Penciptaan
manusia adalah kombinasi dua elemen terpenting. Elemen-elemen tersebut apabila
dicantum dan digabungkan, maka ianya akan menghasilkan sifat manusia yang
sempurna yang terdiri daripada zahir dan batin. Elemen tersebut adalah jasad
dan roh. Tanpa salah satu elemen tersebut, maka tidak sempurnalah sesuatu
ciptaan itu. Mudahnya, jasad tanpa roh tidak boleh melakukan apa-apa
pergerakan. Sebaliknya, roh tanpa jasad juga tidak dapat menzahirkan diri
manusia yang sebenar.
Menurut
seorang ulama al-Azhar, Syeikh Dr. Muhammad al-Musayyar, dalam sebuah penulisan
beliau yang bertajuk "Roh Menurut Perbahasan Ulama Kalam & Ahli
Falsafah", perkataan Tanasukh membawa erti berulang-ulang dan pusingan
sehingga tiada penamat. Manakala perkataan al-Arwah pula merupakan kata jamak
(plural) kepada makna roh. Dalam falsafah Greek, konsep ini disebutkan sebagai
Metempsychosis yang membawa maksud pemindahan roh dan kelahiran semula roh
selepas mati.
Secara
ringkasnya, kepercayaan Tanasukh al-Arwah ini adalah kepercayaan bahawa roh
manusia boleh berpindah-pindah dari seseorang kepada seseorang yang lain. Ini
bermakna tidak ada kiamat dan hari akhirat. Hakikatnya, Idea-idea kepercayaan
yang dibina dalam kepercayaan ini secara tidak langsung telah mengajar umat
manusia untuk menolak akan adanya hari kiamat dan akhirat.
Kepercayaan
Tanasukh al-Arwah ini sangat mirip dengan konsep Reinkarnasi (lahir semula)
yang telah dipelopori oleh agama selain Islam. Antaranya agama Hindu, Buddha
dan Sikh. Konsep yang sama namun pembawakannya dibaluti dengan cara islamik.
Tanasukh al-Arwah ini digubah menjadi mesra islamik oleh Syiah Hasyimiah. Bagi
Syiah Hasyimiah, mereka percaya bahawa roh boleh berpindah dari jasad ke jasad
yang lain. Lebih berbahaya, mereka juga mempercayai bahawa roh Allah juga
bertanasukh (berpindah) masuk ke jasad para imam mereka. Juga kepercayaan ini
telah meresap masuk ke dalam ajaran sesat Qadiani.
Fahaman
Tanasukh al-Arwah yang dipelopori oleh golongan Syiah Hasyimiah dan ajaran
Qadiani tidak jauh bezanya dengan konsep Reinkarnasi (kelahiran semula) dan
hukum karma yang dipelopori oleh agama lain. Menurut kamus Dewan, perkataan
reinkarnasi membawa maksud penjelmaan kembali makhluk yang telah mati (mengikut
sesetengah kepercayaan). Karma pula membawa maksud semua perbuatan manusia
sewaktu hidupnya di dunia. Secara mudahnya, kepercayaan ini mempunyai persamaan
dengan apa yang difahami oleh agama lain melalui konsep Reinkarnasi dan karma.
Dalam
sejarah agama dunia, kepercayaan reinkarnasi dan karma ini terdapat dalam
banyak ajaran agama dunia lain seperti Zoroaster, Hindu, Buddha dan Sikh. Namun
begitu, setiap kepercayaan yang dianuti oleh agama tersebut diolah dan digubah
mengikut aturan agama masing-masing. Oleh kerana itu, kita akan mendapati
pelbagai penggunaan istilah dan ritual yang berbeza namun membawa asas konsep
yang sama iaitu yang disebut Reinkarnasi dan karma.
Dalam
kepercayaan agama Zoroaster, iaitu sebuah agama monoteisme kuno yang wujud di
Iran, mereka percaya bahawa apabila seseorang itu sudah mati, roh si mati akan
kekal di sisi mayat selama tiga hari dan tiga malam. Dalam tempoh ini, semua
tindakan dan kesalahan yang dilakukan sewaktu masih hidup akan ditayangkan
kepada roh si mati. Jika didapati si mati berat ke arah dosa, maka roh tersebut
akan dihumban ke neraka. Tetapi setelah selesai tempoh menjalani hukuman, si
mati akan dibangkitkan semula.
Bagi
agama Hindu pula, mereka percaya bahawa jasad akan musnah tetapi roh akan
bersifat kekal abadi. Oleh itu, sewaktu pada hari pembalasan, setiap roh
manusia akan dibalas mengikut amal perbuatan mereka ketika di dunia. Mereka
yang telah mati akan menerima balasan sama ada balasan berupa
"Samsara" atau "Mokhsha". Balasan Samsara bermaksud balasan
penerimaan roh ke dalam jasad makluk yang lebih rendah seperti haiwan sebagai penyeksaan.
Manakala balasan Moksha pula bermaksud balasan penetapan roh kepada tahap yang
lebih tinggi sebagai balasan baik.
Demikian
juga kepercayaan bagi agama Buddha. Ianya merupakan pecahan daripada agama
Hindu. Bagi mereka, jika seseorang itu ketika di dunia melakukan perbuatan
baik, maka karmanya juga baik, ianya berpotensi untuk dilahirkan kembali dengan
kelahiran yang lebih baik. Begitu juga sebaliknya, jika ketika di dunia
melakukan perbuatan jahat, maka karmanya juga jahat, ianya berpotensi untuk
dilahirkan kembali dengan kelahiran yang lebih jahat.
Agama
Sikh pula, menurut Dr. Ghazali Bin Basri dalam sebuah penulisan buku beliau
yang berjudul Ilmu Perbandingan Agama Suatu Pengenalan, beliau menyatakan
bahawa ajaran agama Sikh banyak dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu. Berdasarkan
kenyataan ini, maka tidak peliklah kita akan temui dalam ajaran mereka tentang
kepercayaan Samsara sama seperti kepercayaan agama Hindu. Bagi mereka, apabila
seorang guru mati, roh tersebut akan berpindah kepada guru yang berikutnya.
Sudah
jelas bagi kita, kepercayaan roh hidup semula ini adalah bercanggah dan
bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Sebagai umat Islam, kita berkewajiban
menolak dan menentang sebarang usaha untuk menerima kepercayaan karut seperti
ini daripada membarah dalam minda umat Islam. Dalam sebuah hadith riwayat
Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
pandangan orang yang meninggal itu mengikut jiwanya ketika dia meninggal
dunia".
Hadith
ini menjelaskan kepada kita semua bahawa tidak ada konsep berpindah roh atau
roh hidup semula di dalam Islam. Orang yang telah meninggal dunia, dirinya akan
dipandang berdasarkan apa yang ada dalam dirinya. Tidak ada kehidupan semula di
dunia melainkan dihidupkan semula di negeri akhirat. Dalam hal ini juga, Allah
Azza Wa Jalla berfirman dalam surah Ath-Thuur ayat 21 yang bermaksud :
"Dan
Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka ;
tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya"
Berdasarkan
firman tersebut, jelas kepada kita bahawa setiap yang bernyawa pasti akan
dihitung oleh Allah tanpa dikurangkan walau sedikit. Allah SWT tidak akan
membebani hamba yang lain untuk menanggung beban hamba yang lain. Oleh yang
demikian, tidak ada istilah roh berpindah atau roh hidup semula di jasad orang
lain seperti yang didakwa oleh sebahagian orang. Kepercayaan tersebut secara
terangnya telah menyanggahi syariat Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan