Khamis, 30 April 2026

GURU SEBAGAI AGEN SOSIALIS

 

Bidang pendidikan adalah antara pelaburan yang tidak akan pernah rugikan umat manusia. Sejak dahulu kala, misi memandaikan manusia melalui usaha memberikan pendidikan tidak akan pernah terhenti sehingga berakhirnya dunia ini. Seperti kata Nelson Mandela, seorang pejuang kemerdekaan Afrika, beliau pernah menyebut dalam satu ucapannya yang terkenal, beliau menyatakan bahawa pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia. Apa yang diucapkan itu sememangnya benar dan tepat. Untuk mencapai dunia, manusia memerlukan ilmu dan begitu juga sebaliknya untuk mencapai akhirat manusia juga memerlukan ilmu. Ini sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Imam asy-Syafie dengan beliau menegaskan bahawa sesiapa yang menginginkan dunia, maka hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu. Dan sesiapa yang menginginkan keduanya, maka hendaklah dengan ilmu.

Hakikatnya usaha pendidikan baik di apa-apa peringkat dan lapangan pun tidak akan dapat diterjemahkan dengan sebaiknya andai tiada insan yang menggalas tugas sebagai warga pendidik yang juga bergelar guru. Perkataan "Guru" bukanlah asing lagi bagi seluruh umat manusia. Dalam bahasa melayu, perkataan guru sepertimana yang dijelaskan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, guru ialah orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh dan pelatih. Dalam bahasa Arab, guru disebut dengan pelbagai ungkapan seperti Murabbi, Muallim, Muaddib dan Mursyid. Kesemua istilah ini memiliki maksud yang berbeza namun mempunyai misi dan matlamat yang sama iaitulah untuk memberikan pendidikan. Tugas mendidik yang digalas oleh mereka yang bergelar guru amatlah mulia dan tinggi kedudukannya di sisi Islam. Selain para guru juga sering mendapat penghormatan tinggi dikalangan masyarakat apabila masih memanggil dengan nama cikgu meski guru tersebut telah bersara dari dunia pendidikan.




Mendepani cabaran masa hadapan, warga pendidik yang digelar guru adalah merupakan barisan hadapan terpenting dalam usaha mencorakan generasi yang akan datang. Peranan dan tanggungjawab yang besar ini sentiasa menuntut agar para guru sentiasa perlu bersedia dengan apa jua perkara yang mendatang selain para guru mestilah berusaha mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu bagi menempuhi cabaran yang akan datang ini. Dalam tidak sedar, sebenarnya mereka yang bergelar guru adalah merupakan agen kepada perubahan negara. Melalui kekuatan ilmu yang dicurahkan, semangat mendidik yang tidak pernah luntur dan komitmen tinggi para guru telah banyak menyumbang kepada pembinaan negara bangsa. Sejarah telah mencatatkan bagaimana berdirinya seorang tokoh ilmuan yang bernama Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan gelaran Za'ba. Nama tokoh besar ini dikenali dengan bermula dari tugas mulianya menjadi seorang guru sandaran di Johor Bahru sebelum beliau berkhidmat pula di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Za'ba tidak sekadar mengajar di sekolah dan pelbagai lagi institusi pendidikan namun beliau juga telah mengajar umat manusia melalui penulisan karyanya yang membangunkan jiwa.

Selain Za'ba, jangan kita lupa akan jasa dan pengorbanan seorang yang bergelar guru iaitu Ibrahim Yaakub. Beliau merupakan seorang guru yang memperjuangkan konsep Melayu Raya. Meskipun namanya terpalit dengan pelbagai isu kontroversi dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan, namun sekali lagi kita melihat bagaimana kesedaran seorang guru mendidik anak bangsanya, menyuntik kesedaran menyemai semangat berani ke hadapan dan menjadi pejuang bangsa yang dikenang. Begitu juga seorang tokoh guru dan pengasas Maahad al-Ehya Assharif di Gunung Semanggol, Abu Bakar al-Baqir. Beliau juga seorang guru yang telah meniupkan semangat jihad bangkit menentang penjajah selain menanamkan rasa cinta kepada agama Islam. Demikian beberapa nama tokoh terpenting yang akan sentiasa dikenang sepanjang zaman. Mereka bermula dengan pekerjaan seorang guru yang akhirnya terjun ke lapangan masyarakat memberi kesedaran, memupuk nilai keintelektualan selain menyuntik semangat juang yang tinggi kepada masyarakat. Karya-karya hebat yang dikarang oleh para guru ini akan sentiasa ditelaah, diamati dan dihadam oleh generasi demi generasi.

Kita harus akui bahawa peranan guru sebagai agen sosialis tidak boleh dimatikan langkahnya. Pada era zaman modenisasi ini, para guru menggalas tanggungjawab untuk menyampaikan pendidikan bercirikan moden yang sekaligus dapat menjana perubahan keatas kendiri muridnya. Sebagaimana yang digagaskan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan, fokus utama dan terpenting bagi negara ialah usaha untuk memperkasakan kemenjadian murid. Pada hemat diri ini, penekanan kepada kemenjadian murid adalah suatu isyarat terpenting kepada semua warga guru supaya tidak menjadikan tugas mengajar di kelas sekadar melepaskan batuk di tangga. Ini bermakna para guru tidak boleh sekadar mengajar dari apa yang tersurat tetapi mesti menanamkan dalam diri murid dengan perkara yang tersirat. Inilah cabaran besar yang terpundak di bahu para guru untuk menjana generasi masyarakat baharu. Keadaan sosial yang tidak sihat seperti masalah penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, samseng jalanan, semuanya dapat dibendung jika usaha pendidikan diberikan fokus sepenuhnya.




Oleh yang demikian, guru sendiri perlu sedar akan hal ini dan menganggap bahawa dirinya adalah agen kepada sosialis. Untuk melihat perubahan pembinaan masyarakat di masa hadapan, para guru mulai pada saat dan ketika ini perlu mempersiapkan diri sebagai agen sosialis. Dengan itu, beberapa perkara utama yang boleh guru laksanakan sebagai agen sosialis. Antara lain, para guru hendaklah menerapkan norma dan nilai sosial yang baik kepada murid-murid. Biarpun sekecil perkara, para guru tidak boleh memandang entang dengan nilai sosial yang baik seperti memberi salam, mendahului orang yang lebih berusia dan selainnya. Begitu juga dalam cara berkomunikasi, tidak meninggikan suara bercakap dengan guru, tidak melawan cakap guru, mendengar dan memandang guru ketika guru mengajar, ini antara contoh yang perlu guru bijak dalam mendidik generasi ini. Jika perkara seperti ini dianggap remeh, maka malanglah generasi ini mendapat guru yang tidak bermentaliti baik. Selain itu, para guru yang juga sebagai agen sosialis perlulah menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Sesuatu perubahan yang mahu digerakkan itu sebenarnya bermula dari diri guru itu sendiri. Alangkah dukacitanya jika guru tidak bercakap sopan, dihadapan guru-guru lain melawak dengan berlebihan, guru tidak berpakaian kemas dan mengikut peraturan. Jika semua ini terjadi, maka siapa yang murid perlu contohi kalau tidak melihat kepada perilaku gurunya.

Lebih menyedihkan lagi, apabila wujud trend hari ini para guru menari dan berjoget bercampur lelaki dan perempuan, direkod dan disiarkan dengan penuh bangganya pula. Institusi pendidikan adalah institusi yang mulia dan mesti dipandang tinggi. Namun trend yang kerap kali dibuat ini sedikit-sebanyak telah mencemarkan nama baik sesebuah institusi pendidikan. Hal ini tidak patut berulang dan harus dijelaskan kepada mereka yang menggalas tugas sebagai agen sosialis. Para guru juga boleh menjadi agen sosialis dengan mengawal hubungan sosial murid-murid di sekolah. Jangalah kita membawa masuk budaya yang disebut sebagai "pickup line" yang berunsur mengedik dan mengorat. Hentikan budaya ini di sekolah, tentunya tidak bersesuaian dengan makna pendidikan. Gejala buli juga harus dipandang serius. Sikap memeras ugut, gangsterime, berpuak-puak adalah antara bunga-bunga awal menjurus kepada masalah buli. Para guru sebagai agen sosialis harus lebih peka akan keadaan sekeliling, perlu lebih cakna mengambil tahu akan tiap-tiap muridnya. Ini kerana guru lebih mengenali anak muridnya sendiri. Setelah itu, guru juga seharusnya menjadi penyebar ilmu kemasyarakatan. Mengajar sesuatu yang berguna tidak akan ada penamatnya. Oleh itu, guru perlu membawa murid-murid melihat realiti yang ada, mendengar pandangan mereka selain guru boleh memperbetulkan persepsi mereka yang salah.

Tentunya segala usaha baik ini tidak seharusnya bersifat bertepuk sebelah tangan sahaja. Tugas mendidik tidak hanya berlaku di sekolah namun tugas tersebut bermulanya di rumah. Oleh itu, tidak bermakna andai guru sebagai agen sosialis melakukan usaha merubah minda anak-anak murid tetapi tidak disambut dan diteruskan oleh para ibubapa dan waris di rumah. Tugas yang sama juga bahkan lebih berat sebenarnya bagi para ibubapa untuk meneruskan usaha mendidik anak-anak generasi baharu ini. Ibubapa perlu bahkan wajib untuk membantu para guru memperkasakan kemenjadian murid demi melihat generasi baharu negara. Walau apapun, dunia tidak boleh menafikan tentang peranan guru sebagai agen sosialis. Gelaran cikgu, sir, teacher, ustaz dan ustazah, semuanya terangkum sebagai agen perubahan masyarakat. Dan seperti yang telah kita sebutkan, perubahan besar yang mahu digerakkan ini adalah bermula daripada perubahan guru itu sendiri. Jadi, guru haruslah sentiasa memperbaharui niat dan tekad agar matlamat sebagai agen sosialis dapat diterjemahkan dalam kancah masyarakat. Semoga Allah Azza Wa Jalla merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan