Dalam dunia yang nyata, kita meyakini bahawa tiada satu apa pun isi
dunia yang kekal. Semuanya bakal menuju kepada episod kehancuran yang
dijanjikan oleh Tuhan. Menurut kepercayaan dan ajaran kebanyakan agama di dunia
ini, hampir pasti semua agama percaya bahawa adanya kehidupan lain setelah
tamatnya episod kehidupan di dunia ini. Ini termasuklah agama yang paling benar
sekali iaitu agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT untuk sekalian para
umat manusia. Islam dalam mengajar umatnya, mendidik manusia supaya beramal di
dunia untuk jaminan kesenangan hidup di akhirat. Islam sebagai agama wahyu
Allah SWT, menjelaskan bahawa akan adanya suatu hari setelah berlakunya hari
kiamat, dimana pada hari tersebut, seluruh umat manusia akan dibangkitkan dan
di himpun semula oleh Allah. Hari yang demikian itu adalah hari kebangkitan.
Hari Kebangkitan atau dalam
istilah arabnya disebutkan sebagai al-ba'th (البعث), merupakan suatu ketetapan yang pastinya akan berlaku pada
seluruh umat manusia. Perkataan al-ba'th menurut para ahli bahasa, orang
Arab memahaminya secara umum dengan beberapa maksud yang berbeza pada
konteksnya. Maksud yang pertama, al-ba'th difahami dengan makna
perutusan. Ini sebagaimana berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran,
menerusi surah al-A'raf ayat 103, Allah SWT menggunakan perkataan ba'athna
(بعثنا) yang merujuk kepada maksud Kami
utuskan. Selain itu, perkataan al-ba'th juga pada sudut bahasa difahami
dengan makna membangkitkan orang yang sedang berbaring atau duduk. Adapun pada
sudut istilahnya pula, ungkapan al-ba'th di takrifkan sebagai kebangkitan
semula secara fizikal. Dalam hal ini, Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam kitab
tafsirnya dengan menyebut bahawa hari kebangkitan adalah kebangkitan semula roh
secara roh dan fizikal pada hari kiamat kelak.
Selain itu, telah berkata Syeikh 'Abd al-Razzaq 'Afifi dalam
kitabnya Fatawa wa Rasa'il 'Abd al-Razzaq 'Afifi, beliau menyatakan
bahawa perkataan al-ba'th itu apabila Allah Azza Wa Jalla menghidupkan
semula orang-orang yang telah meninggal dunia dan mengeluarkan mereka dari
kubur pada hari kiamat. Maka melalui beberapa definisi yang dikemukakan,
jelaslah bahawa al-ba'th adalah merupakan hari dimana seluruh umat
manusia dibangkitkan dari tidur yang panjang di kubur, dikembalikan roh dan
jasad semula lalu dihimpunkan di suatu tempat yang dinamakan sebagai Padang
Mahsyar. Allah SWT menyebut di dalam al-Quran akan tentang hakikat hari
kebangkitan. Firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-Zumar ayat 68 yang
bermaksud :
“Pada hari ditiup sangkakala yang pertama, lalu matilah semua
makhluk di langit dan di bumi melainkan mereka yang dikehendaki oleh Allah.
Selepas itu sangkakala ditiup sekali lagi, maka dengan serta merta mereka
bangkit menunggu apakah yang akan berlaku kepada mereka.”
Berdasarkan kefahaman ayat ini, Imam Ibn Kathir menyatakan dalam
kitab tafsirnya dengan menyebut malaikat Israfil akan diperintahkan untuk
meniup sangkakala yang akan mematikan semua hidupan di langit dan di bumi
kecuali mereka yang Allah SWT menghendaki untuk kekal bernyawa. Kemudian
diperintahkan pula untuk ditiup sangkakala buat kali kedua yang disebutkan
sebagai tiupan al-ba‘th, iaitu tiupan yang akan membangkitkan semula
kesemua makhluk setelah mereka menjadi tulang belulang, mereka kembali hidup
lalu melihat kengerian hari kiamat. Maka menurut penjelasan ini, terang lagi
bersuluh bahawa akan adanya hari dimana manusia akan dibangkitkan semula
setelah mati dan menetap di alam kubur. Keadaan manusia setelah dibangkitkan,
telah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Abbas RA, beliau menceritakan :
"Rasulullah SAW pernah berucap dengan katanya "Wahai
manusia, sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepada Allah di Mahsyar dalam
keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan tidak berkhitan". Kemudian baginda
membaca ayat yang bermaksud "Sebagaimana kami telah memulakan penciptaan
pertama, begitulah kami akan mengulanginya. Itu suatu janji yang pasti kami
tepati".
Begitulah antara sisipan gambaran mengenai hari kebangkitan yang
merupakan janji Allah SWT. Dalam pada itu, di saat dan ketika umat manusia
dibangkitkan, Allah SWT merakamkan ungkapan penyesalan oleh manusia yang tidak
mempercayai akan adanya hari kebangkitan. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh
Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Yasin ayat 51 hingga 53, firman
Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
“Lalu ditiupkan sangkakala yang kedua, maka semuanya segera bangkit
keluar dari kubur masing-masing untuk menghadap Tuhan mereka. (51) Pada ketika
itu, orang yang tidak percayakan hari kebangkitan berkata: ‘Alangkah celakanya
kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?’ Lalu
dikatakan kepada mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha
Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh para rasul.’ (52) Hanya
dengan satu pekikan sahaja daripada tiupan sangkakala, maka dengan serta merta
mereka semua dibawa hadir kepada Kami untuk dibicarakan. (53)”
Dalam catatan kitab Taisir al-Karim al-Rahman karangan oleh
Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di, disebutkan bahawa mereka keluar dari
kubur setelah ditiupkan sangkakala yang kedua dengan kadar segera untuk
berkumpul di hadapan Allah, tidak boleh lagi untuk memperlahankan masa atau
melewat-lewatkannya. Ketika itu, orang-orang yang mendustakan agama Allah SWT
akan berasa sedih dengan menzahirkan rasa sakit hati dan penyesalan.
Kebangkitan inilah yang dijanjikan oleh Allah SWT serta Rasul-Nya, maka
jelaslah kebenaran mereka dengan di hadapan mata sendiri. Ayat ini sebenarnya
bukan hanya ingin mengkhabarkan tentang janji ini sahaja, bahkan ia juga ingin
menjelaskan bahawa pada hari tersebut seluruh makhluk akan melihat sifat kasih
Allah SWT yang tidak disangka-sangka. Demikian oleh al-Sa'di dalam
memperincikan maksud ayat tersebut. Ternyata bahawa pada hari manusia
dibangkitkan semula kelak, akan ada golongan dikalangan manusia yang tidak
percaya dan menolak akan hakikat kewujudan hari kebangkitan.
Antara golongan manusia yang tidak percaya dan menolak kebenaran
akan adanya hari kebangkitan kelak adalah golongan Dahriyyah atau
dikenali dengan nama Ateisme. Dalam hal ini, Allah SWT telah
memperihalkan sikap mereka yang enggan percaya akan hari kebangkitan
sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Jathiah ayat 24, firman Allah SWT yang
bermaksud :
“Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada
hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan
tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak
mempunyai sebarang pengetahuan mengenai hal itu; mereka hanyalah menurut
sangkaan semata-mata.”
Berdasarkan ayat ini, telah berkata Imam Ibn Kathir dalam kitab
tafsirnya dengan menyebut :
“Allah SWT mengkhabarkan mengenai perkataan kaum Dahriyyah,
daripada kaum kafir dan mereka yang mempunyai pemikiran yang sama dengan mereka
daripada golongan Musyrikin Arab yang mengingkari hari kiamat. Sebahagian
mereka adalah falsafah ketuhanan yang menolak penciptaan dan kehidupan lepas
mati. Sebahagian mereka juga ialah golongan falsafah Dahriyyah yang mengingkari
Tuhan yang menciptakan dengan kepercayaan bahawa setiap 36,000 tahun semua
benda akan menjadi seperti asalnya. Mereka mendakwa hal ini sudah berulang
banyak kali dan tidak akan berakhir. Maka ini mustahil bagi dalil aqal dan
dinafikan oleh dalil naqli.”
Ketahuilah bahawa hari kebangkitan merupakan suatu yang benar-benar
berlaku. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abdullah bin 'Amru RA,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Kemudian ditiupkan sangkakala, tetapi ia tidak didengari melainkan
seseorang itu akan menyengetkan lehernya pada satu sisi dan menaikkannya dari
sisi yang lain. Orang pertama yang akan mendengar tiupan ini adalah seorang
lelaki yang sedang melumurkan bekas minuman untanya (dengan tanah liat).
Kemudian lelaki tersebut mati, dan orang-orang lain juga mati selepasnya. Lalu
Allah menghantarkan – atau menurunkan – hujan yang datang umpama air embun –
atau bayang (syak dalam riwayat ini daripada perawi bernama Nu‘man). Maka
tumbuh dari air hujan tersebut jasad-jasad manusia, kemudian ditiupkan pula
sangkakala seterusnya dan mereka serta-merta bangkit menanti (keputusan
masing-masing). Kemudian dikatakan kepada mereka: ‘Wahai sekalian manusia!
Marilah kepada Tuhanmu’.”
Ungkapan hadith ini adalah selari dengan firman Allah SWT di dalam
al-Quran menerusi surah al-'Araf ayat 57, firman Allah Azza Wa Jalla yang
bermaksud :
“Dan Dialah Allah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita
yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya iaitu hujan, hingga apabila
angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang tandus, lalu
Kami turunkan hujan dengan awan itu. Kemudian Kami keluarkan dengan air hujan
itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami menghidupkan semula
orang-orang yang telah mati, supaya kamu mengambil pelajaran daripadanya.”
Apabila kita meneliti akan kedua-dua hujah ini, ternyata terang
lagi bersuluh bahawa Allah SWT Maha Berkuasa membangkitkan semula umat manusia
seumpama Allah menjadikan air hujan sebagai siraman untuk tanaman
tumbuh-tumbuhan mulai hidup. Demikianlah bagaimana Islam mengajar kita untuk
yakin dan percaya akan hakikat kemunculan hari kebangkitan dimana dikala dan
ketika itu, tiada daya upaya melainkan hanya berserah kepada Allah SWT. Pada
hari itu juga, segala keadilan akan ditegakkan, yang benar dan salah, hak dan
batil akan diadili dengan penuh kebijaksanaan oleh Allah yang Maha Bijaksana.
Untuk itu, marilah kita sentiasa mencari ruang dan peluang untuk terus
memperbaiki diri, keluarga dan seterusnya dapat membina masyarakat yang unggul.
Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan