Isnin, 2 Mac 2026

SIFAT PEMAAF YANG TERPUJI

 

Kelemahan dan kekurangan pada tiap-tiap yang bernama manusia, pastinya akan mendedahkan diri manusia kepada perbuatan kesalahan dan kekhilafan diri. Semantap atau sehebat mana pun seseorang itu, hidupnya pasti tidak akan pernah sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Secara sedar mahupun tidak, manusia yang terbatas akan akalnya, tidak dapat mengelak diri daripada berbuat salah dalam kehidupan. Pun begitu, meski manusia itu lemah dan punyai kekurangan diri, ini tidak bermakna kita boleh beranggapan melakukan kesalahan itu adalah normal dalam kehidupan. Ini kerana, setiap kesalahan yang telah dilakukan adalah ruang peribadi untuk kita belajar memperbaiki diri, bertekad untuk jadi lebih baik selain berazam untuk tidak mengulangi lagi. Islam melalui lisan baginda Nabi SAW menekankan bahawa sebaik-baik kesalahan adalah dengan bertaubat. Ini bermakna kita wajib bertaubat apbila telah melakukan kekhilafan.

Hakikatnya, sifat pemaaf adalah sifat kepunyaan oleh Allah Azza Wa Jalla. Dalam bahasa Arab, sifat pemaaf disebutkan sebagai al-'Afuww (العفو). Satu sifat lagi disebutkan sebagai al-Ghaffar (الغفار) yang membawa maksud pengampun. Selain sifat pemaaf sebagai sifat kesempurnaan milik Allah SWT, sifat yang terpuji ini juga adalah merupakan sifat yang dimiliki oleh para Rasul dan Nabi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan pemaaf dimaksudkan sebagai orang yang rela memberi maaf. Pada sudut pandang psikologi, sebagaimana menurut McCullough, Worthington dan Rachal dalam satu jurnal bertajuk Journal of Personality and Social Phychology, sifat pemaaf adalah serangkaian perubahan motivasi seseorang untuk menurunkan motivasi membalas dendam, motivasi untuk menjauhkan diri atau menghindari orang yang menyakiti serta meningkatkan motivasi untuk berbuat baik dan berdamai pada orang yang sudah melakukan tindakan yang menyakitkan.




Memberi maaf atau memaafkan kesalahan orang lain yang amat memedihkan hati untuk diterima bukanlah suatu usaha yang mudah. Oleh kerana itu, sifat pemaaf diiktiraf sebagai suatu sifat yang mahmudah (terpuji) dan dimuliakan sifat ini oleh Allah Azza Wa Jalla. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 133 hingga 134, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Melihat kepada maksud ayat ini, sesungguhnya sifat memaafkan orang lain merupakan suatu perbuatan yang disukai dan dikasihi oleh Allah Azza Wa Jalla. Dalam menghuraikan maksud ayat ini, Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab tafsirnya dengan menyebut bahawa perbuatan memaafkan orang lain adalah kebaikan yang paling mulia dan terpuji. Sebagai contoh, manusia diharuskan untuk memberi kemaafan atau menuntut kembali haknya yang diambil, ataupun memberi kemaafan kepada orang yang menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukannya. Selain itu, di dalam kitab Tafsir al-Munir, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa ayat ini menjelaskan tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya manusia-manusia yang memaafkan orang lain yang berbuat jahat terhadap mereka walaupun mereka sebenarnya boleh sahaja untuk membalas kembali perbuatan jahat tersebut. Keadaan ini menunjukkan kedudukan seseorang yang mempunyai akal yang cerdas, fikiran yang jitu, dan kekuatan mengawal emosi. Perbuatan ini juga lebih hebat daripada sekadar menahan marah, kerana orang yang menahan marah itu boleh jadi masih menyimpan perasaan dendam.




Berdasarkan ungkapan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili ini, jelaslah kepada kita bahawa sifat memaafkan orang yang telah menyakiti kita adalah lebih baik dan mulia berbanding hanya sekadar menahan marah tetapi tidak mahu memaafkan. Walau hakikatnya, setiap diri manusia yang disakiti atau dizalimi itu berhak untuk menuntut kembali apa sahaja perkara buruk yang dilakukan keatasnya seperti kecurian, diejek, dicemuh dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, dalam satu keadaan tertentu, Allah SWT melarang kita berbuat perkara buruk atau berkata dengan kata yang buruk kepada orang lain. Pun begitu, dalam keadaan diri kita disakiti dan dizalimi, Allah SWT mengecualikan larangan tersebut. Bermakna, kita boleh mendoakan keburukan kepada orang yang menzalimi dan menyakiti diri kita. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 148, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Imam al-Maturidi dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Maturidi : Ta'wilat Ahlus Sunnah, menjelaskan bahawa ayat ini merupakan larangan untuk menghina dan mencaci seseorang. Tetapi jika seseorang itu dizalimi atau dihina terlebih dahulu, maka tidak mengapa untuk menghina kembali atau mendoakan keburukan kepada pelaku perbuatan buruk tersebut. Namun sebaik-baiknya lebih afdal jika memaafkan kesalahan tersebut. Kerana sifat memaafkan itu tidak semudah berbicara dengan mulut. Untuk memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita, jiwa manusia itu akan bertarung dengan dirinya sendiri melawan sifat egois, menentang sifat dendam kesumat selain perlu menahan lidah dari berkata dengan kata-kata buruk. Betapa sukarnya diri untuk bersifat pemaaf. Dalam sorotan kehidupan baginda Nabi Muhammad SAW, baginda disifatkan sebagai seorang insan yang pemaaf. Hal ini terbukti dalam catatan sirah agung Nabi Muhammad SAW, terdapat banyak siri kehidupan baginda yang menzahirkan sifat pemaafnya baginda Nabi SAW.




Antara lain, pernah satu ketika, seorang kafir musyrik bernama Da’thur bin al-Haris, beliau telah menghunuskan pedangnya kepada Nabi SAW lalu bertanya 'Siapakah yang dapat melindungi engkau daripada aku membunuhmu sekarang?'. Lalu jawab Nabi Muhammad SAW, 'Allah yang melindungi aku daripada sebarang tindakan jahat engkau'. Setelah mendengar jawapan baginda itu, pedang yang berada pada tangan Da'thur tersebut tiba-tiba terjatuh menyebabkan beliau tersebut tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa. Lantas Nabi Muhammad SAW mengambil pedang itu, seraya bertanya : 'Siapakah pula yang akan melindungi engkau?'. Da'thur sambil terketar-ketar menjawab, 'kemaafanmulah sahaja yang dapat melindungiku'. Setelah Nabi Muhammad memaafkan perbuatan lelaki itu dan melayannya dengan baik, maka lelaki tersebut begitu tertarik dengan dengan sikap pemaaf dan akhlak yang ditonjolkan oleh Nabi SAW, lantas memeluk Islam. Demikianlah luhurnya sifat pemaaf oleh baginda Nabi Muhammad SAW.

Dalam satu lagi kisah lain yang tidak kurang penting juga, pada hari pembukaan Kota Makkah, Abu Sufyan yang sebelum ini dikenali sebagai penentang kuat terhadap dakwah Nabi SAW telah memeluk Islam bersama isterinya bernama Hindun binti 'Utbah. Walau dahulunya mereka berdua ini adalah penentang utama dakwah baginda Nabi SAW, tetapi baginda SAW telah menerima keislaman mereka serta memaafkan perbuatan jahat mereka dahulu bersama kaum kafir Quraisy yang lain. Pada hari tersebut, Rasulullah SAW telah mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai kepada kaum musyrikin yang pernah memusuhi dakwah baginda. Rasulullah SAW menyebut pada hari pembukaan Kota Makkah : 'Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan terhadap kamu sekarang ini?'. Mereka menjawab, 'kami bersangka baik terhadap tuan, engkau orang yang mulia dan putera kepada orang yang mulia'. Lalu Rasulullah SAW bersabda : "Pergilah…kamu semua dibebaskan!". Demikianlah antara sebahagian kisah hidup baginda Nabi SAW yang menjelaskan sisi baik pemaafnya baginda kepada manusia yang pernah menzalimi dirinya dahulu.

Sesungguhnya sifat memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Namun begitu, sifat pemaaf adalah sifat yang mulia dan dipandang tinggi oleh Islam. Oleh kerana itu, kita sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada salah dan silap, haruslah berjuang menanam sifat mulia ini ke dalam diri kita yang serba lemah dan kekurangan ini. Kebaikan sifat memaafkan orang lain bukan sahaja dirasai oleh mereka yang dimaafkan, tetapi orang yang memaafkan juga akan mendapat kebaikan dari sikap baik itu. Antara kebaikan mempunyai sifat pemaaf ialah pemaaf dapat menjauhkan diri dari perasaan dendam, dengki selain kehidupan akan bertambah tenang, damai dan harmoni. Sifat memaafkan ini juga sebenarnya memberi nilai tambah positif dalam kehidupan kita dengan menjadikan kita kekal optimis dengan tidak membuang masa memikirkan perkara yang menyakitkan diri. Marilah kita berusaha menjadi orang yang pemaaf mudah-mudahan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan