Sabtu, 7 Februari 2026

HAKIKAT ILMU KALAM

 

Ilmu adalah merupakan perkara asas dalam kehidupan yang akan membentuk peribadi diri selain menjadikan seseorang itu hidup dengan penuh keyakinan. Sepertimana yang pernah diungkapkan oleh seorang tokoh pemikir Islam, Syed Muhammad Naquib al-Attas, beliau meletakkan makna ilmu sebagai sesuatu yang memahamkan dan menyakinkan dengan nyata. Dalam usaha melestarikan makna dan peranan ilmu bagi diri manusia, akal merupakan instrumen terpenting yang bertindak sebagai pekerja yang tugasnya mencerna dan memproses segala pengetahuan dan menentu sahkan sesuatu kebenaran berdasarkan pengetahuan yang ada. Namun begitu, sepintar mana pun akal ligat bergerak, ianya bersifat terbatas dan tidak mampu menerobos lebih jauh dari batasan yang diletakkan oleh Allah. Maka tidak hairanlah andai ada dikalangan para ilmuan Islam membantah dan melarang umat manusia dari mendalami ilmu kalam dek kerana menjadikan akal sebagai pergantungan terpenting hingga membuatkan manusia semakin tersesat jauh dari landasan agama Islam sebenar.

Secara asasnya, perkataan "Ilmu Kalam" adalah merujuk kepada suatu bidang ilmu yang menjadikan kalam manusia sebagai satu metodologi penting dalam memaknai kehidupan. Berdasarkan tradisi awal ilmu Islam, definisi ilmu kalam terawal direkodkan melalui pentakrifan yang dikemukakan oleh seorang ulama yang bernama al-Nasafi al-Maturidi. Dalam kitab al-'Aqaid al-Nasafiyyah, beliau menyebutkan bahawa di antara hukum-hakam syarak ada yang berkaitan dengan cara beramal dan dinamakan cabang dan amali, dan ada yang berkaitan akidah dan dinamakan asal dan kepercayaan. Sesungguhnya para ulama menamakan ilmu yang menghasilkan pengetahuan hukum-hakam amali berdasarkan dalilnya yang terperinci sebagai "Fiqh" dan ilmu yang menghasilkan pengetahuan tentang akidah berdasarkan dalil-dalilnya sebagai "Kalam". Selain itu, Abu Nasr al-Farabi dalam kitabnya 'Ihsa' al-'Ulum, beliau mentakrifkan ilmu kalam sebagai kesenian kalam manusia yang mampu untuk mendokong pandangan-pandangan dan perbuatan-perbuatan tertentu yang ditegaskan oleh Allah dan dalam masa yang sama membuktikan kepalsuan aliran yang menyalahinya.



Setelah itu, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Munqidh Min al-Dalal menyebut bahawa dengan sesungguhnya ilmu kalam matlamatnya ialah menjaga akidah ahli sunnah dan mengawasinya dari penyelewengan golongan yang bid'ah. Beberapa kurun kemudian, datang pula al-Baydawi al-Asy'ari menyebut dalam kitabnya al-Tawali bi Sharh al-Mir'ashi, makna ilmu kalam ialah ilmu yang mana manusia mampu dengannya untuk menetapkan pegangan pegangan keagamaan, dengan mengemukakan hujah-hujah keatasnya (bagi mengithbatkannya) dan menolak kesamaran-kesamaran darinya. Selain itu, Al-'Iji, 'Iddal-Din menjelaskan dalam kitabnya al-Mawaqif bi Sharh al-Jurjani, kalam ialah ilmu yang mana seseorang itu mampu dengannya menetapkan akidah keagamaan, dengan mengemukakan hujah-hujah dan menolak kesamaran kesamaran. Apa yang dimaksudkan dengan 'akidah' disini ialah yang merujuk kepada zat akidah itu sendiri dan tidak termasuk amalan, manakala sifat 'keagamaan' pula merujuk kepada agama Nabi Muhammad SAW. Sementara itu al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta'rifat, menyebut fiqh ialah ilmu tentang hukum-hakam syarak yang amali, yang diperolehi dari dalil dalilnya yang terperinci. Manakala kalam ialah ilmu yang mengkaji persoalan berkaitan zat dan sifat Allah SWT serta hal-hal kewujudan Mungkin (al-Mumkinat) seperti asal kejadian (al-Mabda') dan hari Kebangkitan(al-Ma'dd) berlandaskan hukum Islam.

Menurut Imam Ibnu Khaldun, seorang tokoh falsafah sosial dan ahli sejarawan Islam menyebut dalam kitabnya Muqadimah, ilmu kalam sebagai ilmu yang mengandungi penghujahan penghujahan tentang pegangan-pegangan keimanan berdasarkan dalil-dalil akal dan penyangkalan keatas golongan golongan yang menyeleweng dalam hal-hal akidah. Dalam pada itu, pendahuluan kitab Risalah karangan Syeikh Muhammad Abduh, dijelaskan maksud ilmu kalam sebagai suatu ilmu yang mengkaji persoalan wujud Allah SWT dan segala sifat yang wajib ditetapkan kepada Allah, sifat yang harus bagi Allah dan sifat yang wajib dinafikan dari Nya, disamping persoalan-persoalan berkaitan para Rasul dan sifat-sifat wajib bagi mereka, sifat yang harus dinisbahkan kepada mereka dan sifat yang tertegah dari dikaitkan dengan mereka. Berdasarkan beberapa definisi yang telah dikemukakan, dapat kita rumuskan bahawa ilmu kalam ialah suatu bidang keilmuan yang membicara soal pegangan akidah dengan menggunakan kaedah akal yang bertujuan untuk menerang selain bertujuan untuk menentang dakwaan yang dibawa oleh golongan bid'ah. Tidak dapat dinafikan lagi, ilmu kalam menggunakan akal sebagai senjata utama dan sebagai alat terpenting dalam usaha mengukuhkan akidah dan membanteras salah faham akidah Islam.




Hakikat kewujudan ilmu kalam itu sendiri sebenarnya telah banyak dipengaruhi oleh ilmu falsafah dimana banyak berpaksikan kepada ilmu mantiq (logika) terutamanya selepas berlaku percampuran budaya dan pemikiran kesan dari perluasan empayar Islam serta penterjemahan karya-karya falsafah Yunan di era kerajaan 'Abbasiyyah. Dalam catatan sejarah, usaha penterjemahan karya-karya falsafah dari Yunan ini begitu giat dijalankan ketika era al-Barmakiyyah, iaitu Yahya bin Khalid bin Barmak, beliau antara salah seorang guru kepada Khalifah al-Rasyid. Kemudian pada era Khalifah al-Ma’mun sekitar tahun198 – 218 hijrah, aktiviti tersebut semakin rancak, sedangkan di era kerajaan Umawiyyah, aktiviti penterjemahan biasanya hanya terhad kepada karya-karya seperti perubatan yang tidak melibatkan falsafah dan mantiq. Tokoh seperti ‘Abdullah bin al-Muqaffa’, seorang ilmuan yang berasal dari Parsi merupakan antara yang terawal menterjemahkan karya mantiq sehingga pernah dituduh sebagai zindiq. Tidak keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa ilmu kalam adalah hasil daripada rangka ilmu falsafah yang cuba untuk memahami hakikat sesuatu kewujudan termasuk dalam merungkai maksud kewujudan Allah. Ilmu kalam dengan tidak dapat disangkal lagi telah dipengaruhi oleh ilmu falsafah Yunan sehingga mengheret manusia berbahas tentang persoalan akidah seperti sifat dan perbuatan Allah, kenabian, takdir, akhirat dan sebagainya.

Perkembangan ilmu kalam telah mengundang banyak penentangan dikalangan para ilmuan Islam. Sebahagian besar ilmuan awal (al-mutaqaddimun) seperti Imam Malik, Imam Abu Yusuf al-Hanafi, Imam al-Syafie, Imam Ahmad dan yang lain-lain telah mencela ilmu kalam. Celaan terhadap ilmu kalam ini bermula apabila terlihat bibit-bibit awal perkembangan ilmu kalam ini menimbulkan keadaan huru-hara dalam agama serta politik, selain berlaku banyak pertumpahan darah dan terjadi episod perdebatan panjang dan meluas dalam persoalan akidah sehingga mereka yang berpegang kepada ilmu kalam menolak banyak nas-nas agama. Imam Ibnu Jauzi merekodkan dalam kitabnya Talbis Iblis, beberapa ungkapan tegahan oleh para ulama daripada mempelajari dan mendalami ilmu kalam tersebut. Antara lain sepertimana kata-kata Imam al-Syafie, beliau menyatakan bahawa apabila seorang hamba itu diuji dengan segala sesuatu yang dilarang Allah selain kesyirikan, hal itu lebih baik baginya daripada belajar ilmu kalam. Dalam pada itu, Imam Ahmad bin Hanbal menyebut bahawa ahli kalam tidaklah akan beruntung selamanya. Para ulamanya orang zindik. Demikianlah ungkapan keras menegah umat manusia daripada sibuk mendalami dan mempelajari ilmu kalam.




Kemunculan dan perkembangan ilmu kalam yang banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunan, telah melahirkan banyak kumpulan-kumpulan tertentu yang terpesong jauh dari landasan Islam. Antaranya kumpulan Khawarij yang menghukum kafir kepada sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Tuhan, kumpulan Muktazilah yang banyak melontarkan pandangan berkiblatkan akal sehingga sanggup mengenepikan hujah nas al-Quran dan hadith. Selain itu muncul juga kumpulan Jabariyyah yang menyakini bahawa tiap-tiap perbuatan manusia itu sama ada perbuatan tersebut baik ataupun buruk, semuanya adalah diatas keterpaksaan yang ditakdirkan oleh Allah dan bagi mereka manusia langsung tidak mampu lakukan apa-apa. Setelah itu, lahir juga kumpulan Syiah yang menjadikan Ali bin Abi Talib sebagai imam mereka, diagung-agungkan Ali dan dihina dan diperlekehkan para sahabat Nabi yang lain. Begitu juga lahirnya kumpulan Murji'ah yang mendakwa iman memadai dengan mengucapnya sahaja tanpa perlu beramal, kumpulan Qadariyyah yang menyakini manusia memiliki kebebasan berkehendak yang mutlak dan lain-lain lagi aliran yang wujud. Kemunculan beberapa kumpulan yang disebutkan tadi adalah kesan daripada perkembangan ilmu kalam yang menjadikan manusia semakin terpesong jauh dari landasan agama sebenar.

Menyedari akan kesan dan akibat buruk daripada ilmu kalam tersebut, beberapa nama-nama besar dalam ilmu kalam telah menyatakan penyesalan mereka dengan kembali bertaubat kepada Allah. Antara yang direkodkan dalam kitab Talbis Iblis, ungkapan oleh al-Walid bin Aban al-Karabisyi. Sewaktu saat menjelang wafat, beliau telah berpesan kepada anak-anak dengan menyebut berpegang teguhlah terhadap keyakinan yang dipegang oleh para ahli hadith, sungguh dirinya melihat kebenaran bersam mereka. Abul Ma'ali al-Juwaini menyebut bahawa dirinya telah bertemu dan mempelajari ilmu dari para ulama Islam, juga sudah mengharungi lautan luas serta menyelami kedalaman ilmu yang mereka larang. Semua itu dirinya lakukan demi mencari kebenaran. Akan tetapi sekarang, dirinya meninggakan semua itu dan kembali kepada kebenaran. Ibnul Juwaini juga pernah mengatakan kepada muridnya dengan menyebut janganlah kalian menyibukkan diri dengan ilmu kalam. Sekiranya dirinya tahu bahawa ilmu ini akan membawa dirinya pada keadaan sekarang, nescaya dirinya tidak akan sibuk dengan mempelajari ilmu tersebut. Demikianlah antara kata-kata kesalan yang direkod menjelaskan bahawa betapa bahayanya ilmu kalam. Jauhilah kita dari sibuk mempelajari ilmu ini yang boleh menyesatkan kita. Inilah hakikat ilmu kalam dan semoga kita semua diampuni oleh Allah SWT.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan