Sejak
dari zaman primitif lagi, manusia mempunyai fitrah untuk bersandar harap dan
memohon pertolongan kepada sesuatu unsur yang dianggap mempunyai kuasa
tertentu. Kewujudan alam semesta yang padanya terdapat air, tanah, angin, api
dan lain-lain menjadikan manusia lebih takjub akan adanya unsur tersebut
sehingga pada awal zaman tersebut, unsur-unsur inilah yang menjadi tempat
penyembahan. Melalui perjalanan roh, manusia meraba-raba mencari hakikat Tuhan
yang sebenar dengan memuja dan menyeru roh-roh orang terdahulu. Semangat roh
yang hadir telah membina kepercayaan bahawa roh itu adalah Tuhan bagi manusia.
Perubahan
alam semesta secara tidak langsung telah merubah cara fikir manusia yang
sentiasa memikirkan hakikat Tuhan yang sebenar. Anugerah akal yang waras dan
sihat, mencari Tuhan dengan menggunakan logikal dan empirikal bagi
memuktamadkan hakikat Tuhan yang sebenar. Kekaguman melihat matahari, memberi
sinar cahaya yang padanya juga menghasilkan tenaga baharu alam, membuatkan
ramai berfikir adakah ini hakikat Tuhan. Tidak sampai seharian, tibalah masa
untuk matahari beredar pergi meninggalkan bumi.
Dilihat
pula bulan, yang muncul menunjukkan wajahnya yang bercahaya, menyuluh makhluk
bumi menemai kesunyian malam, ditambah pula dengan kedinginan malam yang
menyapa, timbul semula di benak fikiran, barangkali bulan inilah hakikat Tuhan.
Tidak lama kemudian, aturan alam menentukan masa untuk bulan berlalu pergi
bersilih ganti dengan kemunculan matahari. Apakah hakikat Tuhan itu silih
berganti menjaga alam ? Adakah Tuhan itu memerlukan aturan syif bagi memelihara
alam selari dengan perubahan siang dan malam ?
Perkembangan
ilmu dan cara fikir manusia telah mengubah anjakan paradigma fikir kita untuk
mengaitkan kewujudan Tuhan itu dengan ilmu dan kuasa sains. Dikaji dan dicari
bagaimana tertegaknya langit tidak bertiang, hamparan bumi yang luas berbentuk
bulat, kesan graviti bumi yang menarik dan menolak sehinggalah kepada kajian
penemuan atom, proton, neutron, elektron dan seumpamanya bagi mencari hakikat
Tuhan sebenar. Ajaibnya, sistem suria yang jutaan lamanya wujud, telah beredar
dan bergerak mengikut laluan orbit masing-masing dan tidak berlanggaran sesama
sendiri.
Selain
itu, tubuh badan manusia yang sempurna terkandung padanya beribu urat,
menghasilkan sel setiap padanya dan kemudiannya beralir darah bergerak ke
seluruh pelusuk badan membekalkan tenaga dan kekuatan. Pada awal kita dilahirkan,
tidak punyai gigi untuk mengunyah, tidak punyai upaya untuk bertutur, namun
tanpa diajar, dengan sendirinya kita mencari susu untuk dihisap sebagai bekalan
tenaga. Dengan sendirinya kita tahu untuk menangis sebagai tanda lapar dan
sebagainya. Aturan kehidupan ini penuh keajaiban yang padanya menunjukkan ada
sesuatu yang berkuasa disebalik rencana ini.
Inilah
empirikal kehidupan bagi mencari hakikat Tuhan yang sebenar. Ketakjuban setiap
yang ada pada alam ini akan menatijahkan bahwa ada sesuatu yang berkuasa
mengawal selia tiap-tiap aturan kehidupan ini dan semestinya yang mengawal
semua ini bukanlah terdiri daripada apa yang ada di alam. Bukan bulan, bukan
matahari, apatah lagi air, tanah dan unsur lain. Kerana semua itu adalah yang
dicipta (makhluk) dan makhluk tidak dapat menciptakan makhluk yang lain kerana
makhluk tidak punyai kuasa seperti yang menciptakannya. Seperti kata Herschel,
seorang tokoh falsafah abad ke-18, beliau menyatakan :
"Bertambah
luas daerah ilmu, bertambah jelas dan bertambah banyaklah dalil yang
menunjukkan adanya hikmah tertinggi. Yang menciptakan semua yang ada dan
mempunyai kekuasaan mutlak. Sarjana-sarjana ilmu bumi, punyai kekuasaan mutlak.
Sarjana-sarjana ilmu bumi, ilmu ukur, ilmu alam, pada hakikatnya menyediakan
hasil usaha mereka itu untuk menegakkan nilai ilmu untuk kebaktian dan
meninggikan kalimah al-Khaliq (Pencipta)".
Tokoh
falsafah kuno, Socrates ketika membicarakan mengenai hakikat Tuhan,
beliau ada menyatakan bahawa alam yang kita lihat dalam bentuk seperti sekarang
ini bukanlah jejak dari suatu segala hal yang tiba-tiba dan kebetulan, bahkan
segala segi dan bahagiannya menuju kepada suatu tujuan. Tujuan itu menuju lagi
kepada tujuan yang lebih tinggi, sehingga sampai kepada hujung yang berdiri
sendiri dan Esa. Demikian Socrates memuktamadkan pencarian hakikat Tuhan ini
dengan menyatakan bahawa setiap segala sesuatu yang terjadi ini, ada hikmah
yang perlu digali. Dan paling tinggi hikmah tersebut adalah dengan menyakini
Tuhan itu wujud dan Dia lah Tuhan yang Maha Esa.
Maka
pertamanya, apakah masih ada ruang untuk kita mengatakan bahawa Tuhan itu tidak
wujud. Dari perjalanan menyeru dan memuja semangat roh, berpindah ke kajian
sains dan teknologi, kemudian mengheret akal berfikir akan ketakjuban
penciptaan diri sendiri, mustahil akal yang sihat menolak kewujudan Tuhan. Oleh
itu, langkah seterusnya adalah untuk mencari siapakah Tuhan kita sebenar.
Bagaimana kah rupa dan sifatnya ? Segah manakah kuasanya dan apakah Tuhan
memerlukan kita atau kita yang memerlukannya ?
Pertamanya
kita harus tahu bahawa Pencipta tidak akan sekali-kali sama seperti apa yang
diciptakannya. Jika sebaliknya sama, maka untuk apakah pencipta mahu mencipta
dirinya semula ? Oleh itu, Allah SWT telah menyatakan dalam al Quran, menerusi
surah as-Syura ayat 11, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dia
(Allah) tidak menyerupai sesuatu pun dari makhluk Nya (baik dari satu segi
mahupun semua segi), dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupai Nya".
Berdasarkan
firman tersebut, ayat ini adalah bagi mensucikan Allah dari sebarang
penyerupaan makhluk. Pada masa sama, Allah dengan tegas menyebutkan diri Nya
tidak ada yang boleh menyerupainya. Jelas bahawa sifat Tuhan itu tidak dapat
digambarkan dengan sebarang lakaran, imaginasi khayalan atau lain-lain. Ini
bermakna, patung berhala atau apa-apa bentuk ukiran atau lakaran tidak sama
sekali mewakili Tuhan. Sia-sia sahaja jika menyembah patung berhala kerana
padanya itu bukanlah Tuhan dan langsung tidak ada kuasa untuk memberi
pertolongan.
Hakikat
Tuhan yang sebenar telah dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dalam surah al
Ikhlas ayat 1-4. Firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Katakanlah
(wahai Muhammad) : "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (1). "Allah
tempat meminta segala sesuatu (2)". "(Allah) yang tidak mempunyai
anak dan tidak pula diperanakkan (3)". "Dan tidak ada sesuatu pum
yang setaraf dengan Nya (4)".
Demikian
hakikat Tuhan yakni Allah SWT. Pada sifat Tuhan itu, Dia lah satu-satunya
tempat untuk kita meminta. Tidak ada wakil untuk mewakili Nya menerima
permohonan doa hamba Nya. Pada Tuhan itu juga tidak terikat akan aturan hidup
seperti makhluk Nya yang mempunyai anak dan keturunan, mempunyai isteri dan
segala macam hal lagi. Tuhan itu tidak tertakluk dibawah aturan makhluk Nya.
Tidak berhajat kepada keperluan dunia seperti makan dan minum, rehat dan tidur,
dan hidup dan mati. Akhir sekali, pada ayat terakhir Allah memuktamadkan segala
hakikat Tuhan itu dengan menafikan Allah sama seperti makhluk Nya yang lain.
Marilah
sama-sama kita merenung segala kehebatan dan keajaiban alam serta seluruh
isinya ini dengan kembali mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Tidak ada yang
lebih istimewa melainkan dengan kehendak Nya jualah hal itu boleh berlaku.
Begitu juga, tidak ada sebarang kemudaratan, bahaya atau kebinasaan boleh
berlaku melainkan dengan izin Nya jualah. Manusia secara fitrahnya cenderung
bergantung hidup pada sesuatu. Oleh itu, sebaik-baik tempat pergantungan kita
adalah pada Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan