Isnin, 18 Julai 2022

ANAK DAN ISTERI UNTUK DILINDUNGI, BUKAN UNTUK DIKASARI

 

Sesebuah rumahtangga yang bahagia sudah tentu di dalamnya terdapat nilai-nilai keharmonian seperti saling menghormati, bertolak-ansur dan saling memahami. Tanpa nilai-nilai harmoni ini, mana mungkin sesebuah rumahtangga dapat diterjemahkan sebagaimana yang telah disebutkan di dalam al Quran seperti sakinah (ketenangan) mawaddah (kebahagiaan), rahmah (kasih sayang). Tiga elemen ini merupakan pokok asas dalam membina sesebuah rumahtangga yang berjaya.

Firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud :

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu perasaan kasih sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir".

Malangnya, apabila institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan, bertukar keadaan menjadi tempat keganasan rumahtangga seolah-olah berada di dalam neraka jahanam. Menurut Portal MyHealth, keganasan rumahtangga boleh dimaksudkan sebagai perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan. Ia terdiri daripada fizikal dan gangguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan, gangguan/pengabaian emosi dan kewangan.




Berdasarkan definisi berikut, keganasan rumahtangga tidak tertakluk kepada fiizkal semata-mata. Ianya boleh berlaku juga dalam bentuk pertuturan maki-hamun, psikologi dan emosi perasaan. Untuk rekod, sebanyak 7,468 kes keganasan rumahtangga dilaporkan pada tahun 2021. Berbanding pada tahun sebelumnya tahun 2020, sebanyak 5,260 kes dilaporkan. Ini bermakna, peningkatan sebanyak 2,208 kes dilaporkan. Meskipun begitu, statistik ini juga tertakluk kepada laporan yang diterima. Bagaimana pula yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa ? Oleh itu kita sudah tentu tidak boleh memandang sekadar angka semata-mata kerana realitinya mungkin ramai lagi yang terkesan dengan kes ini namun takut untuk tampil membuat laporan.

Bagi membendung gejala keganasan ini, sudah pasti ia berbalik kepada diri sendiri baik sebagai seorang suami mahupun seorang isteri, memahami dan menghayati semula tanggungjawab membina rumahtangga yang harmoni. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka".

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan seorang lelaki dalam keluarga adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya (ahli keluarganya)".

Berdasarkan dua dalil ini, ianya sudah cukup untuk kita menyatakan bahawa peranan seorang suami sebagai ketua keluarga sangat besar amanah dan tanggungjawab bagi melindungi anak dan isterinya daripada sebarang kecelakaan. Malah, sebagai seorang suami juga, bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin termasuklah dalam soal membahagiakan anak isterinya selari dengan syariat. Demikian juga seorang suami yang baik adalah mereka yang paling baik terhadap isterinya. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ibn Majah, daripada Ibn Abbas RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya".

Imam Muhammad Nuruddin al-Sindi dalam kitab Hasyiah al-Sindi, beliau menyatakan bahawa hadith ini membawa maksud pergaulan yang mesra antara ahli keluarga merupakan salah satu daripada perkara yang dituntut dalam agama. Maka sesiapa yang bersikap mesra dengan ahli keluarganya tergolong dalam kalangan yang terpilih berdasarkan sifat ini. Barangkali orang yang bersifat sedemikian (dikira) bersamaan dengan perkara-perkara baik yang lain sehingga dia dikatakan seorang yang baik secara mutlak.

Demikian juga menurut Imam as-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Awthar, beliau menyatakan Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan baginda Nabi. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri baginda tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah.




Dengan apa tujuan sekalipun, Islam sangat melarang kita untuk melakukan kekerasan dan keganasan termasuklah dalam soal mendidik anak isteri. Islam sangat melarang kita sebagai suami mendidik dengan cara kekasaran dan boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka".

Imam al-Nawawi dalam kitab Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn Hajjaj menyatakan bahawa :

"Hadith ini menyebutkan secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana ia sesuatu yang lembut yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga seringg terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi".

Demikian tegasnya Islam melarang umatnya untuk berkelakuan kasar sesama manusia lebih-lebih lagi dalam soal memukul pada bahagian muka yang padanya terhimpun kecantikan dan keelokkan. Adapun dalam soal mendidik isteri yang derhaka kepada suami, Islam telah pun memberikan garis panduan sebagai jalan keluar kepada kemelut rumahtangga ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

"Hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukul lah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)".

Ini merupakan garis panduan oleh Islam bagi tujuan mendidik isteri yang derhaka. Ianya tersusun dengan tertib dan peringkatnya. Dimulakan dengan usaha menasihati dengan hikmah, jika masih berdegil, maka kita dianjurkan untuk berpisah tempat tidur dan sekiranya masih berdegil juga, maka Islam menyuruh kita untuk memukul dengan pukulan yang tidak mendatangkan kecederaan. Pukulan tersebut juga adalah bertujuan untuk mendidik dan bukannya untuk melepaskan baran diri kita.

Sesungguhnya sesebuah rumahtangga itu dibina bagi mencapai maksud ketenangan, kebahagiaan dan kasih sayang. Kerukunan rumahtangga haruslah dipelihara oleh suami dan isteri. Seorang suami yang juga merupakan seorang ketua keluarga seharusnya lebih matang dan bijaksana mengemudi rumahtangga dengan penerapan nilai-nilai harmoni bertepatan dengan kehendak dan tuntutan syarak. Jangan sesekali membiarkan diri kita dikuasai oleh nafsu ammarah dan emosi yang tidak bertepian. Kelak akan mengakibatkan kemusnahan sesebuah rumahtangga tersebut. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan