Keutuhan dan kekuatan sesebuah rumah tangga adalah terletak diatas
bahu kedua belah iaitu merujuk kepada suami dan isteri. Baik bagi suami mahupun
isteri, kedua-duanya memiliki peranan dan tanggungjawab bersama di dalam usaha
memastikan rumah tangga kekal aman dan harmoni. Kegagalan satu salah pihak atau
kedua-dua pihak gagal untuk memainkan peranannya yang tersendiri bakal
mengundang kepada keruntuhan institusi rumah tangga. Lumrah dalam kehidupan,
tiada sesiapa pun yang bertekad mahupun berazam untuk bercerai apabila telah
membina mahligai cinta bersama pasangan. Namun begitu, seperti kata pepatah
melayu menyebut bumi mana yang tidak ditimpa hujan, membawa maksud setiap yang
bernama rumah tangga pasti akan berdepan dengan pelbagai badai dan ranjau
kehidupan. Lebih bahaya lagi apabila wujudnya gangguan orang ketiga dalam rumah
tangga yang dibina.
Istilah "Orang Ketiga" secara umumnya
memiliki pelbagai pendapat dan tafsiran yang boleh dikemukakan. Antaranya
seperti menurut seorang jurnalis dan wartawan terkemuka Juani Munir Abu Bakar,
beliau menjelaskan bahawa orang ketiga ini merujuk kepada tindakan kepada
sesiapa sahaja yang bertanggungjawab meruntuhkan sesebuah institusi rumah
tangga. Dalam satu jurnal Muwafaqat, dinukilkan pandangan oleh al-Zuhaili
dengan menyebut bahawa orang ketiga dalam rumah tangga boleh dirujuk antara
pasangan kekasih lelaki dan wanita, wanita dengan wanita (lesbian) atau lelaki
dengan lelaki (gay). Dalam pada itu, menurut Musa Awang, Presiden Persatuan
Peguam Syarie Malaysia (PGSM), orang ketiga boleh merujuk kepada antara
pasangan kekasih lelaki dan wanita, wanita dengan wanita (lesbian), lelaki
dengan lelaki (gay), kalangan keluarga, saudara mara, adik beradik, ibu bapa
atau datuk dan nenek.
Menurutnya lagi, sebanyak 12 peratus punca penceraian di negara ini
disebabkan punca orang ketiga. Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan
perbuatan dalam bentuk fizikal atau pun spiritual yang melibatkan gangguan
sihir. Gangguan dalam bentuk fizikal biasanya membabitkan permainan cinta tiga
segi atau pasangan itu berlaku curang dengan pasangan masing-masing. Pada kaca
mata undang-undang di Malaysia, tiada satu pun definisi yang jelas dan tuntas
dalam menoktahkan tentang makna bagi istilah orang ketiga. Namun begitu, dalam
beberapa peruntukkan enakmen dan akta bagi tiap-tiap negeri, terdapat definisi
yang berbeza menurut lunas undang-undang yang sedia ada. Misalnya, seksyen 37 Akta
Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, menyatakan
bahawa orang ketiga ialah mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan
sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri, manakala seksyen 38 Akta
sama pula menyatakan mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk
lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan
tanggung jawabnya sebagai suami atau isteri adalah suatu kesalahan.
Secara asasnya, Islam amat melarang keras umatnya dari bersikap
melakukan gangguan terhadap perkahwinan orang lain. Hukum orang ketiga yang
merosakkan rumah tangga orang lain adalab haram dan berdosa. Perbuatan
memutuskan hubungan halal antara suami isteri orang lain akan mengundang kemurkaan
dan laknat daripada Allah Azza Wa Jalla. Ini berdasarkan firman Allah Azza Wa
Jalla dalam al-Quran melalui surah Muhammad ayat 22 hingga 23, Allah SWT
berfirman yang bermaksud :
"(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus
dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan
melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan
kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah
yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan
penglihatannya".
Berdasarkan kefahaman ayat ini, Imam Ibnu Kathir menyatakan dalam
kitab tafsirnya dengan menyebut bahawa ayat tersebut berbentuk larangan untuk
membuat kerosakan diatas muka bumi secara umum dan melarang untuk memutuskan
tali kekerabatan secara khusus. Maka melalui apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn
Kathir ini, dapat kita rumuskan bahawa perbuatan orang ketiga menganggu rumah
tangga orang lain termasuk dalam bab larangan memutuskan tali kekerabatan
secara khusus. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya al-Zawajir
'an Iqtiraf al-Kabair, perbuatan orang ketiga menganggu rumah tangga orang
lain dikategorikan sebagai perbuatan dosa besar. Sekaligus hal ini membuktikan
bahawa betapa berat dan besarnya dosa bagi mereka yang menjadi orang ketiga
menghancurkan rumah tangga orang lain. Seperti yang kita sedia maklum, orang
ketiga boleh dirujuk kepada sesiapa sahaja yang bertindak membuat gangguan
terhadap rumah tangga orang lain dengan apa jua cara pun seperti menghasut,
mengadu domba atau menyihir.
Istilah orang ketiga juga dikenali oleh kalangan masyarakat hari
ini dengan gelaran "Penyondol". Dalam Islam, perbuatan
menyondol ini amatlah ditegah dan dilarang keras. Tegahan dan larangan keras
ini adalah bertujuan untuk memelihara keharmonian rumah tangga dari diganggu
oleh mereka yang digelar sebagai penyondol. Jika kita amati dengan tekun, dalam
disiplin perbahasan hukum fiqh, perbuatan orang ketiga atau penyondol ini yang
telah melakukan tindakan merosakan hubungan suami isteri disebut dengan istilah
al-Takhbib. Menujuk dalam kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,
perkataan al-Takhbib membawa maksud seorang lelaki merosakkan hamba atau isteri
kepada orang lain, manakala maksud al-khabb pula ialah kerosakan, kekejian dan
penipuan. Selain itu, Syeikh 'Abd al-Muhsin al-'Abbad, seorang ulama besar dari
Arab Saudi, ketika mensyarahkan Sunan Abi Daud, beliau menjelaskan bahawa
perbuatan al-Takhbib merujuk kepada tindakan mempengaruhi atau memperdaya
sehingga timbul kebencian antara pasangan yang sah.
Selain itu, Shamsul Haq Azimabadi di dalam kitabnya 'Awn
al-Ma'bud Sharh Sunan Abi Daud, menyebut bahawa makna takhbib merangkumi
perbuatan menipu, memburukkan pasangan atau memperindahkan penceraian supaya
pelaku dapat menguasai pasangan tersebut setelah hubungan itu musnah.
Sesungguhnya perbuatan terkutuk oleh orang ketiga yang tujuannya untuk memecah
belahkan rumah tangga orang lain, dilarang tegas oleh baginda Nabi Muhammad
SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud, Nabi Muhammad SAW bersabda
yang bermaksud :
"Bukan dikalangan kami sesiapa yang merosakkan seorang isteri
terhadap suaminya atau seorang hamba terhadap tuannya".
Berdasarkan hadith ini, penggunaan frasa "bukan dikalangan
kami" memadai untuk membuktikan betapa tegas dan kerasnya larangan ini
kepada mereka yang suka menyondol dan menjadi orang ketiga dalam rumah tangga
orang lain. Dalam hadith lain, terdapat ancaman jelas kepada mereka yang mahu
menjadi orang ketiga ini. Ini sebagaimana yang terdapat dalam hadith berstatus
hasan gharib riwayat Tirmizi, daripada Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk syurga orang yang melakukan takhbib (tipu daya),
mannan (pengungkit sedekah atau pemberian), dan bakhil (orang yang kedekut)".
Dalam menghuraikan hadith ini, Imam Abu al-Ala al-Mubarakfuri
menjelaskan dalam kitab Tuhfaz al-Ahwazi, maksud 'tidak masuk syurga'
membawa maksud dilambatkan masuk ke syurga. Maka oleh itu, para ulama
berpandangan bahawa perbuatan takhbib atau disebut sebagai orang ketiga atau
penyondol adalah haram hukumnya. Syeikh Muhammad bin Ali bin Muhammad
al-Syanqiti dalam kitabnya Fath al-'Ali, menyebut bahawa sebahagian
fuqaha menyatakan dengan jelas bahawa hendaklah lelaki itu dihukum dengan
hukuman yang menyempit dan mengancamnya (mungkin seperti penjara, dipulaukan
atau boikot, dibuang negeri dan sebagainya), bahkan sebahagian ulama Malikiyyah
berkata dengan hukuman mengharamkan nikah secara ta’bid (selamanya) antara
wanita yang diperdaya dan lelaki yang memperdayanya. Demikianlah sebahagian
perbahasan oleh para sarjana Islam di dalam membincangkan mengenai ancaman
terhadap orang ketiga dalam rumah tangga.
Apa yang jelas adalah orang ketiga tidaklah semata-mata merujuk
kepada orang luar seperti rakan taulan dan sahabat handal. Boleh juga terjadi
orang ketiga dikalangan kaum keluarga itu sendiri. Keadaan ini boleh berlaku
apabila terdapat unsur dan usaha campur tangan yang dilakukan oleh ibu dan bapa
mertua, ipar duai atau dikalangan adik beradik itu sendiri. Oleh kerana
demikian, setiap pasangan yang berumah tangga haruslah sentiasa bijak dalam
menyantuni perasaan pasangan masing-masing agar apa jua masalah yang melanda
dan membadai rumah tangga, ianya tidak dijaja cerita sana-sini yang sebenarnya
boleh membuka keaiban diri sendiri. Berwaspadalah kita dan sentiasa rasional
dalam menghadapi onak duri bahtera rumah tangga. Tanpa kita menafikan,
barangkali diluar sana terdapat mereka yang sakit hati melihat kebahagiaan
kita. Maka tidak hairanlah ada yang sehingga sanggup menyihir demi memuaskan
kehendak hawa nafsunya itu. Cukuplah kepada Allah tempat kita bergantung harap.
Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan