Amalan
menziarahi kubur adalah termasuk suatu tuntutan di dalam Islam. Selain itu
juga, Islam sangat menuntut umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara adab
ketika menziarahi kubur. Sekiranya kita menziarahi rumah orang yang masih hidup
pun mesti menjadi adab tatasusila berziarah, apatah lagi menziarahi kubur insan
yang telah pergi meninggalkan kita semua. Berkenaan dengan waktu ziarah, tidak
ada satu pun ketetapan khusus untuk menziarahi pada hari-hari tertentu. Faedah
atau kelebihan menziarahi kubur bukanlah terletak pada hari tertentu.
Sesungguhnya
setiap yang dinamakan syariat Islam itu padanya terdapat tujuan dan hikmah yang
tersendiri. Tujuan Islam menuntut umatnya menziarahi kubur adalah untuk
mengingati akan hakikat kematian sekaligus kita akan ingat pada hari akhirat
kelak. Tujuan atau sebab dituntut menziarahi kubur ini sepertimana yang
disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim,
daripada Abu Hurairah RA dia berkata :
"Nabi
SAW menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga
menangis, kemudian baginda bersabda : "Aku meminta izin daripada Tuhanku
untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan
kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah)
membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada
kematian".
Dalam
hadith lain juga, diriwayatkan oleh Ibn Majah dengan sanad yang sahih, baginda
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Adalah
aku dahulunya menghalang kamu daripada menziarahi kubur, maka (sekarang)
ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan
mengingati akhirat".
Demikianlah
tujuan sebenar Islam menuntut umatnya menziarahi kubur. Berdasarkan hadith
tersebut, tidak ada tujuan yang lebih besar dan bermakna bagi kita semua
melainkan menziarahinya dengan tujuan untuk kita menginsafi akan kekerdilan
diri, mengakui hakikat kehidupan yang sementara ini lantas bertambah keimanan
kita kepada hari yang kekal abadi, hari yang diberikan keadilan mutlak oleh
Allah, iaitulah hari akhirat.
Secara
ringkasnya, asal hukum kubur adalah harus dengan tujuan bagi mengingati
kematian dan negeri akhirat abadi. Meskipun begitu, para sarjana Islam berbeza
pandangan berkenaan hukum wanita menziarahi kubur. Berlaku perbincangan dan
perbahasan yang panjang lebar dikalangan para sarjana Islam kerana
sebahagiannya menyatakan makruh oleh sebab lemah semangat, dibimbangi membawa
kepada amalan meratap, meraung seperti amalan jahiliah terdahulu.
Namun
begitu, al-Hafiz Ibn al-Arabi ketika mensyarahkan hadith riwayat Tirmizi,
beliau menyatakan bahawa :
"Yang
benar adalah Nabi SAW membolehkan menziarahi kubur untuk lelaki dan wanita.
Jika ada sebahagian yang menganggapnya makruh bagi wanita, maka hal itu kerana
lemahnya kemampuan wanita untuk bersikap tabah dan sabar sewaktu berada di
kubur, atau kerana penampilannya yang tidak menggunakan hijab (untuk menutup
auratnya) dengan sempurna".
Amat
malang sekali, apabila amalan menziarahi kubur yang mulia ini dicemari dan
dikotori dengan amalan dan ritual khurafat, syirik dan bid'ah yang padanya
tiada asas dalam agama. Kita boleh lihat pada realitinya, segelintir mereka
yang menziarahi kubur bukanlah bertujuan mengingati mati dan akhirat, bahkan
sebaliknya menjadikan kubur-kubur tertentu yang didakwa kubur wali dan orang soleh,
dijadikan tempat untuk meminta pertolongan. Lebih buruk dan jauh menyimpang,
ada pula yang sehingga menyembah kubur.
Menziarahi
kubur adalah satu perkara yang dituntut dalam agama. Selain itu, satu perkara
lagi yang mesti kita menitikberatkannya adalah amalan-amalan yang dituntut
ketika menziarahi kubur. Terdapat beberapa perkara yang diajarkan oleh baginda
Nabi Muhammad SAW berkenaan amalan ketika menziarahi kubur. Antaranya
memberikan ucapan salam kepada ahli kubur. Hal ini sepertimana yang terdapat
dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah, katanya yang bermaksud :
"Wahai
Rasulullah ! Bagaimana ucapan ketika menziarahi perkuburan ? Jawab beliau :
Katakankah : Selamat sejahtera keatas sekalian penghuni perkuburan ini dari
kaum Mukminin dan Muslimin, dan moga-moga Allah merahmati yang terdahulu
daripada kamu dan yang terkemudian daripada kami, dan kami pula insha Allah
akan menyusul kamu".
Selain
itu juga, kita dituntut ketika menziarahi kubur untuk tidak bercakap kosong
dengan perkataan-perkataan yang batil, yang tidak membawa apa-apa manfaat bagi
kita. Larangan ini sepertimana di dalam sebuah hadith riwayat an-Nasa'ie,
daripada Buraidah yang bermaksud :
"(Dahulu)
aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) siapa yang ingin menziarahi
kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang
batil".
Termasuk
dalam makna perkataan yang batil ini adalah perbuatan meminta tolong kepada
ahli kubur seperti kubur tok wali atau orang soleh. Ungkapan meminta tolong pada
yang mati itu adalah syirik dan khurafat yang mesti ditegah. Dibimbangi, jika
tidak dibendung, lama-kelamaan keadaan seperti ini akan membawa kepada amalan
menyembah kubur dengan kepercayaan keramat tertentu.
Kita
juga dilarang untuk duduk diatas kubur dengan tanpa alasan atau tanpa keadaan
darurat yang dihadapi. Tanpa apa-apa sebab yang munasabah, kita sama sekali
ditegah untuk duduk diatas kubur. Sepertimana yang dinyatakan oleh baginda Nabi
SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Jika
salah seorang kalian duduk diatas bara dan membakar pakaiannya sehingga
membakar kulitnya lebih baik dari dia duduk diatas kubur".
Dalam
kitab Subulus Salam Syarh Bulugh al-Maram, Syeikh Muhammad al-Son'ani
ketika menjelaskan maksud hadtith ini, beliau menyatakan :
"Larangan
ini jelas menyatakan haram duduk diatas kubur. Kata pengarang (iaitu Ibnu Hajar
al-Asqalani) di dalam Fath al-Bari dimana beliau menaqalkan daripada al-Nawawi
: Jumhur menyatakan bahawa duduk diatas kubur adalah makruh".
Adapun
amalan yang lain, kita diharuskan untuk berdoa memohon keampunan kepada Allah
untuk ahli kubur. Kita juga boleh berdoa dengan menggunakan sebarang bahasa
jika kita tidak menghafal doa di dalam bahasa arab. Selain itu, berkenaan
amalan membaca al Quran di tanah kubur, para ulama berbeza pandangan. Namun
begitu, kita dapati tidak ada sebarang petunjuk oleh baginda Nabi SAW menyuruh
kita membaca al Quran. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawasanya tanah
perkuburan bukanlah tempat untuk kita beribadat, tetapi lebih kepada tempat
untuk kita mengingati mati dan akhirat.
Terdapat
lagi perkara yang dituntut ketika kita menziarahi kubur. Antara lain kita
dilarang untuk bersolat menghadap kubur, kita dilarang untuk meratap, meraung
dan mencederakan diri sendiri seperti memukul muka sebagaimana yang pernah
dilakukan oleh kumpulan jahiliah dahulu. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Janganlah
kamu mengerjakan solat dengan menghadap ke kuburan dan janganlah pula kamu duduk-duduk
diatasnya"
Demikianlah
tujuan dan adab-adab yang perlu kita patuhi ketika kita menziarahi tanah
perkuburan. Demi menjaga kesucian dan kemurnian agama yang penuh kehormatan
ini, marilah kita jauhi sebarang bentuk amalan dan ritual yang tidak ditunjuk
atau diajar oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Amalan seperti menyembah kubur
dengan meminta tolong kepada si mati, bergendang sana-sini di perkuburan,
menyanyi atau bernasyid, hendaklah kita tinggalkan kerana semua itu ada
larangan dan tegahan oleh Nabi SAW. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan