Khamis, 30 Jun 2022

KEUTAMAAN IBADAH KORBAN : DALAM ATAU LUAR NEGARA ?

 

Ibadah korban atau disebutkan dalam bahasa Arab sebagai al-Udhiyyah adalah berasal daripada perkataan al-Dhuha (waktu matahari naik). Ini kerana ibadah korban menyembelih bintang ternakan biasanya dilaksanakan pada waktu pagi. Dari sudut pandangan syarak pula, perkataan al-Udhiyyah merujuk kepada binatang yang disembelih dengan tujuan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT pada hari raya pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik iaitulah pada , 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Pensyariatan ibadah korban ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 36 yang bermaksud :

"Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir dan miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu ; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu..."

Juga firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud :

"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)".

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA :

"Rasulullah SAW melakukan ibadah korban dengan menyembelih dua ekor kambing yang berwarna putih bercampur dengan sedikit hitam dan bertanduk. Baginda menyembelih kedua-dua ekor kambing itu dengan tangan baginda sendiri, membaca basmalah, bertakbir dan meletakkan kedua kakinya ke atas dua lembaran tengkuk binatang yang disembelih itu".




Saban tahun, kita akan dapati terdapat pelbagai tawaran dan pakej ibadah korban yang disediakan oleh beberapa organisasi, syarikat mahupun persendirian. Ada pakej terendah ibadah korban yang akan dilakukan di luar negara seperti di Afrika, Kemboja dan selainnya. Berdasarkan pelbagai tawaran yang sedia ada ini, timbul persoalan apakah sah ibadah korban yang dilakukan di luar negara ? Apa sudut pandangan syarak dalam hal ini dan apakah nilai keutamaan yang harus kira pertimbangkan agar ibadah korban kita ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Dalam hal ini, kita akan dapati beberapa pandangan oleh para imam mazhab dan pendokongnya yang membahaskan tentang isu pelaksanaan ibadah korban di luar kawasan atau di luar negara. Beberapa pandangan para imam mazhab yang empat ini rata-ratanya bersepakat menyatakan bahawa melaksanakam ibadah korban di kawasan sendiri adalah lebih utama dan baik berbanding dilaksanakan di luar kawasan. Namun begitu, beberapa syarat diletakkan bagi membenarkan ibadah korban dilaksanakan di luar kawasan kita.

Pandangan pertama di sisi mazhab Hanafi, adalah makruh dipindahkan ke luar kawasan kecuali jika disebabkan ada kerabatnya di sana atau yang lebih memerlukan. Di sisi mazhab Hanafi, tidak menggalakan ibadah korban di lakukan di luar kawasan. Namun, hal tersebut dibenarkan sekiranya ada keperluan yang lebih utama bagi membantu saudara yang lebih memerlukan.

Pandangan kedua, pada sisi pandang mazhab Maliki pula, mereka berpandangan bahawa tidak harus dipindahkan sembelihan ke luar kawasan yang melebihi jarak musafir, kecuali jika ada orang yang tinggal di luar kawasan tadi tersangat memerlukan maka bolehlah sebahagian besar dipindahkan dan berbaki sedikit di kawasannya sahaja.




Pandangan ketiga, menurut mazhab al-Syafie dan Hanbali, hukumnya adalah harus untuk memindahkan ibadah korban ke luar kawasan yang tidak melebihi jarak musafir. Pada masa sama, terdapat sebahagian ulama dari kalangan dua mazhab ini mengharamkan memindahkannya jika lebih dari jarak musafir. Perkara ini dapat dilihat dalam kitab al-Majmu' yang dikarang oleh Imam al-Nawawi, beliau menyatakan bahawa sememangnya terdapat dua pandangan dalam hal ini. Imam al-Mawardi menyatakan tiada halangan untuk dipindahkan. Sebaliknya, Imam al-Ramli pula berpandangan tidak harus dengan menggunakan kaedah qiyas kepada haramnya dipindahkan zakat lebih dari jarak musafir.

Demikian beberapa pandangan mazhab yang empat membincangkan berkenaan pelaksanaan ibadah korban di dalam dan luar negara atau kawasan. Berdasarkan ke semua pandangan ini, jelas bagi kita adalah diharuskan untuk melakukan ibadah korban di luar kawasan atau di luar negara dengan syarat mereka yang berada di luar kawasan tersebut dinilai sebagai sangat memerlukan daging korban. Ini bermakna, keadaan akan mengikat hukum bagi menilai keperluan saudara-mara kita disana. Bukan semata-mata kerana harga dan nilaian korbannya murah dan kos lebih rendah.

Selain itu, sebahagian para ilmuan kontemporari seperti Syeikh Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Shanqiti, tokoh muslim dari Afrika, beliau berpandangan ibadah korban di luar negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadah korban. Namun begitu, beliau juga berpandangan yang lebih utama dan terbaik adalah dengan melakukan ibadah korban di kawasan tempat tinggalnya. Begitu juga Dr. Nazim al-Misbah, seorang ilmuan dari Kuwait. Beliau sendiri menolak pandangan yang menyatakan ibadah korban di luar negara adalah sama dengan sedekah biasa.

Pada konteks di Malaysia pada hari ini, kita boleh merujuk keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-66 yang telah bersidang pada 25 November 2004, menyatakan bahawa harus mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain. Oleh yang demikian, berdasarkan pandangan yang dinyatakan ini, dapat kita simpulkan bahawa adalah lebih baik dan lebih utama bagi kita melaksanakan ibadah korban di negara atau tempat kita sendiri. Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya dilaksanakan di luar negara. Semoga Allah memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan