Selasa, 12 Julai 2022

HIDUP SEBAGAI MUSLIM : BUKAN SEKADAR BERBUAT BAIK

 

Hidup sebagai seorang muslim yang berdiri diatas tunjang keimanan dan ketaqwaan adalah merupakan suatu nikmat yang paling besar dan bermakna. Pemberian nikmat iman ini juga merupakan salah satu kasih dan cintanya Allah SWT kepada para hamba Nya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Ibnu Mas'ud RA berkata yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah memberi dunia pada orang yang Allah cinta mahupun tidak. Sedangkan iman hanya diberikan kepada orang yang Allah cinta".

Oleh yang demikian, nikmat iman ini hanya dianugerahkan kepada mereka yang Allah SWT kasihi dan cintai. Ini bermakna, bukan calang-calang mereka yang diberikan nikmat keimanan ini melainkan dengan kasih sayang Allah kepadanya. Beruntunglah bagi mereka yang sehingga kini dapat merasai nikmat iman kepada Allah dan mudah-mudahan nikmat ini kekal selamanya hingga kita dijemput pulang ke negeri kekal abadi.

Dalam pada itu, keimanan kita kepada Allah SWT akan mendorong diri kita untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT yang disebutkan sebagai amar makruf dan nahi mungkar. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

"Dan jadilah sebahagian daripada kamu suatu umat yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan".




Berdasarkan firman tersebut, tugas utama yang dipikul oleh setiap manusia yang beriman kepada Nya, iaitu mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Dua kompenen terpenting ini, amar makruf (mengajak berbuat baik) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) merupakan tanda dan bukti kita cinta dan kasih kepada Allah SWT.

Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Iqtida' al-Sirat al-Mustaqim, perkataan makruf (kebaikan) adalah satu nama yang mencakupi segala yang dicintai oleh Allah, berupa iman dan amal soleh. Perkataan munkar (maksiat) pula adalah satu nama yang mencakupi segala yang dilarang oleh Allah SWT. Demikian pula Al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya Mufradat fi Gharib al-Quran, beliau menyatakan bahawa makruf itu adalah satu nama bagi setiap perbuatan yang diketahui kebaikannya oleh akal atau syariat, sedangkan munkar adalah apa yang diingkari oleh keduanya.

Berdasarkan definisi ini, dapat kita fahami bahawa tugas seorang muslim yang beriman kepada Allah, tidak sekadar merangkumi urusan mengajak diri dan para manusia untuk berbuat baik semata-mata malah sebaliknya kita juga perlu melarang, menghalang atau mencegah diri dan para manusia yang lain daripada melakukan kemungkaran. Secara tidak langsung, keimanan yang sebenar bukan sekadar menunaikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Tetapi keimanan yang sebenar juga harus dibuktikan dengan tindakan kita melarang, mencegah atau menghalang sesuatu hal kemungkaran itu berlaku.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat akan kemungkarab maka hendaklah dia mengubah (yakni menghalang) dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya (perkataan), sekiranya dia masih tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman".

Berdasarkan hadith ini, telah terang lagi bersuluh akan kewajiban kita sebagai orang beriman untuk menolak dan menentang segala kemungkaran dan kebatilan dalam segenap kehidupan. Dengan apa jua cara sekalipun, melalui kuasa yang kita miliki, jika tidak mampu, kita gunakan kaedah memberi amaran atau menasihatinya untuk tidak berbuat lagi. Namun jika kita tidak mampu juga, maka bencilah akan kemungkaran itu dengan hati yang beriman dan hal itu adalah selemah-lemah iman.




Mencegah kemungkaran merupakan tanggungjawab kita bersama. Tanpa mengira apa jua situasi dan keadaan, kita memikul tanggungjawab itu. Misalnya dalam sebuah institusi kekeluargaan, seorang bapa yang beriman tidak cukup sekadar rajin ke masjid menunaikan solat, tidak sekadar bersedekah dan sebagainya, tetapi seorang bapa yang beriman juga bertanggungjawab melarang anak isterinya dariapda melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Wajib menegur anak isteri menutup aurat, mengingatkan mereka akan kewajiban solat dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan berjiran pula, apabila kita melihat sesuatu kemungkaran seperti jenayah dadah, percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram dalam satu rumah, keganasan rumahtangga dan seumpamanya lagi, maka kita perlu bertanggungjawab dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa. Dengan tangan kita, hubungi pihak berkuasa. Berikan maklumat sewajarnya dan bersedia menghulurkan kerjasama bagi memudahkan urusan. Bukannya berdiam diri dan tidak ambil peduli.

Ingatlah peringatan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Ibnu Mas'ud, bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah pada salah satu umat sebelumku melainkan dia mempunyai pengikut setia dan orang-orang yang mengambil sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian setelah itu, datang generasi-generasi yang mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa melawan mereka dengan tangannya, dia orang mukmin. Sesiapa yang melawan mereka dengan lisannya, dia orang mukmin. Dan sesiapa yang melawan mereka dengan hatinya, dia orang mukmin. Dan di belakang itu, tidak ada iman sebesar biji sawi pun".

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahwa mencegah, menghalang atau melarang sesuatu kemungkaran itu daripada berlaku sama ada dengan cara menggunakan tangan, lisan mahupun hati, ia adalah tanda orang yang beriman. Sebaliknya, jika kita tidak berbuat apa-apa, berdiam diri dan berpeluk tubuh sahaja, maka tidak adalah iman walau sebesar biji sawi dalam diri kita. Ini bermakna, adalah besar maknanya sekiranya kita dapat melaksanakan tugas nahi mungkar ini. Ia berkait rapat dengan keimanan kita kepada Allah.

Demikianlah kehidupan sebagai seorang muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Kerja dan tugas kita tidak sekadar menyeru orang berbuat baik, tidak cukup sekadar kita mendirikan solat, bersedekah semata-mata. Dalam masa yang sama, kita perlu memastikan kemungkaran dan kebatilan tidak bermaharajalela dan merosakkan umat. Kemungkaran bukan sekadar dalam ibadah, juga dalam soal akidah kita. Kita wajib menolak sebarang kebatilan dalam kehidupan kita. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan