Isnin, 4 Julai 2022

ADA APA DENGAN HARI ARAFAH ?

 

Arafah merupakan sebuah nama tempat yang terletak di sebelah timur Kota Makkah. Jarak dari Arafah ke Kota Makkah dianggarkan sejauh 20 kilometer. Berkenaan sejarah nama Arafah, Imam al-Tha'labi telah menyatakan dalam kitab tafsirnya, Tafsir Tha'labi, para ulama berbeza pandangan berkenaan penamaan hari Arafah. Antaranya menurut Imam Ad-Dahhak, beliau menyatakan bahawa pada hari Arafah, Nabi Adam AS telah bertemu dengan Hawa' setelah diperintah keluar dari syurga oleh Allah. Mereka bertemu semula pada hari Arafah.

Menurut Imam As-Suddi, tempat tersebut dinamakan Arafah adalah kerana bertemunya Nabi Ibrahim AS dengan Ummu Ismail (Ibu Nabi Ismail) yang disebutkan sebagai Hajar di Arafah setelah isteri pertama Nabi Ibrahim cemburu melihat Hajar dan anaknya Nabi Ismail. Selain itu, Imam Ata' pula menyatakan bahawa dinamakan Arafah kerana Jibril AS telah mengajarkan manasik haji ke Nabi Ibrahim AS. Lalu diterangkan tentang Arafah.

Demikian pula menurut riwayat Abu Tufail daripada Ibn Abbas, ia dinamakan Arafah kerana Jibril AS telah menunjukkan tempat sekian-sekian untuk manasik haji maka baginda Nabi Ibrahim AS berkata aku mengetahuinya. Sebahagian ulama lain pula menyatakan bahawa dinamakan Arafah kerana pada hari itu manusia sekaliannya mengetahui serta memperakui dosa-dosa mereka. Maka disitulah dijadikan tempat untuk memperakui dosa yang pada asalnya jugalah Nabi Adam AS mengakui kesalahan dan diterima taubat.




Hari Arafah adalah pada tarikh 9 Zulhijjah. Arafah, selain merujuk kepada nama tempat, pada hari itu juga seluruh umat Islam yang melaksanakan ibadah haji akan berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah. Berwukuf di Arafah dalam erti kata lain, berada di Arafah walau satu saat sekalipun walaupun dalam sebarang keadaan. Perbuatan tersebut juga merupakan salah satu rukun haji. Ini bermakna, adalah wajib bagi umat Islam yang menjalani ibadah haji melaksanakan ibadah wukuf di Arafah.

Bagi umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji, disunatkan bagi mereka untuk berpuasa pada hari Arafah. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Qatadah al-Ansari RA, Rasulullah ketika ditanya tentang puasa hari Arafah, baginda Nabi bersabda yang bermaksud :

"Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang"

Umat Islam yang melaksanakan ibadah haji pula disunatkan untuk tidak berpuasa dan sekiranya mereka berpuasa juga, hal itu telah menyalahi perkara utama. Menurut sebuah hadith riwayat Muslim, Dari Umm al-Fadhl binti al-Harith, katanya :

"Ramai dikalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu baginda berada di Arafah lantas baginda meminumnya"

Juga dalam hadith yang lain riwayat Abu Daud dan al-Nasa'ie, dari Abu Hurairah RA katanya :

"Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah".

Pada hari Arafah, terdapat beberapa kelebihan dan keistimewaan berdasarkan al-Quran dan hadith Nabi SAW. Antaranya pada hari Arafah, diturunkan firman Allah SWT pada ayat 3 surah al-Maidah yang menyatakan bahawa pada hari ini (hari Arafah), Allah SWT telah menyempurnakan dan melengkapkan agama Islam tanpa perlu kepada sebarang penambahan mahupun pengurangan.

Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki bertanya kepadanya :

"Wahai Amirul Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al Quran) yang kamu membacanya. Jika ia keatas kami sekalian bangsa Yahudi, maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya : Apakah ayat itu ? Dia berkata : "Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu". Umar berkata : Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut keatas Nabi SAW ketika baginda Nabi berdiri di Arafah pada hari Jumaat".

Kata As-Sya'bi, telah turun ayat ini (ayat 3 surah al-Maidah) kepada Rasulullah SAW ketika baginda Nabi berada di Arafah, tempat Nabi Ibrahim pernah berada sebelum ini. Syirik berkurangan dan robohlah segala tempat jahiliah serta mereka tidak lagi melakukan tawaf di Kaabah secara tidak berpakaian.




Selain itu, hari Arafah merupakan hari yang baik dan mulia untuk kita berdoa kepada Allah SWT. Perkara ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abdullah bin 'Amr, bahawa Nabi SAW bersabda :

"Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah"

Para ulama berbeza pandangan ketika membahaskan tentang kelebihan berdoa pada hari Arafah. Adakah kelebihan ini dikhususkan kepada mereka yang berada di Arafah atau sebaliknya untuk semua walau dimana sahaja. Dalam hal ini, ada beberapa pandangan. Dalam kitab al-Muntaqa' Syarah Muwatto', berkata al-Baji Rahimahullah, makna hadith "Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah" ialah zikir yang paling berkat, paling besar pahala dan paling hampir dengan ijabah (diperkenan/diterima).

Oleh yang demikian, berdasarkan hal tersebut, sebahagian ulama menyatakan kelebihan berdoa pada hari Arafah adalah khusus untuk jemaah haji sahaja kerana mereka sudah tentu lebih dekat untuk diterima doa kerana berada pada tempatnya. Sebahagian ulama pula berpandangan dibolehkan juga mereka yang tidak melaksanakan ibadah haji berdoa pada hari Arafah. Ini berdasarkan dalam kitab al-Islam Soal wa al-Jawab Fatawa, karangan Syeikh Soleh al-Munajjid, menyatakan bahawa :

"Imam Ahmad juga membolehkannya walau beliau sendiri tidak melakukannya. Hal ini menunjukkan bahawa mereka menilai keutamaan hari Arafah tidaklah khusus bagi orang yang haji sahaja. Walau memang berkumpul ramai-ramai seperti ini untuk berzikir dan berdoa pada hari Arafah tidak pernah ada asalnya dari Nabi SAW".




Padanya juga, merupakan hari dimana Allah akan memberikan keampunan dosa, pelepasan dari azab api neraka dan kemegahan bagi orang yang melakukan ibadah wukuf di Arafah. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda :

"Tiada hari yang Allah banyak membebaskan daripada api neraka melebihi hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfirman, "Apa yang diinginkan oleh mereka ?".

Juga dalam hadith yang lain, riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani, daripada Abdullah bin 'Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah berbangga dihadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di Arafah. Allah berfirman : "Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba Ku, mereka sedang datang berhimpun kepada Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut".

Demikianlah apa yang ada pada hari Arafah. Padanya terhimpun segala kesempurnaan syariat agama Islam ini. Ini bermakna, setelah itu, tidak ada lagi wahyu yang diturunkan kepada Nabi dan selepas kenabian. Oleh itu, keaslian dan ketulenan agama ini harus dipelihara dan dijaga dari sebarang unsur tokok tambah (bid'ah) yang boleh mencemarkan intipati ajaran Islam sebenar. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan