini berkehendak ke arah memisahkan hubungan manusia dengan Tuhan. Dalam ajaran Islam, hubungan kemanusiaan umat Islam di dasari dengan asas tauhid iaitulah kalimah agung mensucikan Allah SWT. Malangnya, ideologi sekularis moden yang dijana melalui ideanya oleh Karl Marx, telah melihat manusia itu sendiri sebagai sempurna dan tidak perlu kepada agama. Pandangan batil ini ternyata bercanggah malah terang-terangan menyalahi prinsip syariat Islam yang meletakkan Allah SWT sebagai pencipta dan tempat sebaik-baik bergantung oleh manusia. Dalam ajaran Islam sebenar, hakikat manusia itu tidak mempunyai kuasa mutlak dan kemampuan yang dimiliki adalah bersifat terbatas. Meski manusia memiliki kelebihan tertentu, namun banyak juga kekurangan yang perlu diawasi seterusnya di baiki melalui cara berpegang kepada agama Islam yang benar.

Implikasi besar terhadap akidah umat Islam apabila fahaman humanisme ini mula masuk menyerang minda manusia, kita akan dipaksa untuk memejam mata seolah-olah seperti meredai akan perbuatan-perbuatan syirik oleh orang kafir malah disuruh dilakukan perbuatan tersebut diatas nama perpaduan dan semangat kenegaraan. Walhal Islam sebagai agama yang berprinsip, tidaklah menolak soal kepelbagaian agama dan kaum tetapi Islam menegaskan sebarang perbuatan syirik dan khurafat adalah kekal dilarang sampai bila-bila. Ini kerana Allah hanya meredai Islam sebagai agama yang benar dan selainnya adalah batil dan tersesat belaka. Bagi golongan humanisme, mereka menyangka dan berpendirian bahawa iman tidak akan rosak semata-mata hanya melakukan perbuatan syirik dan khurafat seperti itu. Tetapi hakikatnya iman itu boleh bertambah dan boleh menurun bergantung kepada letak duduknya amal perbuatan kita. Sangkaan bahawa iman tidak terkesan dengan perbuatan hanyalah retorik palsu yang terang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Fahaman moden ini tanpa kita sedar, telah merosakkan gaya fikir dan bentuk pemahaman kita terhadap Islam. Apabila ini berlaku, maka kita sendiri akan melihat betapa manusia itu bila melakukan sesuatu perbuatan berupa meniru amalan agama lain, tanpa merasa bersalah malah berbangga pula, menganggap hal itu adalah normal bahkan disokong dengan hujah bahawa umat Islam harus terbuka dan jangan kolot dan jumud. Hakikatnya, memang Islam mengangkat nilai keterbukaan dengan menerima dan mengiktiraf kewujudan agama-agama lain namun Islam tetap dengan berprinsip bahawa keterbukaan Islam tidaklah sesekali hingga ke tahap membenarkan penganutnya melakukan perkara yang dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT. Diatas nama kemanusiaan, bukanlah lesen untuk kita boleh membuat segalanya. Kemanusiaan sebenar adalah apabila kita dapat bersama memahami antara satu sama lain selain menghormati dan saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan