Kesihatan
yang baik merupakan nikmat yang amat bermakna pada setiap makhluk yang
bernyawa. Hidup sihat, menghirup udara yang segar dan selamat, antara cita-cita
dan angan-angan kita semua. Namun kini, cita-cita dan angan-angan tersebut
tidak lagi akan tinggal kenangan, andai seluruh rakyat Malaysia di semua
peringkat khasnya peringkat legislatif (Badan Perundangan) iaitu Dewan Rakyat
dan Dewan Negara menyokong penubuhan Akta Kawalan Tembakau 2022 Sungguh besar
hati ini sekiranya kita semua dapat menyokong usul pihak kerajaan ini melalui
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Untuk
mencipta suatu gaya hidup yang sihat, kita seharusnya perlu lebih berani dan
terbuka menerima apa sahaja usaha bagi mencorakkan hidup rakyat Malaysia yang
lebih sihat dan baik. Kejayaan akan bermula dengan langkah yang pertama. Untuk
mencapai langkah tersebut, kita seharusnya bersedia dan kuat untuk
menggapainya. Oleh yang demikian, kita mestilah menyokong akta baharu ini yang
akan dibawa oleh pihak kerajaan dan akan dibahaskan oleh para ahli parlimen.
Sejujurnya, kita mahu melihat gaya hidup warga Malaysia baharu lebih sihat dan
terjamin kualiti udaranya.
Akta
Kawalan Tembakau 2022 diwujudkan dibawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004
(Pindaan 2008) yang diwartakan pada tahun 2020 sebagai undang-undang larangan
merokok. Menurut laporan akhbar bertarikh 15 Januari 2022, Menteri Kesihatan,
Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa undang-undang dibawah akta ini yang lebih
tegas bakal melahirkan generasi akan datang yang tidak kenal apakah itu rokok
dan produk berkaitannya. Akta ini juga akan menjadi harapan sebagai "generation
end-game" (generasi penamat) perbuatan merokok di Malaysia untuk
tempoh jangka panjang.
Menurut
Tinjauan Morbiditi Kebangsaan yang telah dijalankan pada tahun2019, didapati
peratusan merokok dalam kalangan remaja berusia 18 tahun (iaitu umur selepas
undang-undang tidak melarang mereka merokok) adalah tinggi. Dianggarkan
sebanyak 24.49 % remaja berusia 18 tahun merokok berbanding statistik sebelum
ini sebanyak 7.7 % sahaja. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22.78 % adalah
menggunakan rokok tembakau. Berdasarkan tinjauan ini, sudah tentu peningkatan
tersebut bukanlah sesuatu yang membanggakan. Bahkan perlu lebih bimbang dengan
trend tidak sihat ini yang semakin normalisasi dalam kehidupan remaja seawal
usia 18 tahun ke bawah.
Keadaan
ini lebih memburukkan lagi apabila kini terdapat pelbagai produk rokok yang
canggih dan mudah untuk mendapatkannya seperti vape dan lain-lain. Ini semua
berpunca daripada tabiat merokok yang kian menjadi-jadi dan mampu membunuh
dalam senyap. Trend merokok dikalangan remaja sudah menjadi normal pada masa
kini. Malah sebahagian remaja hari ini beranggapan bagi mereka yang tidak
merokok adalah sebagai suatu sikap "pondan", "bacul",
"lembik" dan "tidak macho". Doktrin seperti
ini bukan hal yang baru namun sejak dahulu lagi. Namun apabila hal tersebut
tidak dibendung dan ditangani secara serius, maka lihatlah generasi muda hari
ini yang telah mewarisi tabiat buruk merokok ini daripada generasi terdahulu.
Tabiat
merokok ini bukan sahaja buruk, kotor dan jijik pada mereka yang melakukannya,
bahkan kesannya boleh menyebabkan pencemaran udara, mengheret orang
disekeliling menghidu asap rokok sekaligus merosakkan kesihatan diri dan orang
di sekelilingnya. Jika dilihat suatu laporan yang dikeluarkan oleh The
Tobacco Atlas 2019, fakta menunjukkan kematian pramatang bayi akibat rokok
adalah sebanyak 27,000 setiap tahun. Ini bermakna sekiranya kita masih
berlengah dan tidak menyokong usaha baik ini bermaksud kita saban tahun akan
menghadapi 27, 000 kematian bayi pramatang. Adakah angka ini yang kita nak ?
Apakah ini yang kita mahu wariskan kepada generasi Malaysia ? Sudah tentu
tidak.
Peningkatan
peratusan merokok ini bukanlah suatu yang mengembirakan. Kesannya, peningkatan
ini juga turut akan menekan peningkatan kos yang harus ditanggung oleh
kerajaan. Kajian yang dibuat menyatakan rawatan akibt komplikasi penyakit punca
hasilan tembakau dianggarkan sebanyak RM 8.77 bilion menjelang tahun 2030. Ini
sekaligus membebankan pihak kerajaan untuk menampung kenaikan kos rawatan ini
akibat daripada kenaikan peratusan merokok dikalangan remaja hari ini. Anggaran
ini tidaklah mengembirakan kita apatah lagi membabitkan duit kerajaan yang
datangnya daripada hasil rakyat juga.
Oleh
itu, sewajarnya seluruh rakyat Malaysia terutamanya pada mereka yang beragama
Islam, bersatu dan menzahirkan rasa sokongan kepada kewujudan akta ini bagi
memastikan kelestarian warga Malaysia yang lebih ceria dan sihat. Kita tidak
mahu lagi episod duka bayi pramatang, kanser akibat tabiat merokok, kerosakan
jantung dan sebagainya menjadi pembunuh senyap nombor satu di Malaysia. Dengan
kelulusan akta ini, generasi yang lahir selepas tahun 2005 adalah generasi yang
tidak lagi mengenal tabiat buruk merokok. Seluruh ahli parlimen sebagai pemain
kuasa legislatif haruslah lebih sedar dan matang untuk mencorakan masa depan
negara yang lebih sejahtera. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan