Inflasi
merupakan suatu istilah yang menggambarkan kedudukan ekonomi semasa. Menurut
Kamus Online Cambridge, inflasi membawa maksud peningkatan harga yang
berterusan secara umum. Kadar inflasi pula membawa maksud ukuran bagi kadar
peningkatan harga dalam bentuk peratusan. Semakin tinggi kadar inflasi maka
semakin meningkat pula kos perbelanjaan. Misalnya, apabila kadar inflasi
meningkat sebanyak 2.5 peratus, ini bermakna perbelanjaan kos sara hidup juga
mengalami peningkatan sebanyak 2.5 peratus. Kesannya, harga akan mengalami
kenaikan.
Sememangnya
kita harus akui bahawa dunia pada hari ini terkesan dengan kadar inflasi yang
kian meningkat. Hal ini telah memberi tekanan kepada hidup rakyat marhaen yang
berstatus B40 yang purata pendapatannya pada kadar RM 4000 ke bawah. Keadaan
inflasi yang terjadi akan mengakibatkan kuasa membeli menjadi semakin menurun
dan lemah. Dengan kenaikan harga yang kian meninggi, adalah mustahil untuk
rakyat mempunyai kuasa beli yang sama pada sebelum ini.
Menginsafi
akan keadaan gawat ini, sudah tentu menjadi harapan rakyat marhaen terutamanya
golongan B40 mendambakan sebarang usaha dan tindakan yang sewajarnya oleh pihak
kerajaan. Sekiranya keadaan ini semakin runsing dan memenatkan, tidak hairanlah
kita akan dihidangkan lagi dengan laporan berita bunuh diri, bunuh keluarga dan
lain-lain akibat hilang kewarasan berhadapan krisis inflasi yang tidak menentu
ini. Atas apa nama jua usaha sekalipun, rakyat mahukan solusi dan penyelesaian
bagi mengurangkan kenaikan kos sara hidup.
Bukannya
sekadar tubuh ini dan tubuh itu, jawatankuasa ini dan itu, namun hasilnya masih
kabur dan tidak berpenghujung. Keceluparan mulut para menteri, juga pegawai
tinggi kerajaan, yang menyarankan agar rakyat kurangkan makan telur, menyatakan
kenaikan harga barang bukan masalah besar dan lain-lain kenyataan kurang cerdik
oleh para menteri hanya mencurah api di minyak tanah sahaja. Membakar dan
bukannya memadam. Apakah setiap kali negara berdepan dengan krisis ekonomi,
rakyat juga yang dipersalahkan ? Mungkinkah menjadi trend terkini rakyat
disaran ikat perut dan kurangkan makan ?
Bagai
tradisi kerajaan sejak dahulu, apabila sesuatu masalah berlaku, maka disuruhnya
rakyat untuk buat itu dan ini. Sedangkan, tatkala ada rakyat yang ibarat kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang, pak menteri sempat pula berpolitik
sana sini demi memenuhi kehendak dan cita-citanya yang tidak berkesudahan.
Dikala ada rakyat yang kini terpaksa mencatu makanan, pak menteri pula dengan
senang hati bercakap kerajaan jamin itu ini di mulut, namun belum tentu dapat
dilaksanakan lagi. Lebih menyedihkan, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan,
mesyuarat demi mesyuarat berlangsung, namun realitinya semakin menekan.
Sekadar
bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab. Ke mana hilangnya peranan Majlis
Pemulihan Ekonomi ? Apakah tindakan dan strategi yang diambil oleh Majlis
Tindakan Ekonomi ? Bagaimana pula dengan fungsi yang dimainkan oleh Majlis Kos
Sara Hidup ? Kesemua ini sudah tentu menelan belanja yang banyak bagi
kelangsungan peranan jawatankuasa-jawatankuasa tersebut. Persoalan besarnya, ke
manakah semua nya ini ? Adakah sekadar tubuh lalu mengenyangkan poket ahli
mesyuarat dengan elaun kehadiran mesyuarat ? Ini belum lagi kita meneliti
semula tugas dan peranan pak menteri yang bersaiz besar dan menelan belanja
yang tinggi.
Umpama
menunggu bulan jatuh ke riba, penyelesaian yang diambil setakat ini dengan
menubuhkan lagi jawatankuasa khas yang diberi nama JIHAD. Apa pun nama dan
gelaran yang diberikan, penubuhan pelbagai atas apa jua nama sekalipun, bukan
ini yang ditunggu dan diharapkan oleh rakyat. Bukan retorik tubuh itu dan ini,
tetapi yang dinantikan ialah perancangan, strategi dan gerak usaha bagi
mengurangkan kadar inflasi yang kian menekan ini. Kita barangkali yang makan
gaji setiap bulan, tidak terkesan dengan keadaan semasa. Tetapi adakah kita
terfikir apa pula nasib mereka yang tidak berpendapatan tetap, penggangur dan
lain-lain.
Boleh
jadi di saat dan ketika ini, kita memerlukan pejuang seperti Mat Kilau, Tok
Gajah dan lain-lain yang berani menentang British ekoran tekanan ekonomi yang
dikenakan kepada penduduk tempatan sewaktu itu. Kini, kita tidak lagi berdepan
dengan penjajah. Namun masalahnya tetap sama. Menekan dan ditekan. Rakyat pula
yang disuruh ikat perut, kurang makan telur dan bela ayam. Kita sedar dan
percaya, perancangan hari ini tidak akan terus berjaya pada keesokkannya. Namun
sekurang-kurangnya adalah setitis cahaya yang boleh mengukirkan senyuman di
bibir rakyat. Setidak-tidaknya, terpalit setulus keyakinan pada kerajaan dengan
nampaknya usaha dan tindakan sedang dilaksanakan.
Kepada
semua pemimpin dan kepada kita yang dipimpin, sebarang usaha yang dilaksanakan
tidak akan dapat direalisasikan andai kita tidak saling bantu antara satu sama
lain. Oleh itu, saranan kepada kerajaan, tampil lah dengan solusi yang
menyakinkan. Usaha harus bergerak selari dengan kelincahan para menteri di
arena politik kepartian. Kepada yang dipimpin, sabar dan berilah ruang kepada
kerajaan membuktikan kredibiliti mereka bagi membantu rakyat. Sesungguhnya
kuasa di tangan kita. Meskipun kuasa rakyat 5 tahun sekali, jangan disangka
sekali tidak akan berbuah berulang kali. Semoga Allah merahmati dan memberkati
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan