Setiap kita yang bergelar manusia sudah tentu mempunyai peranan dan
tanggungjawab masing-masing di dalam melestarikan makna kepada kehidupan.
Berada di pelbagai posisi yang berbeza, namun hakikatnya kita semua bakal
menuju ke destinasi yang sama. Barangkali yang membezakan kita hanyalah jalan
atau wasilah tetapi kita berkongsi destinasi yang sama untuk ditujui. Begitulah
juga keadaan manusia yang dijadikan oleh Allah SWT dengan cara berperingkat
merentasi pelbagai angka usia yang bertambah. Bermula hidup sebagai seorang
bayi, kemudiannya meningkat usia menjejak ke alam kanak-kanak, setelah itu
menginjak usia lagi ke tahap remaja dan dewasa, setiap langkah dan detik
perubahan tersebut membawa kita kepada usaha menggalas tanggungjawab yang
semakin besar demi mencari bekalan terbaik sebelum kita dipanggil berangkat
pulang menghadap Tuhan yang Maha Esa. Perubahan demi perubahan yang berlaku
turut mengubah status kehidupan kita dari bergelar mumayyiz kepada gelaran
mukallaf.
Perkataan "Mumayyiz", "Mukallaf"
dan "Mualaf" seringkali di dengari di meja-meja kuliah,
di corong-corong radio dalam segmen agama selain disebut oleh
penceramah-penceramah di kaca televisyen atau di dalam mana-mana program bual
bicara agama. Tanpa kita sedari, ungkapan-ungkapan sebegini adalah sangat
berkait rapat dan menyentuh soal perbincangan hukum-hakam fiqh khususnya. Tidak
keterlaluan untuk kita katakan bahawa istilah-istilah tidaklah terlalu asing
bagi umat Islam yang mempelajari agama dengan mendalam. Pun begitu, sudah pasti
istilah-istilah tersebut sangat janggal bagi yang tidak mendalami ilmu
kefahaman agama dengan mendalam. Apatah lagi ungkapan seperti ini tentulah asing
bagi mereka yang bukan beragama Islam. Maka kita akan melihat satu-persatu
makna dan sudut pandang berkenaan istilah-istilah tersebut. Secara umum,
ketiga-tiga istilah ini berasal daripada bahasa Arab. Oleh kerana itu,
istilah-istilah perlu difahami dan ditekuni dengan betul serta memahaminya
dalam kerangka konteks yang sebenar.
Perkataan "Mumayyiz" yang berasal dari bahasa Arab
pada pemahaman bahasa difahaminya dengan maksud berkemampuan membezakan sesuatu
yang baik dan buruk. Begitu juga menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan
mumayyiz membawa maksud sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang
buruk. Dalam semakan yang dibuat, Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitab al-Majmu'
dengan menyebut bahawa yang benar tentang hakikat budak mumayyiz ialah yang
dapat memahami percakapan dan boleh jawab soalan dengan baik dan memahami
maksud perkataan dan seumpamanya. Ia tidak ditetapkan melalui umur tertentu
bahkan ia berbeza berdasarkan perbezaan pemahaman. Selain itu, Mustafa Ahmad
az-Zarqa dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqh al-'Am, beliau menjelaskan
bahawa mumayyiz ialah selesainya fasa at-tufulah anak. Fasa at-tufulah ialah
peringkat kanak-kanak tidak dapat membezakan antara yang bermanfaat dan yang
memudaratkan dirinya. Seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz sudah mempunyai
fikiran yang berfungsi dengan jelas. Menjelaskan lagi, beliau menyatakan bahawa
mumayyiz ialah fasa dari umur tujuh tahun sehingga baligh, ditandai dengan haid
bagi perempuan dan mimpi basah bagi lelaki.
Dalam pada itu, telah berkata Imam Muhammad Abu Zahrah, seorang
pakar perundangan Islam Mesir, membahagikan seseorang kepada dua fasa apabila
mereka boleh dibebani dengan taklif. Pertama adalah berdasarkan ahliyyah
al-ada' an-naqisah (lemah keupayaan hukum) dan kedua ahliyyah
al-ada' al-kamilah (keupayaan hukum yang lengkap). Abu Zahrah
mengklasifikasikan fasa mumayyiz sebagai ahliyyah al-ada' an-naqisah.
Maknanya anak itu juga dikira mukallaf, tetapi bebannya masih belum lengkap.
Dalam fasa mumayyiz, seorang kanak-kanak mempunyai pertimbangan tersendiri,
walaupun belum sempurna. Menurut Abu Zahrah lagi, kanak-kanak mumayyiz belum
lagi diwajibkan melakukan ibadah rutin. Ini bermakna, Abu Zahrah menjelaskan,
dia tidak berdosa jika tidak tidak melakukannya. Oleh itu, berdasarkan
keterangan dan penjelasan yang dikemukakan ini, dapat kita rumuskan beberapa
ciri bagi golongan yang dikatakan sebagai mumayyiz. Antara berikut, ciri
mumayyiz ialah mereka yang lebih matang dalam memahami persoalan agama.
Kanak-kanak yang mumayyiz lebih mudah berminat untuk diajar bahan agama. Mereka
yakni mumayyiz boleh menyerap pelbagai prinsip asas dalam Islam seperti akidah,
cara melaksanakan ibadah tertentu, dan menarik nilai moral dalam pelbagai
tindakan. Selain itu, mumayyiz juga ialah mereka yang mempunyai nilai-nilai
agama yang terbina dalam diri mereka sekaligus mereka juga dapat memahami
kepentingan normal dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.
Perkataan "Mukallaf" pula secara mudah difahami
merujuk kepada makna orang Islam yang dikenakan kewajiban atau perintah agama
sama ada yang berbentuk suruhan mahupun yang berbentuk larangan kerana telah
mencapai fasa cukup umur seperti berakal dan baligh serta telah sampai dan
mengetahui seruan agama Islam terhadapnya selain memiliki pancaindera yang
sempurna. Dalam sumber lain, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat dari Dewan
Bahasa dan Pustaka, mukallaf bermaksud orang yang telah cukup umur (akil
baligh) dan wajib melaksanakan perintah Allah serta mematuhi hukum-hukum Islam.
Ia merujuk kepada individu yang berakal dan dipertanggungjawabkan atas segala
amalannya. Oleh itu, kita boleh rumuskan bahawa mukallaf adalah merujuk kepada
suatu golongan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan segala perintah Allah
SWT sama ada dalam bentuk suruhan mahupun larangan, dan setiap tindakan yang
dibuat akan diperhitungkan dan dinilai oleh Allah Azza Wa Jalla. Untuk
disebutkan sebagai golongan mukallaf, terdapat beberapa syarat yang menjadikan
seseorang itu bergelar mukallaf. Antara syaratnya ialah dirinya hendaklah
beragama Islam. Selain itu, hendakah mencapai usia baligh. Baligh boleh
difahami sebagai cukup umur atau dewasa. Para ulama bersepakat menetapkan
bahawa keluar air mani dalam keadaan tidur, bermimpi, sedar ataupun usaha
mengeluarkannya dengan sengaja adalah demikian tanda-tanda seseorang itu
menjadi baligh.
Dalam mencapai umur baligh, para ulama berbeza pendapat mengenai
tahap umur baligh. Sebahagian para ulama bermazhab al-Syafie, Imam Ahmad, Abu
Yusuf daripada mazhab Hanafi dan beberapa pandangan yang lain lagi mengatakan
bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah bagi lelaki dan wanita
(sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie) berdasarkan
khabar (riwayat) daripada Ibn Umar. Sementara ulama al-Malikiyyah mengatakan
umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun. Menurut Abu Hanifah pula, beliau
menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur
adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Dalam konteks negara
kita yang majoriti berpegang dengan mazhab Imam al-Syafie, umur baligh yang
sempurna adalah pada usia 15 tahun baik bagi lelaki mahupun wanita. Selain itu,
syrarat mukallaf juga mestilah berakal dengan waras. Ini bermakna orang gila
tidak boleh dianggap sebagai mukallaf dan mereka tidak dipertanggungjawabkan
syariat terhadap diri mereka kerana sebab gila atau tidak waras. Maka
ringkasnya, mukallaf itu syaratnya ialah Islam, baligh dan berakal. Ketiga-tiga
syarat ini melayakkan diri bergelar mukallaf sekaligus bertanggungjawab
menjalankan segala suruhan Allah dan wajib meninggalkan segala larangan Nya.
Perkataan "Mualaf" pula dari segi bahasa bermaksud
orang yang ditambat hatinya dengan perbuatan yang baik dan kasih sayang.
Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mualaf
difahami sebagai orang yang baru memeluk agama Islam atau dikenali juga sebagai
saudara baru. Istilah ini merujuk kepada individu yang dijinakkan hatinya atau
cenderung kepada Islam. Pada sudut istilahnya pula, perkataan mualaf ialah
orang yang ditambat hatinya untuk dijinakkan kepada Islam atau untuk menguatkan
mereka terhadap Islam. Hakikatnya, perkataan mualaf biasanya difahami sebagai
seseorang yang baru memeluk Islam. Namun begitu, golongan mualaf boleh difahami
melalui dua kategori iaitu kategori baru memeluk Islam dan keduanya kategori
bukan Islam yang boleh dipujuk memeluk Islam atau dipujuk supaya tidak
mengancam Islam. Perkataan "Mualaf" itu sendiri bermaksud
jinak dapat dilihat dalam 2 kategori tersebut. Sesungguhnya ungkapan mualaf
berasal daripada perkataan "muallafat qulubuhum", kategori
keempat daripada lapan kategori asnaf yang layak menerima zakat, sebagaimana
yang telah dinyatakan oleh Allah Azza Wa Jalla melalui surah at-Taubah ayat 60.
Pun begitu, majoriti di negara ini menggunakan terma mualaf bagi merujuk kepada
golongan yang baru memeluk Islam. Berbeza dengan negeri Perlis, maksud mualaf
diterima pakai kedua-dua maksud tersebut iaitu orang yang memeluk Islam dan
orang bukan Islam yang boleh dijinakkan dengan Islam. Maka tidak hairanlah jika
di negeri Perlis, orang bukan Islam boleh menerima zakat diatas nama mualaf. Demikianlah
sebahagian perihal mengenai terma mumayyiz, mukallaf dan mualaf. Apa yang
penting ialah setiap gelaran itu mempunyai makna dan peranan tersendiri dan
Allah jualah sebaik-baik penghukum. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan