Jumaat, 24 Jun 2022

TAUFIQ DAN HIDAYAH ; MAKNA DAN PEMAHAMANNYA

Kebiasaan dikalangan orang Islam, ada yang berdoa dengan mengungkapkan ucapan semoga diberikan taufiq dan hidayah. Mungkin kita juga pernah mendengar dalam ucapan atau tazkirah oleh mana-mana ilmuan yang mengungkapkan lafaz taufiq dan hidayah ini. Tidak kurang juga, lafaz ini digunakan di akhir sesi ceramah para ilmuan yang mengajar agama.

Bagi memahami makna disebalik perkataan taufiq dan hidayah ini, para sarjana Islam telah memberikan beberapa pengertian berkenaannya. Dalam al Quran, Allah SWT telah merakamkan kata-kata Nabi Syu'aib menerusi surah Hud ayat 13. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah"



Menurut Syeikh al-Maraghi ketika memberikan definisi berkenaan lafaz taufiq, beliau menyatakan dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghi :

"Taufiq membawa maksud kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, disamping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah semata-mata".

Dalam pandangan lain, Imam Ibnu al-Qayyim pula menyatakan bahawa taufiq itu ialah iradat Allah yang datang dari Nya sendiri terhadap hamba Nya yang melakukan yang baik, diberinya keizinan untuk melakukan perbuatan yang diredhai Nya, di dorong oleh kecintaan kepada Nya. Dengan kata mudah, taufiq merupakan kurniaan Allah kepada para hamba Nya, mengurniakan kekuatan dan kemampuan untuk melakukan perkara kebaikan.

Begitu juga dalam kitab Jauharah Tauhid yang dikarang oleh Allamah Syaikh Ibrahim al Laqani, dinyatakan bahawa taufiq merupakan sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya. Berdasarkan beberapa pengertian dan definisi ini, dapat kita fahami bahawa taufiq merupakan suatu pemberian Allah yang diberikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh beribadah, tunduk dan berserah pada Nya.

Seperti firman Nya dalam surah al Ankabut ayat 69 yang bermaksud :

"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha di dalam agama Kami, nescaya Kami akan memberi petunjuk kepada mereka akan jalan-jalan Kami".



Perkataan hidayah atau petunjuk pula boleh difahami dengan empat tingkatan. Sebagaimana yang telah dibahaskan para sarjana Islam antaranya oleh al Raghib al Asfahani menerusi kitab al-Mufradat fi Gharib al Quran. Dalam perbahasan mengenai hidayah, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya hidayah itu mempunyai empat tingakatan.

Pertama, hidayah umum, iaitu hidayah yang diberikan oleh Allah kepada setiap mukallaf berupa kecerdasan akan dan sejumlah pengetahuan asas. Kedua, hidayah yang berupa seruan Allah terhadap manusia melalui perantaraan Rasul. Ketiga, hidayah taufiq, iaitu hidayah Allah yang diberikan kepada semua manusia yang dapat membawanya kepada kebahagiaan dan yang keempat, hidayah Allah kepada hamba Nya sehingga di akhirat, dia memperoleh syurga.

Dalam kitab Miftah Dar al-Sa'adah, Imam Ibnu Qayyim juga menyatakan hal yang sama. Beliau turut membahagikan hidayah kepada empat bentuk iaitu hidayah umum, hidayah penjelasan dan pentunjuk, hidayah taufiq dan ilham dan yang terakhir hidayah di akhirat menuju ke syurga atau neraka. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al A'raf ayat 43 yang bermaksud :

"Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiq Nya)".

Syeikh al Maraghi pula menyatakan hidayah mempunyai empat bentuk iaitu pertama, hidayah ilham, iaitu dalam bentuk naluri yang dibawa setiap manusia sejak lahir. Misalnya seperti bayi yang baru lahir namun pandai menghisap susu meskipun tidak pernah diajar. Kedua, hidayah al-Hawas (pancaindera) iaitu berupa pendengaran, penglihatan dan seumpamanya. Ketiga, hidayah al-Aql atau disebut petunjuk akal yang berupa kemampuan akal untuk berfikir. Keempat, hidayah al-Din wal Syarak (petunjuk agama dan syariat). Hidayah ini berupa wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi melalui perantaraan malaikat.



Dalam hal ini, baginda Nabi SAW tidak berupaya untuk memberikan hidayah kepada sesiapa pun bahkan kepada ahli keluarga sekalipun. Ini kerana, hidayah adalah kuasa mutlak Allah, yang pada Nya lah berkehendak untuk memberi atau sebaliknya tidak memberi. Perkara ini seperti firman Allah SWT dalam surah al Qasas ayat 56, yang bermaksud :

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk sesiapa yang dikehendaki Nya, (menurut undang-undang peraturan Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)".

Imam Ibn Katsir dalam kitabnya Tafsir al Quran al-A'zim menyatakan bahawa hidayah bukan urusan baginda Nabi. Tetapi kewajiban baginda Nabi SAW hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendakinya. Selain itu, kita juga boleh melihat bagaimana usaha dakwah Nabi Nuh terhadap keluarga dan kaumnya, baginda Nabi Nuh sendiri pun tidak memiliki kuasa untuk memberikan hidayah.

Berdasarkan semua ini, dapat kita fahami dengan mudah bahawa taufiq itu berupa hidayah yang Allah SWT berikan kepada hamba Nya kekuatan bagi tujuan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan Nya. Perkara ini seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al Nisa' ayat 35 yang bermaksud :

"Dan jika kalian bimbang ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakim dari keluarga lelaki dan seorang hakim dari keluarga perempuan. Jika kedua orang hakim itu mempunyai tujuan untuk perbaikan, nescaya Allah memberi taufiq kepada suami isteri. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".

Demikian makna dan pemahaman sebenar berkenaan taufiq dan hidayah. Melihat kepada makna dan pemahaman sebenar ini, kita akui dengan kelemahan sebagai hamba Nya, tidak dapat tidak, kita sentiasa perlu memohon kepada Allah agar diri kita sentiasa berada di bawah petunjuk hidayah dan taufiq Nya. Pelbagai penyimpangan dan penyelewengan yang berlaku diatas dunia ini, namun dengan hidayah serta taufiq Nya, mudah-mudahan Allah membimbing hidup kita di bawah rahmat Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan