Sebenarnya
dari kejauhan sanubari kebanyakkan manusia pada hari ini sudah kecewa, letih
dan penat melihat perkembangan politik semasa. Tidak kira di mana pun tempat di
seluruh dunia ini, umat manusia sentiasa berperang memperjuangkan agenda
politik masing-masing. Umpama suci dalam debu, sukar untuk dinilai siapa yang
benar dan siapa yang salah. Lebih dasyat lagi, sebahagian mereka menunggang
agama bagi membenarkan apa sahaja kepercayaan dasar politik mereka.
Kita
seringkali mendengar keluhan dikalangan masyarakat yang kecewa dengan politik
hari ini menyebutkan perkataan seperti "berhentilah berpolitik",
"politik memecah belahkan umat", "sudah-sudahlah main
politik" dan seumpamanya. Sekiranya benar berpolitik ini membawa
kepada kebinasaan umat manusia, memecah belahkan rakyat dan merugikan ramai
pihak, maka mengapa Islam mengajar kita untuk berpolitik ? Tidak kah berpolitik
itu sia-sia, lalai dan membawa perpecahan semata-mata ? Keserabutan ini timbul
dek kerana kita sebenarnya gagal untuk memahami makna dan kerangka sebenar
politik.
Perkataan
"politik" adalah berasal daripada kata akar polis yang asalnya
di ambil dari bahasa Greek. Polis menurut bahasa Greek bermaksud negara, kota
dan kemajuan. Secara literalnya, politik membawa maksud suatu ilmu pengetahuan
berkenaan cara pemerintahan, dasar-dasar kerajaan, ilmu berkaitan hidup
bernegara dan seumpamanya. Dalam kesempurnaan agama Islam, perbincangan
berkenaan politik juga dibincangkan dan dibahaskan menurut syarak dibawah
bidang fiqh. Perbahasan berkenaannya disebutkan dengan pelbagai nama seperti al-Siyasah
al-Syar'iyyah, Fiqh al-Siyasah, al-Ahkam al-Sultaniyyah dan
lain-lain.
Istilah
politik ini telah dipopularkan oleh Plato dan anak muridnya Aristotle. Plato
menerusi karya agungnya, Republic atau tajuk asalnya Politea telah membahaskan
berkenaan politik itu sendiri. Dalam karya tersebut, beliau juga membincangkan
tentang sifat ahli politik. Kemudiannya perkataan politikos ini diterjemahkan
ke dalam bahasa Latin sebagai politikus. Dalam Islam, politik juga disebutkan
dengan beberapa istilah lain selari menurut syariat Islam seperti al-Khilafah,
al-Imamah, al-Qiyadah, al-Riyasah dan al-Siyadah.
Islam
sangat menuntut umatnya untuk berpolitik bagi tujuan mengurus hal ehwal dan
memimpin umat, mempertahankan agama dengan menjalankan hukum syariat, sekaligus
membawa rahmat kepada sekalian umat manusia. Kewajiban melantik pemimpin untuk
menguruskan hal ehwal umat adalah penting dan menjadi keutamaan bagi umat
Islam. Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam
sebuah hadith riwayat Ahmad, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Tidak
harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang
(bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai
pemimpin".
Kata
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitab al-Hisbah : "Kalaulah
diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling
sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah
peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai".
Tokoh
sejarawan Islam, Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah menyatakan
bahawa melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui
dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat ketika
wafatnya baginda Nabi, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA
dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan
perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik
pemimpin.
Selain
itu, bagi menunjukkan betapa pentingnya kita melantik pemimpin bagi menjalankan
fungsi politik, iaitu menguruskan hal ehwal umat manusia, Imam Mawardi, antara
tokoh yang seringkali dijadikan rujukan oleh gerakan politik Islam berkenaan
penulisannya dalam soal politik, beliau pernah menyatakan dalam kitabnya al-Ahkam
al-Sultaniyyah, bahawa imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti
kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.
Secara
asasnya, tuntutan berpolitik itu sangat penting dan mustahak melantik pemimpin
bagi memastikan hal ehwal umat manusia terjaga dan terpelihara. Dengan
berpolitik, pemimpin yang dilantik dan dipilih bukan sahaja bertanggungjawab
menguruskan hal ehwal umat manusia seperti aturan jalan raya, percukaian dan
sebagainya bahkan beliau sendiri bertanggungjawab memelihara agama Islam.
Sekiranya pemimpin yang dilantik tidak berpegang dengan asas agama, maka
runtuhlah sesebuah umat tersebut.
Seperti
kata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Iqtisad fi al-I'tiqad, beliau
menyatakan bahawa :
"Agama
itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada
asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya
akan menjadi hilang".
Namun
begitu, amat malang sekali, apabila politik yang pada dasarnya menjadi wadah
untuk mengurus umat bertukar menjadi alat untuk kepentingan peribadi. Dunia
politik hari ini yang majoritinya bersistemkan demokrasi, diragut dan dicabul
oleh tangan-tangan ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Demokrasi yang
pada asasnya tidak bercanggah dengan syarak, kini dirobek prinsipnya oleh
mereka yang tidak bertanggungjawab, menunggang politik demi keuntungan
tertentu. Maka hasilnya, episod perebutan kuasa, tikam-menikam dari belakang,
korupsi, politik murahan dan jijik terus menjadi tatapan kita yang semakin jauh
dengan makna sebenar berpolitik.
Inilah
bahana apabila sebahagian dari kita telah memperalatkan politik demi mengaut
keuntungan untuk kepentingan tertentu. Lebih menjengkelkan lagi, bukan setakat
politik yang diperalatkan, malah agama juga ditunggangi dan hasilnya terbitlah
fatwa-fatwa politik demi menghalalkan apa yang pada mereka benar dan
mengharamkan apa yang pada mereka salah. Tidak lagi berpegang kepada wahyu
Allah SWT. Kemelut politik yang dilihat hari ini bukanlah cerminan sebenar
berpolitik dalam Islam. Sebahagiannya telah disalah fahami dan sebahagiannya
lagi telah ditunggangi oleh mereka yang cerdik pandai pak pandir.
Oleh
yang demikian, umat manusia perlu lah sedar akan kebobrokan acuan politik hari
ini dan bangkitlah untuk memperbetulkannya kembali. Adalah perlu bagi mereka
yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan politik ini wajar dipertahankan.
Kancah politik hari ini benar-benar memerlukan transformasi politik, perlu
kepada usahanya yang lebih segar dan matang, mesti dipupuk budaya sihat
berpolitik, tidak lagi sekadar retorik dan janji. Bukan lagi sekadar laungan di
bibit mulut semata-mata.
Buya
Hamka pernah berpesan : "Tugas kita bukanlah untuk berhasil, tugas kita
adalah untuk mencuba kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan kesempatan
untuk berhasil". Maknanya, sekiranya umat manusia yang kecewa dengan
politik hari ini, memboikot dan menolak politik, tanpa berusaha untuk
memperbaikinya, maka sedarlah bahawa tanpa kita berusaha memperbaikinya, kita
tidak akan menemui politik yang sihat lagi. Teruskan berusaha memperbetulkan
semula politik ini dengan kemampuan yang ada. Semoga Allah merahmati kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan