Jumaat, 6 Februari 2026

HUKUMAN HUDUD : SATU PENJELASAN

 

Mana-mana peraturan ataupun perundangan yang dibuat oleh badan yang berautoriti adalah bertujuan untuk memastikan kemashalatan bersama dijaga dan dipelihara. Peraturan yang dibuat bukan sahaja memainkan peranan penting dalam usaha mendidik manusia untuk lebih berdisplin tetapi juga sebagai wadah memberikan pengajaran dan iktibar kepada mereka yang telah melanggar peraturan. Tanpa adanya peraturan, umat manusia pastinya akan hidup dalam kecamukkan dan tidak terurus. Oleh itu, peraturan yang dicipta dimana sahaja, tentunya dapat membantu menyusun atur kehidupan manusia untuk hidup lebih bertamadun selain menjadi tempat memberi pengajaran bagi mereka yang ingkar akannya. Sememangnya peraturan dan manusia berpisah tiada. Walau di mana sahaja kita berada, tidak kira di mana jua tempat dan lokasinya, tetap adanya peraturan yang mesti dipatuhi demi menjaga kebaikan bersama.

Perkataan "Hudud" adalah dari kosa kata bahasa Arab. Ungkapan Hudud (حدود) merupakan kata jamak (plural) daripada perkataan hadd. Pada sudut kefahaman bahasa, hadd atau kata jamaknya hudud membawa maksud larangan dan penghalang. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, perkataan hudud merujuk kepada maksud hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia seperti hukum zina, murtad dan minum arak. Dalam konteks lain, perkataan hadd juga digunakan sebagai merujuk kepada perbuatan maksiat-maksiat yang dilarang. Ini dapat dilihat sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 187, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya"




Dalam menjelaskan maksud ayat ini, Imam al-Qurtubi menyebutkan di dalam kitab tafsirnya, al-Jami' li Ahkam al-Quran, beliau menyatakan bahawa ayat ini membawa maksud hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. Selain itu, perkataan hadd juga membawa maksud segala apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam Nya. Pada sudut isitilahnya, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab Imam -Shafi'e menyatakan bahawa perkataan al-hadd (hudud) dimaksudkan sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syarak, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. Dalam kitab Taudhih al-Ahkam karangan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam, dijelaskan mengenai perbahasan para ulama mengenai maksud hudud berdasarkan nas-nas al-Quran dan sunnah Nabawiyyah.

Dalam perbahasan tersebut, sebahagian para ulama dikalangan mereka menyatakan pandangan bahawa yang dimaksudkan dengan hudud itu adalah adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syarak, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah takzir. Manakala sebahagian para ulama lain lagi menyatakan pandangan mereka bahawa hudud itu merujuk kepada perintah serta larangan oleh Allah SWT. Maka berdasarkan pelbagai definisi yang dikemukakan, dapat kita rumuskan bahawa perkataan hudud mempunyai penggunaan yang berbeza bergantung kepada konteks yang dibawa. Selain itu, hudud juga boleh difahami sebagai perihal hukum-hakam, ketetapan hukum jenayah dalam Islam serta menerangkan mengenai perbuatan maksiat yang difahami juga sebagai larangan-larangan oleh Allah SWT.

Hukuman hudud merupakan antara salah satu perundangan di dalam Islam yang mempunyai peruntukkannya di dalam nas-nas al-Quran dan hadith Nabi SAW. Sebagai contoh, dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Allah SWT melaknat seorang pencuri yang mencuri sebuah topi baja lalu dipotong tangannya dan yang mencuri seutas tali lalu dipotong tangannya”.




Berdasarkan hadith ini, jelaslah kepada kita bahawa Allah Azza Wa Jalla menetapkan hukuman potong tangan bagi mereka yang melakukan perbuatan mencuri. Pada hakikatnya, hukuman hudud merupakan suatu ketetapan yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT yang mana tidak ada sesiapa pun dikalangan manusia yang berakal, yang dapat menambah atau mengurangkan ketetapan hukuman tersebut. Oleh itu, kesalahan yang terkandung dalam senarai jenayah hudud dianggap sebagai kesalahan terhadap hak Allah Azza Wa Jalla kerana perbuatan kesalahan tersebut menyentuh kepentingan masyarakat umum seperti contoh menggugat ketenteraman dan kedamaian selain mampu boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat umum. Selain itu, harus diketahui bahawa hukuman hudud yang menjadi syariat ketetapan Allah ini mempunyai beberapa ciri tertentu yang membezakan antara hudud dan jenis hukuman lain seperti takzir dan qisas.

Antara ciri utama hudud ialah hukuman hudud merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh syarak. Oleh itu tidak boleh sama sekali untuk mana-mana pihak atau individu yang mahu menggubal hukuman hudud kerana ianya suatu ketetapan yang muktamad. Ciri kedua ialah hukuman hudud adalah merupakan hak Allah Azza Wa Jalla. Hal ini berbeza dengan bentuk hukuman lain seperti qisas dan takzir. Hukuman qisas tidak diiktiraf sebagai hak Allah melainkan hanyasanya hukum hudud semata-mata. Ciri yang ketiga, hukuman hudud juga tidak boleh diberi kemaafan. Ini kerana apabila kemaafan diberikan, bermakna kita telah mencabut hak Allah selaku empunya hukum. Maka tidak boleh kita memaafkannya kerana ianya mutlak hak Allah Azza Wa Jalla. Selain itu, ciri keempat, hukuman hudud tidak boleh digugurkan sama sekali. Ini bermakna apabila telah sabit akan kesalahannya, maka hukuman wajib dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan hak milik Allah SWT. Begitulah sebahagian ciri-ciri hukuman hudud bagi menjelaskan keutamaan dan perbezaannya dengan bentuk hukuman yang lain.

Berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan hadith, terdapat tujuh jenis kesalahan yang diperuntukkan dibawah hukuman hudud. Tujuh kesalahan tersebut ialah Zina, Menuduh orang berzina (Qazaf), Minum arak, Mencuri, Murtad, Merompak dan Memberontak melawan pemerintah. Kesemua tujuh kesalahan ini disebutkan hukumannya di dalam al-Quran dan hadith. Sebagai contoh, perbuatan zina melibatkan lelaki dan perempuan. Dalam isu ini, penzina iaitu orang yang melakukan perbuatan tersebut dapat dibahagikan kepada dua golongan. Golongan pertama ialah penzina yang telah berkahwin. Dalam istilahnya disebut sebagai muhsan (yang telah merasai persetubuhan halal). Golongan kedua penzina pula disebut sebagai bukan muhsan (yang tidak pernah merasai persetubuhan halal). Kedua-dua golongan penzina akan berdepan dengan hukuman yang berbeza. Hukuman bagi penzina yang sudah berkahwin, maka dihukumkan rejam sampai mati. Berbeza pula dengan penzina yang bukan muhsan. Hukuman hudud bagi penzina yang belum kahwin ialah dirotan sebanyak 100 kali serta dibuang negeri selama setahun.




Bagi memahami hukuman bagi pelaku zina, marilah kita fahami sebuah hadith riwayat Bukhari, ketika Umar RA menyampaikan pidatonya, daripada Abdullah bin Mas'ud RA yang bermaksud :

"Antara ayat yang diturunkan kepada baginda ialah ayat rejam. Kami membaca dan memahaminya. Rasulullah SAW juga merejam pesalah dan kami juga merejam pesalah. Sesungguhnya aku bimbang apabila berlaku masa yang lama nanti, ada orang yang mengatakan : Kami tidak menemui ayat rejam dalam kitab Allah SWT. Lantas mereka menjadi sesat kerana meninggalkan satu kefarduan yang diturunkan oleh Allah SWT. Rejam itu merupakan hak yang wajib dilaksanakan keatas orang lelaki dan perempuan yang berzina jika kedua-duanya muhsan, jika ada saksi, kandungan atau pengakuan".

Dalam ayat lain, di dalam al-Quran menerusi surah al-Nur ayat 2, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman"

Begitulah juga dengan kesalahan-kesalahan hudud yang lain dimana semuanya telah ditetapkan hukumannya oleh Allah SWT. Bagi kesalahan minum arak, diperintahkan untuk dirotan sebanyak 40 kali. Walau bagaimana pun, boleh ditambah jumlah rotan sehingga 80 kali sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Umar RA. Bagi kesalahan mencuri, jika disabitkan dengan kesalahan tersebut, maka diperintahkan untuk memotong tangan di bahagian pergelangan tangan. Pun begitu, terdapat beberapa syarat sebelum melaksanakan hukuman potong tangan. Antara lainnya ialah syaratnya mestilah seorang yang baligh, berakal, mencuri dengan pilihannya sendiri dan bukan dipaksa selain disyaratkan barangan yang dicuri hendaklah mencukupi nisab 1/4 dinar emas tulin. Demikianlah antara penjelasan ringkas mengenai hakikat hukuman hudud. Banyak lagi sebenarnya untuk dijelaskan namun ini adalah sebahagian asas penting untuk kita memahami secara rambang mengenai hukuman hudud. Walau apapun, ingatlah bahawa hukuman bukanlah bertujuan untuk mendera sebaliknya sebagai peringatan dan pengajaran untuk kita yang mahu berfikir. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan