Rabu, 22 April 2026

SYARIAT IKTIKAF DAN HUKUM BERKAITAN

 

Dalam kepenatan umat manusia yang bergelut dengan kehidupannya, demi mencari nafkah buat diri dan tanggungannya, apabila diniatkannya sebagai ibadah kerana Allah, pastinya kepenatan itu tidak akan menjadi sia-sia kerana Allah SWT pasti akan membalasnya dengan ganjaran pahala yang besar. Betapa kasihnya Allah Azza Wa Jalla kepada para hamba Nya yang benar-benar ikhlas dalam beribadah, walau penat mencari nafkah tetapi tiada yang sia-sia jika itu dianggap sebagai ibadah kerana Nya. Selain itu, berdiam diri di dalam masjid sambil berzikir atau sambil membaca al-Quran atau apa jua amalan baik dilakukan ketika berada di dalam masjid, hal demikian juga merupakan ibadah dan amalan yang mulia yang juga memiliki kedudukan tinggi di sisi syarak. Dalam hal ini, terdapat suatu syariat yang menjadi sunnah baginda Nabi Muhammad SAW terutamanya pada bulan Ramadan iaitulah syariat iktikaf.

Perkataan "Iktikaf" adalah merupakan kosa kata yang berasal daripada bahasa Arab. Ungkapan iktikaf adalah terbitan dari kata dasar 'akafa (عكف) yang merujuk kepada makna menetap, berdiam diri atau melazimi sesuatu perkara. Menurut Ibn Faris dalam kitabnya Mu'jam Maqayis al-Lughah, huruf ain (ع), kaf (ك) dan fa (ف) adalah asal sahih yang menunjukkan makna menghadap dan menahan. Sementara itu, Ibnu Manzur pula menyebut dalam kitabnya Lisan al-'Arab, perkataan iktikaf membawa makna menetap pada sesuatu tempat dan melaziminya. Pada sudut istilah pula, para ulama memberikan maksud iktikaf sebagai berdiam diri di masjid dengan tujuannya adalah untuk beribadah kepada Allah Azza Wa Jalla. Ini sepertimana ungkapan yang disebut oleh al-Zaila'ie dalam kitabnya Tabyin al-Haqaiq, iktikaf menurut mazhab Hanafi ialah menetap di masjid dan berada di dalamnya beserta puasa dan niat.




Selain itu, para ulama dikalangan mazhab Maliki pula seperti al-Qarafi, beliau menjelaskan maksud iktikaf di dalam kitabnya al-Zakhirah, iktikaf ialah menahan diri di dalam masjid untuk ibadah dalam bentuk yang khusus. Imam al-Nawawi pula menyebut iktikaf sebagai berdiam diri di dalam masjid dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sementara Ibnu Muflih dalam kitabnya al-Mubdi', beliau menjelaskan iktikaf sebagai melazimi masjid untuk mentaati Allah SWT dengan bentuk yang khusus. Maka secara kesimpulannya, perkataan iktikaf boleh kita fahaminya sebagai suatu ibadah berdiam diri di dalam masjid serta melakukan pelbagai amalan soleh dengan niat dan tujuan untuk beribadah kerana Allah SWT. Ibadah iktikaf merupakan pensyariatan yang disebutkan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW. Dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 187, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"....Dan janganlah kamu setubuhi mereka (isteri-isteri kamu) ketika kamu sedang beriktikaf di dalam masjid"

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menegaskan mengenai larangan ketika sedang beriktikaf di dalam masjid diantara lain dilarang bersetubuh dengan isteri ketika sedang beriktikaf. Imam al-Qurtubi menyebut dalam kitabnya al-Jami' Li Ahkam al-Quran, melalui ayat ini, para ulam telah bersepakat bahawa pelaksanaan iktikaf hanya dilakukan di masjid. Cuma dikalangan para ulama mereka berbeza pandangan tentang apakah yang dimaksudkan dengan masjid. Syariat iktikaf juga dinyatakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Umar meriwayatkan yang bermaksud :

"Sesungguhnya Umar bertanya Nabi SAW dengan berkata : Dahulu aku pernah bernazar untuk beriktikaf satu malam di Masjidil Haram. Baginda bersabda : Sempurnakanlah nazarmu".

Secara umumnya, ibadah iktikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Namun begitu, syariat iktikaf menjadi lebih utama dan terpenting apabila memasuki bulan Ramadan. Hal ini kerana terdapat sunnah Nabi SAW di dalam bulan Ramadan yang antaranya adalah ibadah iktikaf. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Aisyah RA yang bermaksud :

"Nabi SAW sentiasa beriktikaf pada sepuluh malam hari terakhir Ramadan sehingga baginda wafat".




Oleh kerana demikian, para ulama menyatakan bahawa iktikaf hukumnya adalah sunat pada semua masa dan menjadi sunat yang sangat dituntut pada sepuluh akhir bulan Ramadan. Tuntutan sunat yang sangat dituntut ini adalah sebagai mengikut jejak langkah baginda Rasulullah SAW selain untuk mencari malam Lailatul Qadar. Terkait dengan iktikaf juga, para ulama berbahas mengenai tempoh waktu untuk dianggap sebagai iktikaf. Majoriti para ulama termasuklah Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi'i berpandangan bahawa tempoh iktikaf tidak ada had minimum. Selain itu, Imam Malik pula berpandangan tempoh iktikaf hendaklah sekurang-kurangnya ialah sehari semalam. Ada juga beberapa riwayat daripadanya yang menyebut tiga hari dan ada pula yang menyebut sepuluh hari. Bagi mereka yang berpegang kepada pandangan bahawa puasa merupakan syarat bagi iktikaf, maka padanya berpandangan tidak sah iktikaf jika dilakukan hanya pada waktu malam. Maka kerana demikian, iktikaf hendaklah dilakukan tidak kurang daripada sehari semalam.

Sesungguhnya pada syariat iktikaf itu terdapat empat rukun terpenting. Rukun pertama ialah niat. Maka jika seseorang itu hanya sekadar berdiam diri di dalam masjid tanpa terlintas dijantung hatinya untuk beriktikaf, maka tiadalah baginya pahala beriktikaf. Oleh itu, niat sangat penting dalam beribadah sama seperti ibadah-ibadah yang lainnya. Rukun kedua pula ialah menetap di dalam masjid. Perbuatan menetap di dalam masjid tidak cukup dengan hanya sekadar tamakninah sahaja atau duduk sebentar sahaja. Hendaklah duduk berdiam diri dengan bersungguh dan bukannya duduk untuk sekadar bersinggah semata. Selain itu, rukun ketiga ialah hendaklah orang yang beriktikaf itu beragama Islam, berakal dan juga suci daripada haid, nifas dan junub. Ini bermakna adalah tidak sah ibadah iktikaf dilakukan oleh mereka yang bukan beragama Islam, gila dan hilang kewarasan dan para wanita yang berada dalam keadaan tidak suci serta junub. Rukun terakhir ialah iktikaf hendaklah dilakukan di dalam masjid. Bagi al-Zuhri dan Imam al-Syafi'i dalam pendapat lamanya, masjid yang padanya didirikan solat jumaat adaah lebih afdal (lebih baik) agar mereka yang beriktikaf tersebut tidak perlu keluar untuk tujuan menunaikan solat jumaat.

Menyentuh tentang ibadah iktikaf, kita tidak akan terlepas daripada membincangkan mengenai waktu bermula dan berakhir iktikaf. Dalam hal ini, pertamanya sesiapa yang bernazar untuk beriktikaf beberapa hari tertentu dan juga termasuklah bagi mereka yang ingin beriktikaf pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan, maka sunnahnya pada dirinya memasuki masjid iaitu tempat iktikafnya pada waktu selepas solat subuh pada hari pertamanya (pada hari ke-21). Begitulah juga yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Aisyah RAnha yang bermaksud :

"Rasulullah SAW beriktikaf pada setiap Ramadan, maka apabila baginda selesai solat subuh, baginda datang ke tempatnya yang digunakan untuk beriktikaf"




Pun begitu, bagi para imam yang empat dan sebahagian ulama lain berpandangan bahawa waktu masuk ke tempat iktikaf adalah pada sebelum terbenam matahari pada hari ke-20. Adapun hadith yang menyatakan bahawa baginda Nabi masuk iktikaf selepas solat subuh, mereka mentakwilkan hadith tersebut dengan menyebut bahawa baginda Nabi SAW masuk pada awal malam tetapi menyendiri di dalam khemah selepas solat subuh. Tambah lagi, mereka menyatakan kerana istilah "sepuluh" itu merujuk kepada bilangan malam maka wajib dimulakan sebelum masuknya waktu malam. Ini bermakna, waktu permulaan beriktikaf adalah pada waktu sebelum terbenamnya matahari. Selain itu, waktu berakhir iktikaf pula, terdapat sekurang-kurangnya dua pandangan. Pandangan pertama ialah pada selepas solat subuh. Manakala pandangan kedua pula menyebut pada waktu selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir iktikaf. Demikianlah mengenai waktu bermula dan berakhir iktikaf.

Syariat iktikaf juga dituntut kepada kaum wanita dengan dua syarat. Syarat pertama, hendaklah mendapat izin suami atau wali bagi yang belum berkahwin. Syarat kedua tidak menimbulkan fitnah. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

"Sesungguhnya Rasulullah SAW menyebut bahawa baginda beriktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Lalu Aisyah meminta izin daripada baginda, maka baginda pun mengizinkannya".

Demikianlah antara sebahagian penjelasan berkaitan dengan ibadah iktikaf. Secara ringkasnya boleh kita rumuskan bahawa ibadah iktikaf merupakan suatu pensyariatan oleh Allah SWT. Hukum iktikaf adalah sunat pada bila-bila masa dan menjadi sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan pada 10 malam akhir di bulan Ramadan. Sesungguhnya ibadah iktikaf yang dilakukan ini adalah sangat penting dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah. Beriktikaf bukan semata-mata berdiam diri tanpa melakukan apa-apa, tetapi dilakukan pelbagai amalan baik seperti berzikir, solat malam, membaca al-Quran dan sebagainya. Antara hikmah disebalik pensyariatan ini , iktikaf dapat membersihkan jiwa kita daripada sibuk dengan perkara dunia kepada sibuk melakukan amalan soleh. Selain itu, iktikaf juga dapat melatih kita untuk bersikap tenang dalam beribadah selain membuka ruang untuk kita bermuhasabah diri. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan