Membela
haiwan seperti kucing, arnab dan seumpamanya merupakan salah satu perbuatan
yang baik lagi mulia di sisi agama Islam. Sebahagian masyarakat menjadikan hal
itu sebagai hobinya membela haiwan, memberi makan minum dan menyediakan
keperluan asas yang sewajarnya untuk haiwan peliharaannya. Tanpa kita sedari,
membela haiwan dengan memberi makan minum termasuk dalam bab melakukan ihsan
(berbuat baik) sesama makhluk. Sepertimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith
riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya
Allah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu".
Malah,
dalam hadith yang lain, terdapat kisah dimana seorang pelacur diberikan
keampunan oleh Allah dan diganjari balasan syurga hanya kerana beliau
menghilangkan dahaga seekor anjing.
Dalam
sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
seorang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga
pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan,
lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi
pengampunan segala dosanya".
Berdasarkan
hadith tersebut, sesungguhnya betapa besar dan hebatnya balasan serta ganjaran
yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba Nya yang disisi manusia, barangkali
perempuan pelacur itu neraka lah tempat kembalinya. Namun begitu, dek kerana
sikap ihsan terhadap anjing tersebut, Allah telah mengampuninya dan
memasukannya ke dalam syurga Allah, nikmat yang tidak terperi indah dan bahagianya
apabila dapat masuk syurga Nya.
Dikalangan
para sahabat baginda Nabi SAW, terdapat seorang sahabat Nabi yang bernama
Abdul Rahman bin Sakhr al-Dhawsi yang sangat sukakan kucing. Sehingga beliau
diberi gelaran sebagai "Abu Hurairah" (Bapa Kucing). Dalam satu
riwayat daripada 'Ubaidillah bin Abi Rafi' yang bermaksud :
"Aku
bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu diberi gelaran dengan Abu
Hurairah ?" Lalu beliau menjawab : "Aku dahulu memelihara kambing
milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada
waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku
membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai
memberi gelaran kepadaku sebagai Abu Hurairah".
Walaupun
begitu, perbuatan membela dan menjaga haiwan yang pada asalnya menjanjikan
kebaikan yang banyak, kadang-kala boleh mengundang dosa dan kemurkaan Allah
SWT. Ini kerana kecuaian dan pengabaian kita terhadap penjagaan haiwan sehingga
boleh mengundang rasa ketidakselasaan jiran tetangga, membawa kepada keadaan
yang tidak tenteram, menyusahkan orang ramai dan sebagainya. Lebih parah lagi,
apabila tuan empunya haiwan tersebut tidak mempedulikan soal kesihatan haiwan
belaannya yang boleh mengundang penyakit berjangkit.
Perbuatan
membela haiwan dan berlaku sikap ihsan terhadap haiwan belaan tersebut sangat
dipuji dan dimuliakan oleh Islam. Namun berpijak di bumi realiti, sebahagian
kecil yang tidak bertanggungjawab, membiarkan haiwan belaan mereka membuang
najis di merata tempat sehingga menggangu jiran, mencemarkan udara dengan bauan
najis yang tidak menyenangkan, keadaan ini telah mengheret kita ke lembah dosa
dan kebinasaan.
Dalam
hal ini, baginda Nabi SAW mengingatkan kita menerusi sebuah hadith riwayat
Muslim, diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
Tidak
akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan
gangguannya".
Baginda
Nabi SAW telah memberi peringatan kepada kita agar tidak melakukan sebarang
perkara yang boleh membawa kepada rasa tidak senang, terganggu dan rasa tidak
selesa akibat perbuatan kecuaian kita memelihara haiwan. Adalah menjadi sikap
muslim yang sejati, apabila kita menjadi jiran yang baik, tidak menyusahkan
jiran bahkan berperibadi baik sesama jiran. Sepertimana yang telah disebutkan
dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang
bermaksud :
"Dan
jadilah jiran yang baik kepada jiran kamu, maka kamu akan menjadi muslim
sejati".
Kita
sebagai tuan empunya haiwan peliharaan, seharusnya bertanggungjawab atas segala
perihal membabitkan haiwan peliharaan kita. Termasuklah soal makan dan minum,
tempat bermain, tempat membuang najis dan segala keperluan perubatan yang
diperlukan bagi memastikan haiwan pelihraan kita berada di tahap yang sihat,
aktif dan cergas. Alangkah sedihnya, melihat sikap tidak bertanggungjawab
terhadap haiwan peliharaanya, tidak mempedulikan soal-soal tersebut. Sikap
sedemikian sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Ada
sebilangan kecil manusia yang tidak berhati perut, mengurung haiwan dengan
tidak memberikan makan dan minum, membiarkan haiwannya dalam keadaan tidak
sihat dan berpenyakit, bahkan ada yang melepaskan keluar haiwannya untuk
mencari makanan di luar. Sehingga ada ketikanya, haiwan tersebut memasuki rumah
jiran, mengambil makanan dengan cara mencuri. Hendak di marah haiwan tersebut,
mereka tidak berdosa. Tidak punyai akal untuk menimbang baik buruk sesuatu
perkara. Namun, tuan empunya haiwan itulah yang harus dihukum kerana
ketidakpedulian soal keperluan haiwan peliharaannya.
Sikap
begini pernah disebutkan oleh baginda Nabi SAW menerusi sebuah hadith riwayat
Muslim, diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Seorang
wanita dimasukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya,
tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas
muka bumi".
Adalah
menjadi tanggungjawab tuan empunya haiwan tersebut untuk memberikan makan dan
minum. Sekiranya seseorang yang membela haiwan tersebut, gagal atau tidak
melakukan tanggungjawabnya terhadap haiwan tersebut, maka sudah tentu neraka
lah tempat kembalinya di negeri akhirat kelak. Pastinya, kita yang mempunyai
hobi dan minat membela haiwan peliharaan, tentu sekali tidak mahu masuk ke dalam
neraka disebabkan kecuaian kita sendiri. Daripada hobi dan minat akan tersebut,
boleh mengundang murka Allah SWT sekiranya kita tidak menjaga dengan baik.
Oleh
yang demikian, memelihara haiwan peliharaan mestilah dijaga dengan baik dan
sempurna agar kelak kita tidak diheret masuk ke dalam neraka. Jangan pernah
sesekali membiarkan hobi dan minat kita itu sebagai jalan bagi kita menuju ke
neraka jahanam. Umumnya ketahui, bukanlah menjadi satu kesalahan menjaga dan
memelihara haiwan yang kita sayangi. Namun ianya mestilah hadir dengan rasa
kebertanggungjawaban, menguruskan dengan baik supaya tidak mendatangkan ancaman
dan bahaya pada orang lain. Semoga Allah memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan