Sesiapa
pun akan terasa marah dengan sesuatu yang dikatakan penghinaan. Jangan kan soal
agama, maruah kita sendiri pun sekiranya dihina, kita akan bangkit dan marah
akan hal itu. Malah jika penghinaan itu lebih dasyhat daripada itu, penghinaan
kepada ibubapa kita, adik beradik kita atau bangsa kita lebih lagilah kita akan
rasa marah dengan perbuatan tersebut. Apatah lagi apabila penghinaan tersebut
menyentuh soal agama kepercayaan kita, selayaknya kita turut marah dan mengecam
akan hal itu.
Terlebih
dahulu, Islam melarang kita untuk menghina, mencaci atau mempermainkan sembahan
tuhan agama lain. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 108 yang bermaksud
:
"Dan
janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah,
kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan
pengetahuan"
Syeikah
Wahbah Az-Zuhaili dalam kitab tafsirnya al-Munir, ketika menjelaskan
maksud ayat ini beliau menyatakan bahawa para ulama berkata hukum ayat ini
kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib,
sembahan mereka, tempat ibadat mereka, dan jangan terdedah melakukan perbuatan
tersebut kerana ianya seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada
Allah dan Rasul Nya.
Perasaan
marah apabila dihina adalah lumrah dalam kehidupan. Malah menjadi suatu masalah
besar sekiranya maruah Islam dihina, kita pula langsung tidak merasai marah dan
benci akan perbuatan tersebut. Barangkali tidak ada iman dalam dirinya dan
tiada perasaan kasih sayang kepada Allah dan Rasul Nya. Itu sebab orang dahulu
kala pernah menyatakan "marah tanda sayang". Ini bererti
kemarahan kita apabila Islam dihina membuktikan kita benar-benar kasih dan
sayang pada agama Islam. Meskipun kita sedar diri sendiri tidaklah sempurna
mana untuk dianggap soleh namun setidak-tidaknya perasaan itu membuktikan yang
kita ini benar-benar kasih dan sayang pada Islam.
Namun
begitu, kemarahan kita kerana Allah dan Rasul Nya sama sekali tidak pernah
menghalalkan perbuatan kekerasan dan berlaku zalim kepada mereka yang membuat
penghinaan. Bahkan dalam semua keadaan, jika terdapat perselisihan sesama
manusia, Allah Azza Wa Jalla menyuruh kita untuk kembali kepada petunjuk al
Quran dan as Sunnah dan sebaliknya bukan bertunjangkan emosi panas baran kita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 59 yang bermaksud :
"Kemudian
jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul Nya
(al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari akhirat".
Sebagai
orang yang beriman, apabila Islam dihina, sudah tentu akan merasai perasaan
marah tersebut. Ini juga petanda kita masih ada iman dalam diri kita. Untuk
itu, kita haruslah bersikap rasional berdasarkan keimanan kita dalam mengungkap
dan mengekspresikan kemarahan kita dengan perbuatan tersebut. Rasionalnya kita
bukan mengikut nafsu ammarah kita sebaliknya mengikuti apa yang telah
diperintahkan oleh Allah dan mencontohi Rasulullah SAW ketika berdepan dengan
penghinaan.
Marahnya
kita dengan bertuhankan emosi semata-mata tidak akan membawa apa-apa kebaikan
sekalipun kita berpuas hati dengan tindakan memukul dan menyakiti orang yang
menghina itu. Sekalipun kita merasa puas dengan jari-jemari menulis komentar,
membuat status kecaman dengan cacian, makian dan carutan, hal itu bukanlah yang
diajarkan oleh Islam. Mencarut, memaki-hamun dan sebagainya merupakan sifat
melampau yang dibenci dan disanggah oleh Allah Azza Wa Jalla. Firman Nya dalam
surah al-Maidah ayat 87 yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah
Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".
Oleh
yang demikian, seharusnya kita meluruskan sifat kemarahan ini dengan tidak
melampaui batas. Tidak menghalalkan perbuatan menzalimi dan menyakiti orang apatah
lagi menghalalkan perbuatan mencerca, memaki-hamun dan sebagainya untuk
mempertahankan Islam. Marah yang melampaui batas sehingga mencarut dan
sebagainya bukanlah jalan keluar yang ditunjukkan oleh Islam. Marahlah dengan
keimanan. Jangan biarkan emosi hawa nafsu membelenggu kita sehingga secara
tidak sedar, kita sendiri telah pun melakukan perbuatan yang mengundang pula
kemarahan dan kemurkaan Allah SWT.
Negara
ini mempunyai kedaulatan undang-undang. Bertindaklah mengikut lunas
undang-undang yang sedia ada. Usahlah kita mengambil tindakan sendiri kerana
kelak akan merugikan kita sekaligus mencetuskan persepsi salah terhadap Islam
kerana menunjukkan akhlak yang tidak baik. Hakikat yang harus kita akui bersama
adalah kemarahan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Namun kita harus ingat
bahawa Islam menyuruh kita marah dan benci akan perbuatannya bukannya individu
perseorangan. Marah dan bencilah perbuatan tersebut dengan keimanan kepada
Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan