Bulan
Zulhijjah merupakan bulan terakhir bagi kalendar tahun Hijrah. Penamat kepada
sesuatu tahun itu berakhir pada bulan tersebut. Selain itu, padanya terkandung
suatu syiar yang agung dan penuh bersejarah. Pada bulan tersebut, seluruh umat
Islam disyariatkan untuk melaksanakan salah satu atau kedua-duanya sekali
daripada dua ibadah terbesar iaitu ibadah haji di Makkah dan ibadah korban.
Bagi yang berkemampuan dan terpilih, boleh lah melaksanakan kedua-duanya sekali
iaitu ibadah haji dan korban. Namun, bagi yang tidak berpeluang menunaikan
ibadah haji, maka boleh laksanakan ibadah korban.
Selain
terkandung padanya syiar ibadah haji dan korban, Allah SWT juga telah
memuliakan bulan Zulhijjah ini dengan kelebihan yang terdapat pada 10 hari
terawal di bulan Zulhijjah ini. Dalam sebuah firman Allah SWT dalam surah
al-Fajr ayat 1-2, yang bermaksud :
"Demi
waktu fajat (1) Dan (demi) malam-malam yang sepuluh (2)".
Dalam
kitab Tafsir Ibn Katsir, menurut pandangan Ibn Abbas, Abdullah bin
al-Zubair dan juga sebahagian ramai ulama dikalangan Salaf dan Khalaf, mereka
berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam ayat tersebut
ialah sepuluh hari terawal di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itu, Allah SWT telah
bersumpah dengan sepuluh hari tersebut membuktikan padanya terdapat kemuliaan,
keistimewaan dan kelebihan yang Allah janjikan buat para hamba Nya.
Terdapat
beberapa kelebihan dan kemuliaan 10 hari terawal di bulan Zulhijjah berdasarkan
hadith baginda Nabi SAW. Antaranya, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Abu
Daud, Ibn Majah juga al-Tirmizi, daripada Ibnu Abbas RA, baginda Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
"Tiada
hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah sukai melebihi sepuluh hari
ini (10 hari awal Zulhijjah)". Mereka bertanya : "Sekalipun jihad
pada jalan Allah ?". Jawab Rasulullah SAW : "Sekalipun jihad pada
jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjuang) dengan diri dan
hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit".
Dalam
hadith yang lain, riwayat al-Darimi dengan berstatus hasan, daripada Ibn Abbas
yang bermaksud :
"Tiada
amalan yang lebih mulia di sisi Allah dan lebih besar pahala daripada kebaikan
yang seseorang lakukan pada sepuluh hari Adha (sepuluh hari awal
Zulhijjah)".
Berdasarkan
beberapa hadith tersebut, timbul perbahasan dikalangan para ulama apakah 10
hari awal pada bulan Zulhijjah lebih baik dan lebih utama berbanding 10 hari
terakhir di bulan Ramadan. Dalam perbahasan para ulama, ada yang berpandangan
amalan soleh pada 10 hari awal Zulhijjah lebih utama dan lebih baik berbanding
10 hari terakhir Ramadan. Begitu juga sebaliknya, ada pula dikalangan para
ulama yang berpandangan 10 hari terakhir Ramadan lebih baik dan utama berbading
10 hari awal di bulan Zulhijjah.
Menurut
Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqat al-Mafatih Syarah Mishkah
al-Masabih, dalam perbahasan tersebut, ada dikalangan ulama yang telah
mentarjihkan bahawa amalan soleh pada waktu siang hari semasa sepuluh hari awal
Zulhijjah lebih mulia dan baik daripada semua hari termasuk sepuluh hari
terakhir Ramadan. Sementara amalan soleh pada malam hari sepuluh akhir Ramadan
lebih utama berbanding 10 malam awal bulan Zulhijjah. Pentarjihan ini dibuat
diatas alasan kerana pada malam 10 akhir Ramadan terdapat Lailatul Qadar yang
merupakan malam terbaik. Manakala pada siang sepuluh hari awal Zulhijjah
terdapat padanya Hari Arafah yang merupakan hari yang terbaik.
Selain
itu, hari Arafah pada 9 Zulhijjah juga adalah sebahagian perkara yang
dimuliakan oleh Allah Azza Wa Jalla pada 10 hari awal Zulhijjah. Di mana pada
hari tersebut, Allah SWT akan mengampuni kita semua dan membebaskan kita
daripada neraka. Sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah
hadith riwayat Muslim, daripada Ibnul Musayyad ia berkata, Aisyah berkata,
sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Di
antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang daripada neraka adalah hari
Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka (menunjukkan
keutamaan) kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman : Apa yang diinginkan
oleh mereka ?".
Ibnu
Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini berkata :
"Hari
Arafah adalah hari pembebasan daripada api neraka. Pada hari itu, Allah akan
membebaskan siapa sahaja yang sedang wukuf di Arafah dan penduduk negeri kaum
muslimin yang tidak melaksanakan wukuf. Oleh kerana itu, hari setelah hari
Arafah iaitu hari Aidiladha adalah hari raya bagi kaum muslimin di seluruh
dunia. Baik yang melaksanakan haji dan yang tidak melaksanakannya, sama-sama
akan mendapatkan pembebasan daripada api neraka dan ampunan pada hari
Arafah".
Kita
juga dituntut untuk berpuasa sunat hari Arafah dan banyakkan berdoa bagi
sesiapa yang tidak melaksanakan ibadah wukuf. Sabda Nabi SAW dalam sebuah
hadith riwayat Muslim yang bermaksud :
"Puasa
pada hari Arafah, aku berharap agar Allah menjadikannya penghapus dosa setahun
sebelumnya dan dosa setahun selepasnya".
Sesungguhnya
kemuliaan dan keistimewaan yang ada pada 10 hari awal Zulhijjah adalah terletak
kepada segala ibadah utama yang disyariatkan oleh Allah Azza Wa Jalla
berdasarkan tunjuk ajar dan bimbingan dari Rasulullah SAW. Ibadah utama seperti
solat, puasa, haji adalah kunci kepada kemuliaan dan keistimewaan 10 hari awal
Zulhijjah. Hal ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar
al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari, beliau menyatakan bahawa keistimewaan
10 hari Zulhijjah kerana terkumpul padanya segala ibadah utama ; solat, puasa,
sedekah (zakat) dan haji. Ini tidak terdapat pada waktu lain.
Ini
bermakna, pada 10 hari awal Zulhijjah, adalah merupakan suatu tempoh untuk kita
benar-benar melaksanakan ibadah utama dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.
Merasai diri ini sedang mempersembahkan suatu ibadah yang terbaik yang pernah
kita lakukan. Menanam dalam diri agar tunduk, patuh dan taat pada Nya dengan
bersungguh melaksanakan segala bentuk titah perintah Nya dan berusaha
meninggalkan segalan bentuk titah perintah larangan Nya. Lebih utama bagi kita
dalam tempoh 10 hari awal ini, kita mempertingkatkan kualiti ibadah utama kita,
memperindahkannya sesuai dengan petunjuk baginda Nabi SAW. Pada masa sama, kita
juga tidak meninggalkan ibadah sunat yang lain.
Berdasarkan
hadith-hadith yang menjelaskan kemuliaan 10 hari awal Zulhijjah tadi, maka
ternyata pada kita bahawa baginda Nabi SAW menganjurkan pada kita dengan
menggalakkan kita memperbanyakkan amalan soleh di 10 hari tersebut. Amalan
soleh yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW merangkumi ibadah utama dan juga
ibadah sunat yang lain. Oleh yang demikian, selain kita wajib melaksanakan
ibadah yang wajib, kita juga sangat dituntut untuk memperbanyakkan ibadah sunat
yang lain seperti bersedekah, membaca al Quran, berzikir, beristighfar dan
selainnya.
Marilah
kita meraih peluang dan tawaran ini dengan bersungguh-sungguh melaksanakan
ibadah penuh penghayatan di samping memperbanyakkan doa terutamanya pada hari
Arafah yang padanya waktu mustajab doa. Mudah-mudahan dengan masuknya kita di
bulan Zulhijjah ini dengan penuh ketaqwaan, dan kita keluar darinya dengan
meraih ganjaran oleh Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan