Rasuah
merupakan najis yang membusukkan nama baik diri, bangsa dan negara. Sangat
pahit. Tapi inilah sememangnya hakikat yang perlu kita telan bersama. Istilah
rasuah bagaikan jenayah biasa yang sudah menjadi normalisasi dikalangan
masyarakat. Bahkan, isu gosip artis dan selebriti yang tidak beri sebarang
mudarat pun lebih panas di pasaran berbanding isu rasuah yang mampu meragut
nilai integriti diri dan mencemar nama baik negara, terus dipandang sepi dan
sendu.
Bukan
sedikit dikalangan masyarakat yang tahu dan faham berkenaan hukum-hakam
berkaitan rasuah ini. Di meja-meja ceramah, di corong-corong radio dan
televisyen, semuanya pernah berbicara berkenaan najis rasuah. Namun
berita-berita seperti ini masih kurang diberi perhatian oleh sebahagian
masyarakat malah paradigma yang salah berkenaan rasuah terus tertanam di minda
dengan sangkaan bahawa isu rasuah bukan isu kami orang biasa. Hanya isu orang
atasan. Asalkan tidak mengganggu periuk nasi kami sudah. Inilah antara corak
faham masyarakat kita apabila kita berbicara soal najis rasuah.
Sewajarnya
kita harus mengubah cara fikir dan pandangan kita berkenaan najis rasuah ini.
Ianya bukan sekadar isu orang atasan, orang korporat atau orang politik, bahkan
hari ini hampir semua sektor pekerjaan sudah berleluasa gejala najis rasuah ini
demi menghalalkan apa yang telah salah di sisi undang-undang. Sebahagiannya
juga demi memuaskan nafsu serakah mencapai kepentingan peribadi. Tanpa kita
sedar, najis rasuah yang sedang membarah di negara kita ini akan mendatang
kesan dan implikasi kepada kita semua, daripada orang bawahan hingga
membabitkan orang atasan.
Dalam
satu kenyataan Prof Syed Hussein al Attas yang diterbitkan oleh Berita Harian
bertarikh 3 April 1986, beliau dengan penuh emosi menyatakan bahawa :
"Kalau
umpamanya kita katakan pemimpin suka makan babi, mudah sekali mereka marah
tetapi kalau kita katakan pemimpin itu mengamalkan rasuah. Marah itu tidak
sekuat seperti makan babi. Nyata sekali bahwa pendapat makan babi itu didorong
oleh perasaan emosi yang kuat tetapi pendapat menentang rasuah tidak didorong
oleh emosi yang kuat. Sebabnya, menentang rasuah itu tidak didorong oleh
perasaan yang kuat ialah kerana umat Islam umumnya sangat dipengaruhi oleh
keadaan runtuh akhlak, dimana nilai-nilai Islam yang penting diabadikan dimana
pemimpin-pemimpin mereka tidak memberi contoh-contoh yang cukup".
Kenyataan
ini pada tahun 1986, telah menjadi realiti yang kita boleh lihat pada hari ini.
Sejak dahulu lagi, sekiranya kita menyebutkan perkataan "babi",
maka dilihat seperti biadap, kurang berakhlak dan sebagainya. Seolah-olah
menyebut babi sahaja, bukan makan, menyebutnya sahaja sudah berdosa dan salah
besar. Padahal, agama tidak melarang kita untuk menyebutnya. Yang dilarang
adalah memakan dan menyentuhnya. Berbeza dengan najis rasuah. Sebutan di mulut
umpama tiada apa serius. Maka, apa hendak dihairankan andai najis rasuah ini
ibarat sudah dihalalkan oleh masyarakat yang tidak prihatin.
Satu
fakta yang harus kita akui kebenarannya adalah masyarakat kita kurang tahu dan
faham berkenaan implikasi dan kesan najis rasuah kepada sistem kehidupan
harian. Inilah antara perkara yang menjadi kekaburan oleh sebahagian
masyarakat. Apa yang dipaparkan di dada akhbar, berita televisyen sekadar
tangkap dan dakwa. Kesan dan akibatnya najis rasuah kepada kehidupan kita,
kurang ditekankan. Biarpun beribu kempen dan jelajah membanteras rasuah
dilaksanakan, berpuluh-puluh akta rasuah digubal sekalipun, apa ada hal dengan
kita. Selagi tidak mengganggu hidup harian kita, apa ada masalah.
Oleh
itu, selain berjuang untuk membanteras najis rasuah ini, kita harus bangkit dan
berjuang untuk menerangkan kepada masyarakat umumnya berkenaan amalan najis
rasuah ini yang sekurang-kurangnya akan menghancurkan nilai-nilai moral
kehidupan, membantutkan proses kemajuan negara dan lebih teruk lagi mampu
memusnahkan masa hadapan negara yang lebih cerah dan tersusun. Biarpun si
pelakunya membabitkan orang atasan, impak dan kesannya turut akan dirasai dan
ditanggung oleh rakyat tidak berdosa ini.
Kita
boleh bagaimana akibat najis rasuah ini mampu meragut kesejahteraan hidup
rakyat yang tidak berdosa ini apabila melibatkan pembangunan infrasktruktur
terpenting dan asas dalam masyarakat seperti pembinaan sekolah, hospital,
kemudahan awam seperti taman permainan, jalan raya berturap dan sebagainya.
Apabila wujud permainan "beri dan terima" ini, maka sudah
tentu nilai projek akan menjadi mahal dan ianya memakan masa bertahun untuk
disiapkan. Angkara tersebut, rakyat sama ada yang saban tahun membayar cukai
tahunan atau tidak, terpaksa menanggung kelembapan pengurusan ini demi
memuaskan kehendak kepentingan pihak tertentu.
Lihatlah
bagaimana siri pendedahan jalan berlubang tidak berturap hingga meragut nyawa
manusia yang tidak berdosa, pembinaan hospital yang dijanjikan hanya tinggal
janji dan menyebabkan kesukaran untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan
kesihatan, kemudahan awam menjadi tempat perosak tanpa diperbaiki, akibat kos
projek yang tinggi dengan diselitkan najis rasuah sebagai habuan, ini semua
sedikit sebanyak menyumbang kepada kehidupan yang tidak sejahtera. Adalah tidak
wajar andai najis rasuah ini masih dipandang remeh dan tidak penting bagi
masyarakat umum.
Hal
tersebut belum lagi kita turun ke padang melihat bagaimana agihan bantuan oleh
pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Pada angkanya sudah berjuta-juta
diumumkan. Mendengar angka bantuan yang jutaan tersebut, mungkin sudah
menyenangkan hati semua pihak. Namun sebahagian keadaan, bagaikan indah khabar
dari rupa. Apabila najis rasuah ini menjadi sebati dalam diri, penerima bantuan
terpilih dikalangan kerabat dan kenalan atau kumpulan tertentu sahaja tanpa
menilai kelayakan penerima. Ada yang menerima bantuan dengan jumlah yang
diterima tidak seperti jumlah yang dinyatakan. Beralasankan kos ini dan caj
itu, kita terus diperbodohkan oleh penajis rasuah.
Demikianlah
misalan dan contoh kesan daripada najis rasuah ini. Seruan kepada masyarakat,
kita harus mengubah anjakan paradigma berkaitan najis rasuah. Harus ditegaskan,
najis rasuah bukan sekadar isu penerima dan pemberi semata-mata. Bukan lagi isu
orang atasan atau bawahan. Tidak semestinya najis rasuah ini diletakkan dibahu
pihak penguasa sahaja, sebaliknya isu najis rasuah ini adalah isu kita bersama.
Masalah ini adalah masalah kita bersama. Tanggungjawab membanteras dan
menentang ini adalah tanggungjawab kita bersama. Mari kita memandang isu rasuah
ini seberat kita menganggap babi yang haram. Semoga Allah menjadikan kita
dikalangan manusia yang beriman dan yang penuh integriti dalam segenap
kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan